Showing posts with label cakes. Show all posts
Showing posts with label cakes. Show all posts

Sunday, May 17, 2020

Kek Mentega Keju


KEK MENTEGA KEJU
Kek Mentega atau Butter Cake adalah kek paling biasa dan digemari ramai. Pernahkah anda nikmati kek mentega yang berasa keju? Inilah kek paling gebu dan lembut. Anda pasti tidak akan jemu memakannya. Lemak dan harumnya begitu seimbang dan memikat. Ia juga tidak semanis kek yang lazim.

Bahan paling utama adalah mentega. Gunakan mentega bermutu tinggi dan harum baunya supaya kek wangi. Mentega jenis ini mengandungi lemak krim dan tiada campuran lemak sayuran seperti mentega yang lain. Mudah saja mengenalinya. Ia lebih mahal dan senang lembut bila diletak pada suhu bilik.


Sebaik-baiknya, potong sebuku mentega itu menjadi lapan bahagian. Dengan cara ini, ia akan lembut sekata dengan sempurna. Mentega yang tidak dipotong mengambil masa yang lebih panjang untuk menjadi lembut. Jika dapur anda agak panas, bahagian luar mentega mungkin bertukar menjadi cair (berminyak) dan ini boleh merosakkan tekstur kek.

Krim keju juga perlu dibiar pada suhu bilik supaya lembut. Jika tidak, ada bahagian yang tidak boleh sebati bila dipukul. Ketulan-ketulan kecil ini menghalang adunan daripada menjadi gebu sepenuhnya. Hasilnya kek tidak akan menjadi lembut dan ‘cair’ di dalam mulut. Inilah di antara ciri-ciri utama yang perlu diperhatikan setiap kali hendak menggunakan krim keju di dalam sebarang jenis masakan.

Oleh kerana kek yang mengandungi krim keju tidak tahan lebih daripada tiga hari, anda boleh masukkan sedikit bahan pengawet seperti potassium sorbate ke dalam adunan. Ia juga dikenali dengan anti-mould. Sukatan adalah mengikut sukatan berat semua bahan-bahan. Contohnya, jika bahan sebanyak 1 kilogram, gunakan hanya 10 miligram (anggaran secubit) bahan pengawet.

Untuk mengadun kek biasa, anda perlu memukul gula kastor bersama mentega. Namun begitu, untuk kek ini, langkah pertama adalah memastikan krim keju dan mentega gebu terlebih dulu. Ini adalah supaya kedua-dua bahan lemak (fat) ini benar-benar sebati dan memudahkan kek untuk kembang.

Kemudian barulah dimasukkan sedikit demi sedikit gula sambil dipukul hingga kembang dan pucat warnanya. Ia kelihatan keputih-putihan dan ringan. Gula juga perlu hancur sepenuhnya. Kuning telur juga perlu dimasukkan sebiji demi sebiji dan dipukul rata setelah setiap kali.

Perlu diingat, semasa mengasingkan kuning dan putih telur, tangan anda hendaklah bersih. Mangkuk tempat meletak putih telur juga tidak boleh mengandungi sebarang kesan minyak. Begitu juga dengan pemutar elektrik (electric mixer). Bilas terlebih dulu dengan air panas kemudian lap kering-kering dengan kain bersih.

Jika ada kesan minyak (daripada marjerin atau lemak yang lain), putih telur yang dipukul tidak menjadi kental dengan sempurna. Ini juga satu sebab kenapa kek tidak naik dengan elok. Cara untuk memastikan putih telur sedia untuk digunakan adalah dengan menterbalikkan mangkuk. Putih telur yang cukup kental tidak akan mengalir keluar atau jatuh.

Jika sukar mendapatkan krim tartar, anda boleh gantikan dengan garam. Garam juga akan membantu putih telur menjadi kental. Sewaktu memasukkan tepung ke dalam adunan mentega, gunakan senduk kayu atau sudu keluli yang besar. Jangan masukkan sekaligus. Sebaik-baiknya, bahagikan tepung menjadi 6 bahagian. Masukkan satu bahagian, kacau rata sebelum tambah satu lagi bahagian.

Proses mencampurkan putih telur yang sudah kental ke dalam adunan dipanggil kaup balik. Caranya adalah membahagi putih telur kepada tiga bahagian. Masukkan 1/3 terlebih dulu dan kacau perlahan dengan spatula plastik. Tidak perlu memukul atau mengacau dengan laju (seperti memasukkan tepung).

Sebaik saja bahagian pertama sebati, campurkan 1/3 putih telur lagi dan kacau rata. Tujuan mengacau perlahan (dalam bentuk angka ‘8’) adalah supaya gelembung udara akan terperangkap di dalam adunan. Inilah yang akan menjadikan kek ringan dan gebu serta terlalu lembut dan enak.

