Thursday, April 15, 2021

Peristiwa Pilu 11 April 2021

    Assalamualaikum sahabat,

Inilah foto kami yg terakhir, di majlis konvo pada 30 Mac 2021. Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un (إِنَّا لِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ). Menantu yg dikasihi, Muhamad Fadhil b Hasanudin telah dijemput Ilahi pada 11 April 2021 pada usia 30 tahun kerana kemalangan motosikal. Arwah Fadhil meninggalkan isterinya, Nazifa Aqillah anak bongsu saya yg sedang hamil 7 bulan.
Sesungguhnya, dgn rasa hiba yg sukar diungkapkan, kami meredhai pemergiannya. Allahumma Ya Affuw, ya Ghaffar, ampunkanlah dosa-dosa dan kekhilafan arwah Muhamad Fadhil bin Hasanudin. Terimalah, redhailah segala amalan-amalannya.
Arwah seorang menantu yg amat baik meskipun saya cuma sempat mengenalinya hanya 1 tahun 4 bulan. Ya Allah, rindunya suara dia bila jadi imam solat jemaah famili, gelaknya bila bergurau dengan anak saudaranya, suka cucur udang yg saya masak, rajin basuh pinggan mangkuk lepas makan, senyumannya yg ceria, sentiasa membantu ...
Fadhil, mak dan keluarga akan menjaga isteri & anakmu yg bakal lahir dgn penuh kasih sayang. Terima kasih ya Allah, ya Syakur, ya Hamid atas pinjaman sementara hambaMu ini kepada kami. Kami berdoa agar dipertemukan semula dengan arwah di syurga FirdausMu yang abadi. Aamiin Ya Rabb.
Allahumma Ya Fattah, Ya Razzaq, Ya Wasiq, kurniakan & lapangkanlah kubur arwah dengan taman-taman syurgaMu, permudahkanlah segala urusannya di alam barzakh, hanya kepadaMu ya Allah kami berserah & panjatkan segala doa.
Terima kasih buat semua yg mendoakan agar kami terus kuat dan tabah.




Saturday, February 27, 2021

Facebook Live Bersama Saji


Jemputlah saksikan rakaman video saya menunjukkan 2 resipi yg 'Mudah & Cepat' iaitu Nasi Ayam Berkicap ala Claypot dan Kek  Keju 3-Minit di Facebook @SajiMalaysia atau @Norzailina Nordin (FanPage).

Terima kasih semua. Selamat menonton, selamat mencuba, ya.

Wednesday, February 17, 2021

Kenali: Buah Keras

 



Salah satu bahan yang amat penting apabila membuat rendang ialah buah keras. Pernah tengok pokoknya? Buah keras tidak boleh dimakan mentah kerana ia boleh menyebabkan keracunan. Jadi, pastikan bumbu yang mengandungi buah keras ditumis betul-betul. 

Jikalau nak kurangkan santan, boleh tambah buah keras kerana ia akan memekatkan kuah. Jika tiada buah keras, boleh digantikan dengan 1-2 sudu besar serbuk badam atau gajus. Buah keras juga memberikan rasa 'lemak' kepada sebarang jenis masakan berkuah.

Buah keras hendaklah disimpan di dalam bekas bertutup yang diletak di dalam peti sejuk (chiller, ya ... bukan freezer/peti pembeku) kerana ia mudah rosak (tumbuh kulat) jika dibiar pada suhu bilik.

 

 


Saturday, January 23, 2021

Novel Terbaru! Terbitan Karyaseni.

 

