Saturday, January 23, 2021

TEASER 2 - LELAKI KE 19 - NORZAILINA NORDIN

 
Selamat membaca teaser novel terbaru bulan januari 2021

Adwan memandu pergi selepas Nuha membuka pintu hadapan rumah. Lampu ruang tamu memang sentiasa dipasang. Jadi tidaklah Nuha perlu meraba-raba di dalam gelap.
Gadis itu bergerak ke biliknya. Langkahnya tiba-tiba terhenti tatkala dia terdengar suara wan mengaji. Eh, cepat dia balik. Kata sesudah subuh? Nuha tersengih mengenangkan usikan wannya itu.
Kalau tak silap tadi, wan kata dia nak keluar selepas solat isyak. Nuha membuat perkiraan. Jam belum pun pukul 10 malam. Dia segera masuk ke bilik lantas meletakkan beg tangan di atas katil.
Sewaktu hendak keluar ke bilik air, Nuha perasan suara wan kedengaran agak berbeza. Macam sayup-sayup sahaja. Padahal selalunya tidak begitu. Kalau mengaji dalam bilik, mana boleh bunyi macam mengaji di belakang rumah Leha?
Nuha kembali ke bilik tidurnya. Capai telefon, lepas tu letak semula di atas meja. Bingung. Dia menapak ke pintu bilik wan. Tiba-tiba ada debaran asing di dadanya.
Kalau ketuk pintu, wan keluar, aku nak cakap apa? Kalau bukan dia yang keluar, aku nak lari mana? Astaghfirullah! Nuha cuba mententeramkan hatinya.
Gadis itu menarik nafas panjang. Dia masih tercegat di hadapan pintu. Tangan kanannya hampir-hampir hendak memulas tombol dan terus masuk. Namun begitu kakinya berasa kaku dan tak dapat berganjak.
Sementara itu, suara wan terus kedengaran di sebalik pintu. Nuha terfikir untuk menelefon Adwan pada saat itu. Kalau dia datang nanti, boleh ajak tengok betul ke tak wan dalam bilik. Eh, kalau memang wan, tak ke aku yang malu sendiri?
Bila dalam keadaan itu, rasa seram yang sukar digambarkan menghadirkan ilusi yang menggerunkan. Kalau dalam bilik itu ada kak pon atau hantu raya yang ikut naik kereta Adwan tadi, macam mana?
Bukan ke hantu raya boleh menyerupai seseorang? Allah! Nuha tak sangka dia jadi begitu penakut di dalam rumah wannya sendiri.
Ah, mustahil! Ni semua mainan perasaan kerana mendengar cerita Adwan pasal mayat berulat tadi.
Tanpa berfikir panjang, Nuha masuk ke bilik untuk mengambil telefon. Dia menekan nombor telefon Leha. Ketika ini, Nuha perasan suara yang mengaji tadi sudah hilang. Perasaan gerun mulai menjerut di kerongkongnya.
“Assalamualaikum, Nuha.”
“Waalaikumussalam.”
“Aku baru nak call kau. Ni hah... Wan baru suruh aku tanya kau, kau nak tak pulut dengan rendang? Dia nak suruh aku bungkuskan.”
Sepantas kilat Nuha berlari ke pintu hadapan. Darahnya berderau. Tangannya menggeletar sewaktu dia memulas kunci pada tombol. Kunci itu tidak mahu ke kanan langsung.
Sesuatu melekat dan menghalang pergerakannya. Nuha memusingkan pemegang tombol beberapa kali namun pintu tidak juga terbuka. Bangang betul pintu ni, dia menyumpah seranah.
Sesekali dia memandang ke pintu bilik wan. Bila-bila masa sahaja pintu itu akan terbuka dan segala imej yang menakutkan terbayang di dalam kepalanya.
Mayat atuk bangun dengan taring sejengkal panjang. Lidah berulat yang bergoyang ke kiri dan ke kanan. Ya Allah, Ya Allah!
Pintu hadapan itu terbuka dengan sendiri dari luar. Nuha tidak sempat berfikir panjang lagi, dia terus melompat ke serambi tetapi kakinya tersadung bendul pintu. Tubuhnya melayang. Dia menutup mata kerana terlalu takut. Namun begitu dia tidak jatuh ke lantai. Apabila membuka mata, dia dalam pelukan seseorang.
Adwan Firdaus!
Tubuh lelaki itu mengiring dan membongkok sedikit. Kedua-dua belah tangannya memaut pinggang dan bahu Nuha. Nafas mereka deras kerana keributan di luar jangkaan tadi.
“Kenapa, Nuha? Awak pucat macam nampak hantu!”
Nuha perasan tudungnya senget teruk. Dia cuba berdiri dengan bantuan anak muda itu. Entah kenapa lututnya terasa lemah. Kemudian dengan susah payah dia membetulkan tudung sambil meraup wajahnya. Gugup.
“Dalam bilik wan, ada... Ada orang mengaji.” Suara Nuha terketar-ketar.
“Kenapa awak berbisik? Bau petailah.”
Gadis itu menampar dada Adwan. Boleh lagi nak melawak time time begitu, getus hatinya.

1 comment:

  1. Numpang promo ya Admin^^ (f)
    ingin mendapatkan uang banyak dengan cara cepat
    ayo segera bergabung dengan kami di ionpk.biz ^_$
    add Whatshapp : +85515373217 || ditunggu ya^^ x-)

    ReplyDelete

Peristiwa Pilu 11 April 2021

       Assalamualaikum sahabat, Inilah foto kami yg terakhir, di majlis konvo pada 30 Mac 2021. Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un (إِن...