Jika mahu, boleh bakar adunan di dalam mangkuk-mangkuk kertas. Pastikan mangkuk diletakkan di dalam tin ‘patty’ yang sama besar dengannya. Ini akan memastikan kek cantik setelah masak. Boleh juga gunakan mangkuk kertas yang sudah dikuatkan di sekelilingnya. Mangkuk seperti ini selalu digunakan untuk membuat cup cakes yang sungguh popular itu.

Suhu untuk membakar kek juga kurang daripada biasa kerana kandungan krim keju di dalamnya. Seperti biasa, cucuk dengan lidi hingga ke dasar untuk memastikan kek sudah masak. Kek seperti ini sesuai jika dihias dengan aising krim keju. Perhatikan bahawa sebuku krim keju seberat 250 gm dan anda hanya gunakan separuh saja. Jadi, bakinya boleh dipukul dengan gula aising serta sedikit jus lemon dan disapu sebagai aising.

Thursday, March 12, 2020

Kek Buah Kukus



KEK KUKUS BUAH
400g buah-buahan campuran
250g mentega
150g gula kastor
150g gula pasir
50ml air
2 sudu teh vanila
1 sudu besar gliserin
3 biji telur

Bahan Ayak
280g tepung gandum
1 sudu teh soda bikarbonat
1-1/2 sudu teh serbuk penaik

Cara Membuat
1. Lengser dan alas tin 22cm dengan kertas kalis minyak.
2. Pukul mentega dan gula sehingga gebu.
3. Masukkan sebiji demi sebiji telur, putar sehingga ringan.
4. Masukkan gliserin dan vanila, kacau.
5. Gaul buah dengan bahan ayak, masukkan sedikit demi sedikit ke dalam adunan.
6. Jerang gula pasir dan air hingga menjadi gula hangus.
7. Terus tuangkan ke dalam adunan kek, kacau cepat.
8. Ratakan adunan ke dalam tin, bentukkan foil sebagai ‘bumbung’ di atas tin. Kukus selama 3 jam.

KEK KUKUS BUAH
Tiada yang lebih enak daripada menikmati sepotong Kek Kukus Buah buatan sendiri dengan secawan teh. Kek Buah yang dibakar agak berbeza daripada yang dikukus. Kek Kukus Buah lebih lembab dan tahan lebih lama jika sempurna cara membuatnya.

Sementara kek buah yang dibakar lebih kering. Kadangkala buah-buahannya agak peroi dan mudah terasing daripada keknya. Ini tentu nampak tidak menarik terutama untuk disajikan pada tetamu yang datang. Namun begitu, kek buah yang dibakar ada kalanya dilembabkan dengan cara mencucuk permukaannya dengan lidi dan menuangkan brandi atau liquor. Ia tahan sehingga tiga bulan tetapi tidak boleh dimakan oleh orang Islam.

Petua penting bila membuat Kek Kukus Buah, hendaklah menunggu sehingga ia sejuk sebelum dipotong. Bila kek sejuk, ia menjadi ‘mampat’ sedikit dan lembab. Dengan cara ini, buah-buahan dapat dipotong dengan cantik. 

Untuk lebih menarik, masukkan potongan ceri merah dan hijau ke dalam campuran kismis, sultana dan kulit oren atau limau (mixed peel). Untuk pengetahuan anda, sultana dan kismis sama kecuali warnanya. Sultana agak keperangan manakala kismis berwarna hitam. Pilihlah saiz yang agak kecil supaya mudah untuk memotong kek kelak.

Di dalam pembuatan kek buah kukus, tidak timbul soal buah-buahan mendap ke bawah (yang selalu berlaku untuk kek yang dibakar). Jadi, anda tidak perlu risau. Untuk mengelak daripada buah-buahan dalam kek yang dibakar mendap ke bawah, pastikan buah-buahan disalut dengan sedikit tepung. Adunan untuk kek jenis ini pula perlu ‘keras’ sedikit daripada adunan kek mentega yang biasa.

Ikuti sukatan betul untuk buah-buahan campuran kerana jika terlebih buah, kek sukar dipotong. Ia juga akan berasa terlampau manis. Sebaik-baiknya, kek jenis ini dihidangkan dengan secawan minuman tanpa gula. Dengan cara ini saja anda dapat menikmati ketulenan rasa manis buah-buahan di dalam kek tersebut.

Supaya lebih harum, masukkan juga parutan kulit oren. Hanya parut bahagian berwarna sahaja kerana lapisan putih oren berasa pahit. Ada juga orang merendam buah-buahan di dalam jus oren. Untuk kek yang dikukus, kaedah ini tidak perlu.

Penggunaan gliserin di dalam adunan adalah untuk melembutkannya. Perhatikan bahawa anda perlu menunggu selama 10 minit supaya gliserin ‘mesra’ dengan bahan-bahan di dalam adunan tersebut. Gliserin (glycerine) adalah cecair tanpa warna dan boleh dibeli di mana-mana kedai barangan bakeri. Selain melembabkan kek juga, ia digunakan dalam pembuatan fondan (hiasan kek).

