Biskut Shortbread
Bahan-bahan
125 gm mentega
50 gm gula kastor
175 gm tepung gandum, diayak
Gula kastor, untuk tabur
Cara membuatnya
1. Pukul mentega dan gula hingga kembang.
2. Masukkan tepung dan uli perlahan menjadi doh.
3. Lengser tin pembakar berukuran 25-26 cm dengan marjerin.
4. Ratakan adunan tadi biar sekata tebalnya.
5. Cucuk permukaannya dengan garfu.
6. Potong bentuk jejari tapi jangan sampai putus.
7. Bakar pada suhu 170 C selama 25-30 minit atau hingga keemasan.
8. Taburkan gula kastor rata-rata di atasnya.
9. Biar 5 minit sebelum memotongnya dan biar sejuk atas redai.
SHORTBREAD
Hanya tiga bahan penting diperlukan untuk membuat Shortbread, iaitu sejenis biskut yang disukai ramai tidak kira tua atau muda. Bahan tersebut adalah mentega, gula kastor dan tepung gandum. Saya percaya bahan-bahan itu memang disimpan di kebanyakan dapur.
Shortbread sangat rangup dan sedap dimakan bersama secawan teh atau kopi. Ada juga orang yang suka menghidangkannya dengan semangkuk aiskrim. Ia boleh juga dibungkus dengan kertas yang cantik dan dihadiahkan kepada kawan-kawan atau tetamu yang berkunjung ke rumah.
Sangatlah mudah untuk menyediakan shortbread. Anda hanya perlu putar atau pukul mentega dengan gula hingga gebu. Gula tidak perlu hancur seperti untuk membuat kek tetapi pastikan campurannya sudah berubah menjadi keputihan sedikit (bukan warna asal mentega).
Pilihlah mentega paling baik kerana ia lebih harum. Harganya sedikit mahal daripada mentega campuran tetapi hasilnya memang mengkagumkan. Mentega terbaik diperbuat daripada krim susu tulin dan tiada langsung campuran soya, kelapa sawit atau jagung. Namun begitu, jika anda tidak sukakan rasa mentega, boleh juga gunakan marjerin.
Kemudian masukkan tepung gandum atau juga dikenali sebagai tepung serbaguna. Cara memasukkan adalah suku bahagian setiap kali. Gaul dengan hujung jari sehingga membentuk doh atau adunan yang lembut. Sekiranya agak lembik, tambah 2 hingga 3 camca besar tepung lagi.
Lengser tin pembakar dengan marjerin. Jangan gunakan mentega kerana ia mudah hangus. Jika anda mengalas tin dengan foil, atau gunakan tin kalis lekat, tidak perlu melengser. Untuk mendapatkan shortbread berbentuk baji (bentuk asal atau dibuat cara tradisional), anda perlu gunakan dua tin bulat berukuran 20 cm.
Pastikan anda menekan doh supaya rata dan sama tebalnya. Jika ada bahagian shortbread yang tebal, ia tidak akan masak sempurna. Manakala bahagian nipis akan hangus dengan lebih cepat. Jadi, sentiasa pastikan ketebalannya sekata.
Langkah seterusnya adalah memotong dengan pisau tajam. Anda tidak perlu memotong sehingga adunan putus. Memadai memotong sedikit supaya membentuk jejari atau empatsegi. Bila shortbread sudah masak, barulah dipotong terus dan diubah ke atas redai untuk menyejukkannya.
Untuk mengurangkan kemanisan shortbread, tidak perlu menaburkan gula kastor di atasnya. Seperkara yang perlu diingat, taburkan gula sebaik saja mengeluarkan shortbread dari ketuhar. Dengan cara itu, gula mudah melekat. Jika ingin shortbread yang wangi, boleh taburkan serbuk kayu manis bersama gula di atasnya. Tambah juga sedikit serbuk pala ke dalam adunan (bersama tepung).
Adunan shortbread mudah diubahsuai. Seandainya anda mahukan perisa oren, parutkan sebiji oren dan masukkan ke dalam adunan. Begitu juga jika inginkan perisa blueberi atau strawberi. Tambah emulco ke dalam adunan setelah ia diputar. Manakala yang ingin memasukkan cip coklat atau kismis, boleh juga. Cuma kismis mesti dihiris halus supaya mudah memotong shortbread.
Bagi yang gemarkan shortbread coklat, kurangkan sebanyak 25 gm tepung gandum, tambah 25 gm serbuk koko (ayak bersama tepung). Anda boleh juga tambahkan 1 camca besar coklat emulco supaya rasa coklatnya lebih ketara. Mungkin ada baiknya anda menabur gula demerara ke atas shortbread coklat agar nampak lebih menarik.
Untuk pengetahuan anda, shortbread juga menjadi dasar atau bahagian bawah kepada kek keju. Anda hanya perlu membakarnya sebentar sebelum menuangkan adunan kek keju ke atasnya. Selain sedap dan diminati ramai, sangat murah untuk menyediakan bahan-bahannya. Malah anda tidak perlu menggunakan telur. Bukankah ia menyihatkan?
Bayangkan biskut yang mempunyai tiga bahan saja tapi rasanya memang tidak akan anda lupakan sepanjang hayat! Ia tidak lain tidak bukan – shortbread! Anda tidak akan mahu membeli biskut mentega lain yang diimpot dan dijual di dalam tin (serta mahal harganya) setelah merasai shortbread yang anda buat sendiri…
No comments:
Post a Comment