TEASER 3 - LELAKI KE 19 - NORZAILINA NORDIN
Beberapa orang remaja mendekati gerai. Masing-masing pesan burger berbeza. Yang beli untuk mak, kakak dan adik pun ada.
Dah tiga jam di situ, Nuha dah tahu macam mana nak bungkus burger. Masalahnya cuma kaki dia, tak tahu pergi ke mana. Macam lunyai. Kena minta upah mahal ni.
“Kita tutuplah, stok burger pun dekat nak habis,” seru Adwan seraya membelek jam di tangan. Dah dekat 10.30 malam.
Tiba-tiba dia perasan Nuha hanya terpaku tidak bergerak-gerak. Matanya tertancap ke satu tempat yang gelap.
“Nenek kebayan tu...” bisik gadis itu.
“Dia jalan ke sini.”
Adwan merenung ke arah yang sama. “Dia nak burger darah orang.”
Mata Nuha terbeliak. “Darah lelaki, bukan perempuan... Awaklah tu!”
Semakin lama nenek itu semakin dekat. Langkahnya agak senget, mungkin dia sakit lutut. Barulah jelas dia berselendang dan berbaju kurung gedoboh.
Peniaga berdekatan sudah lama menutup gerai mereka. Mungkin sebab malam ni episod terakhir drama yang sedang viral. Semua orang nak balik awal. Suasana sepi dan suram.
“Aku nak burger ayam dua, takmo tomato, timun dan bawang.”
Di tangannya ada beberapa helai duit seringgit. Terketar-ketar dia menghulurkan kepada Adwan. Kata Adwan, tak payah bayarlah, dia belanja.
“Jangan macam tu, aku makan, aku bayar.” Berkeras pula dia.
Adwan memberi isyarat kepada Nuha untuk mengambil duit itu. Manakala dia sibuk menggoreng burger yang dipesan.
“Nek duduk dulu,” pelawa Nuha sewaktu memulangkan wang baki.
“Cepat sikit boleh tak? Cucu aku lapar.” Nenek tua itu mendesak. Dia langsung tidak mengendahkan pelawaan Nuha tadi.
Nuha menyusun daun salad di atas roti. Kemudian Adwan memicitkan mayones dan sos di atas kepingan burger. Nenek itu melangkah pergi membimbit plastik berisi burger.
Sedetik kemudian, sebuah motosikal berhenti di hadapan gerai.
“Hah, Abang Jali. Nak burger daging special, tiga?” soal Adwan kepada pelanggan setianya itu.
Abang Jali angguk. Dia menuding ke arah nenek tua yang kian jauh itu. “Tu macam Nek Som. Dia duduk seorang kat rumah dia di hujung kampung. Dah lama dia tak keluar rumah... Yalah, sejak cucu dia mati kena langgar tiga tahun lepas.”
Adwan dan Nuha saling berpandangan dengan wajah penuh saspens!

TEASER 2 - LELAKI KE 19 - NORZAILINA NORDIN

 
Selamat membaca teaser novel terbaru bulan januari 2021

Adwan memandu pergi selepas Nuha membuka pintu hadapan rumah. Lampu ruang tamu memang sentiasa dipasang. Jadi tidaklah Nuha perlu meraba-raba di dalam gelap.
Gadis itu bergerak ke biliknya. Langkahnya tiba-tiba terhenti tatkala dia terdengar suara wan mengaji. Eh, cepat dia balik. Kata sesudah subuh? Nuha tersengih mengenangkan usikan wannya itu.
Kalau tak silap tadi, wan kata dia nak keluar selepas solat isyak. Nuha membuat perkiraan. Jam belum pun pukul 10 malam. Dia segera masuk ke bilik lantas meletakkan beg tangan di atas katil.
Sewaktu hendak keluar ke bilik air, Nuha perasan suara wan kedengaran agak berbeza. Macam sayup-sayup sahaja. Padahal selalunya tidak begitu. Kalau mengaji dalam bilik, mana boleh bunyi macam mengaji di belakang rumah Leha?
Nuha kembali ke bilik tidurnya. Capai telefon, lepas tu letak semula di atas meja. Bingung. Dia menapak ke pintu bilik wan. Tiba-tiba ada debaran asing di dadanya.
Kalau ketuk pintu, wan keluar, aku nak cakap apa? Kalau bukan dia yang keluar, aku nak lari mana? Astaghfirullah! Nuha cuba mententeramkan hatinya.
Gadis itu menarik nafas panjang. Dia masih tercegat di hadapan pintu. Tangan kanannya hampir-hampir hendak memulas tombol dan terus masuk. Namun begitu kakinya berasa kaku dan tak dapat berganjak.
Sementara itu, suara wan terus kedengaran di sebalik pintu. Nuha terfikir untuk menelefon Adwan pada saat itu. Kalau dia datang nanti, boleh ajak tengok betul ke tak wan dalam bilik. Eh, kalau memang wan, tak ke aku yang malu sendiri?
Bila dalam keadaan itu, rasa seram yang sukar digambarkan menghadirkan ilusi yang menggerunkan. Kalau dalam bilik itu ada kak pon atau hantu raya yang ikut naik kereta Adwan tadi, macam mana?
Bukan ke hantu raya boleh menyerupai seseorang? Allah! Nuha tak sangka dia jadi begitu penakut di dalam rumah wannya sendiri.
Ah, mustahil! Ni semua mainan perasaan kerana mendengar cerita Adwan pasal mayat berulat tadi.
Tanpa berfikir panjang, Nuha masuk ke bilik untuk mengambil telefon. Dia menekan nombor telefon Leha. Ketika ini, Nuha perasan suara yang mengaji tadi sudah hilang. Perasaan gerun mulai menjerut di kerongkongnya.
“Assalamualaikum, Nuha.”
“Waalaikumussalam.”
“Aku baru nak call kau. Ni hah... Wan baru suruh aku tanya kau, kau nak tak pulut dengan rendang? Dia nak suruh aku bungkuskan.”
Sepantas kilat Nuha berlari ke pintu hadapan. Darahnya berderau. Tangannya menggeletar sewaktu dia memulas kunci pada tombol. Kunci itu tidak mahu ke kanan langsung.
Sesuatu melekat dan menghalang pergerakannya. Nuha memusingkan pemegang tombol beberapa kali namun pintu tidak juga terbuka. Bangang betul pintu ni, dia menyumpah seranah.
Sesekali dia memandang ke pintu bilik wan. Bila-bila masa sahaja pintu itu akan terbuka dan segala imej yang menakutkan terbayang di dalam kepalanya.
Mayat atuk bangun dengan taring sejengkal panjang. Lidah berulat yang bergoyang ke kiri dan ke kanan. Ya Allah, Ya Allah!
Pintu hadapan itu terbuka dengan sendiri dari luar. Nuha tidak sempat berfikir panjang lagi, dia terus melompat ke serambi tetapi kakinya tersadung bendul pintu. Tubuhnya melayang. Dia menutup mata kerana terlalu takut. Namun begitu dia tidak jatuh ke lantai. Apabila membuka mata, dia dalam pelukan seseorang.
Adwan Firdaus!
Tubuh lelaki itu mengiring dan membongkok sedikit. Kedua-dua belah tangannya memaut pinggang dan bahu Nuha. Nafas mereka deras kerana keributan di luar jangkaan tadi.
“Kenapa, Nuha? Awak pucat macam nampak hantu!”
Nuha perasan tudungnya senget teruk. Dia cuba berdiri dengan bantuan anak muda itu. Entah kenapa lututnya terasa lemah. Kemudian dengan susah payah dia membetulkan tudung sambil meraup wajahnya. Gugup.
“Dalam bilik wan, ada... Ada orang mengaji.” Suara Nuha terketar-ketar.
“Kenapa awak berbisik? Bau petailah.”
Gadis itu menampar dada Adwan. Boleh lagi nak melawak time time begitu, getus hatinya.