Untuk sebarang kek yang perlu dikukus, jangan lupa tutup atasnya dengan aluminium foil. Namun begitu, cara menutupnya hendaklah ‘longgar’ sedikit dan bahagian tengahnya tinggi seperti bumbung. Ini adalah supaya ada ruang udara panas di atasnya yang akan membantu kek masak.

Bila kek ditutup, anda tidak perlu mengelap bahagian bawah penutup kukus. Setiap kali membuka penutup kukus, wap akan keluar dan ini melambatkan proses mengukus. Jadi, elakkan daripada membuka dan melihat kek anda setiap 10 minit! Kek kukus buah memang mengambil masa dua hingga tiga jam untuk masak. Ada yang sehingga 4 jam! Jadi, anda boleh periksa samada kek sudah masak atau belum selepas berlalu 1 jam 45 minit.

Sekiranya air di dalam periuk pengukus kering, cepat-cepat tambahkan air mendidih. Ini untuk mengelakkan kek yang sedang kembang, turun semula. Petua untuk mengetahui air kukusan masih ada atau tidak, masukkan sekeping syiling ke dalamnya semasa mula-mula menjerang air itu. Bila terdengar syiling berbunyi (kerana paras air rendah), anda boleh tambahkan air lagi.

Ramai orang pening kepala bila hendak menyediakan gula hangus. Caranya mudah sahaja. Anda perlukan periuk atau kuali leper kalis minyak (non-stick pan) yang bertangkai. Ini untuk menyenangkan proses menuangkan gula hangus ke dalam adunan.
Masukkan gula ke dalam bekas dan biar atas api sederhana perlahan hingga sekelilingnya nampak kecoklatan. Perlahankan api sedikit. Dengan senduk kayu, kacau perlahan-lahan supaya semua gula mulai kelihatan keemasan. Kemudian terus kacau hingga gula hancur sepenuhnya. Berhati-hati kerana ia mudah menjadi hitam dan pahit.

Bila gula hangus nampak perang gelap, angkat dan tuangkan ke dalam adunan kek sambil mengacaunya. Lebih mudah jika menggunakan pemutar elektrik. Gula ini sangat panas dan anda perlu berhati-hati. Ia mungkin terpercik semasa dikacau. Bila adunan sebati, barulah dituangkan ke dalam loyang.

Kek yang dibakar agak nipis (loyang besar) tidak mengambil masa yang lama untuk masak berbanding dengan kek yang tebal (loyang kecil). Jika anda ingin mengukus dua kek sekaligus, gunakan dua rak pengukus. Setelah 1 jam, ubahkan kek di rak atas ke rak tengah dan sebaliknya. Dengan cara ini, kek akan mendapat wap yang sekata.

Friday, September 13, 2019

Kek Kukus Strawberi

KEK KUKUS STRAWBERI

Bahan A 

4 biji telur

120g gula kastor

1 sudu kecil ovalet 

Bahan B (diayak)

100g tepung serbaguna

1 sudu kecil serbuk penaik

⅛ sudu kecil garam

30g susu tepung 

Bahan C

100g mentega (dicairkan)

3 sudu besar susu pekat

2-3 sudu besar emulco strawberi

pewarna merah secukupnya 

Bahan Aising Mentega (hiasan)

1 cawan mentega (dibiar lembut)

1 - 1-1/4 cawan gula aising (diayak)

1 sudu besar susu segar,

strawberi (dihiris nipis) dan daun pudina

Cara

1. Pukul Bahan-bahan A sehingga kembang. Kaup balik Bahan-bahan B kedalam adunan dengan perlahan.

2. Masukkan sedikit demi sedikit mentega dan susu pekat. Bahagikan menjadi 3.

3. Tambah emulco dan pewarna merah ke dalam bahagian pertama. Campurkanbaki emulco dan sedikit pewarna merah ke dalam bahagian kedua. Bahagianpertama lebih terang daripada bahagian kedua.

4. Ratakan bahagian pertama ke dalam loyang yang dilengser. Kukus selama13-15 minit. Ratakan bahagian kedua dan kukus lagi 13 minit. Kukus lapisanbiasa pula selama 20 minit. 

Untuk Aising Mentega: 

Pukul mentega dan separuh gula sehingga sebati.Kemudian masukkan baki gula dan susu secukupnya, pukul sehingga gebu.Susunkan strawberi dan daun pudina.

 

Dipetik daripada buku: Manisan Kukus Barat Memikat

Dijual di Popular Book Stores atau pesan online di popular.com


 

Peristiwa Pilu 11 April 2021

       Assalamualaikum sahabat, Inilah foto kami yg terakhir, di majlis konvo pada 30 Mac 2021. Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un (إِن...