Membawa
bekalan ke sekolah mengeratkan lagi perhubungan kekeluargaan kerana
masakan itu disediakan oleh ibu sendiri. Bukankah air tangan ibu penting
dalam mendidik anak-anak yang akan patuh dan membalas kasih sayang yang
ditunjukkan?
Biarpun hanya dua keping roti bersapu mentega/majerin dengan taburan
gula, jem atau serikaya, ia lambang sebuah kesinambungan antara anak,
ibu dan keluarga secara keseluruhan.
Tentu sekali bagi ibu-ibu surirumah
sepenuh masa, tiada masalah kerana mereka tidak perlu bergegas ke
pejabat. Bekalan yang lazimnya dibawa selain sandwich adalah nasi atau
mi serta mihun goreng. Dengan campuran udang atau ayam dan sayur lain,
ia hidangan yang sempurna. Jika anda menyediakan semua bahan asas
terlebih dulu - kisar bawang, potong sayur dll - masa menggoreng tidak
sampai 15 minit.
Apa yang paling penting bila menyediakan bekalan anak ke sekolah?
* mudah - tidak rumit untuk dibuat (jimat masa)
* murah - menggunakan bahan asas yang mudah diperolehi (jimat wang)
* seimbang - mengandungi karbohidrat, protin dan zat lainnya
Sumber karbohidrat selain roti putih atau wholemeal (gandum tulen) ialah roti pita, croissant, ban. Sandwich yang biasa selain sardin atau tuna, ialah telur rebus yang dicampur mayonis dan thousand island dressing atau telur scramble.
Untuk
kelainan, belah 2 roti pita dan sumbatkan dengan isian yang disukai
oleh anak-anak. Jangan lupa salad, timun atau tomato untuk zat tambahan.
Jika membuat nugget atau sosej goreng, pastikan ada mafin lobak atau roti dengan keju serta buah (epal, oren, pisang) yang mampu memberi diet seimbang
untuk anak anda. Sekiranya anak hanya suka makan telur dan ayam,
misalnya, ciptakan kelainan.
Contohnya, bila membuat telur dadar,
campurkan dengan sedikit parutan kentang atau pasta rebus (karbohidrat
memberi tenaga). Selain digoreng, ayam boleh direbus, dikukus atau
dibakar. Jangan putus asa memperkenalkan makanan lain dalam jumlah yang
sedikit pada mulanya. Ini adalah kerana sesetengah kanak-kanak memang
sukar tetapi keadaan ini selalunya berubah bila mereka meningkat dewasa.
Pastikan juga bekas makanan dan minuman menarik supaya anak-anak gembira
membawanya ke sekolah. Jika anak suka berkongsi makanan dengan
rakan-rakan, apa salahnya memberi dia bekalan yang lebih? Andaikata anak
anda memberi bekalannya pada kucing pada waktu rehat, beritahu dia
betapa penting makanan tersebut untuk dirinya sendiri.
Sikap penyayang
baik tetapi harus kena pada tempatnya.
Ajak anak-anak ke dapur untuk membuat brownies, biskut
dll yang boleh dibawa sebagai bekalan. Ini akan menyemaikan rasa
tanggungjawab di samping dapat memupuk semangat yang baik. Tidak salah
memberi duit tetapi haruslah menggalakkan dia menabung dan berjimat
cermat.
Elakkan dari membeli jajan yang tidak berkhasiat dan mengandungi
banyak bahan pengawet serta pewarna tiruan. Ajar anak-anak dengan cara
yang berhemah dan lembut supaya mereka tahu bahawa perhatian yang anda
tunjukkan adalah demi kasih sayang pada mereka.