Teaser 1 'Lelaki Ke-19'

 

TEASER 1 - LELAKI KE 19 - NORZAILINA NORDIN
AKAN DATANG JANUARI - TUNGGU...
 
“Awak, lain kali kalau nak ke mana-mana, bawa kawan.”
Eik, nak nasihat kita pula? Dia ingat dia siapa, hah?
“Kali ni aje saya naik bas ke Lentang. Selalu saya naik bas balik Balok tak ada masalah pun.”
Adwan memeluk tubuh. “Tu tempat yang awak selalu pergi.”
“Semalam jam, lepas tu saya letih sangat, jadi saya tertidur dalam bas.” Weh, kenapa aku ni baik sangat nak cerita panjang lebar kat dia?
Adwan hanya tersenyum senget. Hampir rebah Nuha kerana dia memang lemah kalau lelaki tersenyum senget.
“Eh, awak kena pergi pasar beli ikan, kan? Pergilah, saya okey. Ramai orang kat sini.”
“Dia orang ni semua nak pergi Lentang ke?” tingkah anak muda itu pula.
“Hari kan siang, saya pasti akan turun di Lentang. Kawan saya tunggu tepi jalan.” Nuha berjanji bukan hanya pada lelaki di sebelahnya itu tetapi juga pada dirinya sendiri.
“Jangan sampai awak terlentang di tengah jalan dah.”
Kurang asam! Geram betul Nuha dengan Adwan. Ada-ada saja peluang dia nak mengenakan aku, getusnya.
“Daripada saya terlentang di tengah jalan, lebih baik saya terlentang dalam hati awak.”
Adwan mengangkat keningnya. Mereka berpandangan. Nuha rasa nak pitam kerana malu yang amat sangat.
“Sorry, sorry... Saya tak... Saya tak maksudkan apa-apa!”
Nuha rasa macam nak sepak mulutnya sendiri kerana berkata-kata tanpa menunggu tindak balas otaknya yang, emmm ... Barangkali lebih waras.
Anak muda itu hanya tersengih.
Gadis itu menekan butang di telefon. Bila nak sampai bas ni? Kenapa lambat betul masa bergerak? Lemas betul dia.
“Awak jangan ingat saya tak pergi pasar lagi ni, sebab saya suka sangat berbual dengan awak ...”
Ceh! Nuha mencebik.
“Mak saya tu, dia yang suruh saya tunggu sampai awak naik bas. Lepas tu ada ke dia cakap kat saya, bagitahu pemandu tu yang awak nak turun di Lentang.”
Oh my God. Nuha menarik nafas panjang sambil cuba bersabar. Ada orang yang sangat baik sampai sanggup menyusahkan orang lain? Ya, aku patut bersyukur. Kadangkala kita takkan tahu apa hikmah sesuatu perkara itu berlaku. Semua dengan izin-Nya.

Peristiwa Pilu 11 April 2021

       Assalamualaikum sahabat, Inilah foto kami yg terakhir, di majlis konvo pada 30 Mac 2021. Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un (إِن...