PAU
270 gm tepung pau
5 gm serbuk penaik
2.5 gm pemantap roti
8 gm lemak sayuran
¼ sudu teh ovalette
2 gm yis segera
25 gm gula kaster
130-135 gm air
Cara membuat:
1. Ayak tepung dengan serbuk penaik dan pemantap roti.
2. Gaul dengan lemak sayuran dan ovalette.
3. Masukkan yis dan gula, kacau rata-rata.
4. Tuangkan sedikit demi sedikit air dan uli menjadi doh.
5. Taburkan sedikit tepung di atas papan pencanai dan uli lagi selama 10 minit.
6. Bila doh menjadi kenyal, tutup dengan plastik.
7. Biar doh mengembang dua kali ganda. Uli menjadi saiz asal semula.
8. Bahagikan, bubuh inti. Letak atas kertas kalis minyak yang dipotong empatsegi.
Tutup dan biar kembang lagi. Kukus selama 15 minit atau hingga masak.
PAU
Kebanyakan
 orang suka makan pau kerana ia lembut. Intinya juga boleh dipelbagaikan
 mengikut citarasa masing-masing. Bagi yang kesuntukan masa, boleh 
menggunakan inti yang sudah sedia seperti serikaya, kelapa parut bergula
 merah, kacang hijau dan pes kacang merah. Asalnya, pau adalah kuih 
orang-orang Cina. Sebaik-baiknya, ia dikukus dalam pengukus buluh supaya
 keasliannya terpelihara.
Bahan
 terpenting dalam pembuatan pau ialah yis. Secara amnya, ada dua jenis 
yis. Untuk menjimatkan masa, gunakan yis segera dalam bentuk biji atau 
‘granules’. Untuk memastikan yis elok, sediakan sedikit air suam 
bercampur gula. Taburkan yis di atasnya dan biarkan seketika. Jika 
nampak berbuih dan kembang, itu bermakna yis elok. 
Resipi pau yang disertakan di sini menggunakan pemantap roti. Ia juga dikenali sebagai bread improver. Fungsinya
 adalah untuk memudahkan doh kembang. Untuk mengembangkan doh, letak 
mangkuk di dalam hangat. Pastikan ia ditutup terlebih dulu dengan tuala 
lembab atau plastik nipis (cling film).
Pemantap roti berbeza dengan pelembut atau bread softener. Pemantap
 adalah dalam bentuk serbuk berwarna putih. Manakala pelembut roti 
seperti lemak sayuran. Lemak sayuran (vegetable shortening) digunakan 
supaya pau kelihatan putih. Jika menggunakan marjerin, pau menjadi 
kekuningan.
Supaya
 pau menjadi putih, gunakan tepung pau atau tepung berprotein rendah. 
Ovalette atau Quick 75 adalah pemantap kek span yang menjadikan pau 
lebih lembut dan gebu. Jika mempunyai mesin pemutar dengan dough-hook, anda
 tidak perlu menguli dengan tangan. Masukkan semua bahan kering, gaul 
dengan mesin pada tahap perlahan. Bila semuanya sebati, baru tuangkan 
sedikit demi sedikit air hingga menjadi doh. Setelah beberapa minit, 
bolehlah ditaburkan sedikit lagi tepung ke dalam mesin. Ini untuk 
memudahkan anda mengeluarkan tepung daripada dough-hook.
Jika
 menguli dengan tangan, ‘tolak’ doh tersebut dengan pangkal tapak tangan
 sehingga agak nipis. Kemudian tolak naik bahagian bawahnya sebelum 
diuli lagi seperti tadi. Sekiranya doh terlembik, tambah sedikit lagi 
tepung. Selalunya doh akan sedikit keras tetapi setelah diuli dengan 
sempurna, ia menjadi menganjal (elastic).
Sapu
 sedikit minyak pada permukaan doh dan sekeliling mangkuk. Kemudian 
tutup kemas. Untuk mempercepatkan proses pengembangan, anda juga boleh 
meletak mangkuk berisi doh di dalam pengukus berisi sedikit air panas. 
Pastikan mangkuk di tutup dengan tuala bersih. Kemudian tutup pengukus 
dan biar hingga doh kembang dua kali ganda.
Pastikan
 air di dalam pengukus sudah berwap ketika memasukkan loyang berisi pau.
 Harus diingati bahawa pau mesti diletak dalam jarak 5 hingga 6 cm 
setelah diisi dengan inti. Pau hendaklah dikukus sebaik saja ia kembang.
 Jika pau berinti yang sudah kembang dibiar terlalu lama pada suhu 
bilik, ia akan mengecut selepas dikukus.