Kepulangan saya ke kampung mertua di Perlis begitu bermakna
pada Syawal tahun ini. Saya bertemu Ezry (budak lelaki di dalam foto, bersama
ibunya). Ezry sangat meminati rancangan masakan dan setiap kali semasa
bersahur, dia akan menghadap tv untuk menonton rancangan Selera Ramadan
MMVitaoils. Hari cuti sekolah pula, dia akan menonton siaran pagi dan
ulangannya juga!
Sewaktu saya berkunjung ke rumahnya, dia begitu teruja (dan tak sangka,
mungkin) sehingga terus mencapai basikalnya dengan pantas lalu mengayuh laju
meninggalkan rumah. Kami tersenyum melihat kelibatnya yg begitu terburu-buru
pergi. "Mungkin dia malu," kata ibunya. Sebelum tu, dia di dapur dan
ibunya telah menceritakan bahawa 'Chef Lin' ada di ruang tamu.
Ezry juga peminat Chef Liza dan semua rancangan masakan yg ditayangkan di tv.
Dia bercita-cita hendak melanjutkan pelajaran dalam bidang masakan di UiTM Shah
Alam! Masih di Tahun 3 tapi penuh dengan semangat...!!
Kisah kedua diceritakan oleh Raihan, adik ipar saya. Dia memiliki sebuah
kedai menjahit pakaian. Kebetulan tak jauh dari rumah Ngah Lah, seorang lelaki
yg sudah berusia lebih 60 tahun. Kata Ngah Lah, dia cukup suka menonton
rancangan Selera Ramadan MMVitaoils sehinggakan tak lepas satu siaran pun.
Punyalah terkejutnya dia bila Raihan memberitahunya bahawa pengacara rancangan
tu, merupakan kakak iparnya! Jadi, sehari sebelum Hari Raya, saya pun mengambil
kesempatan bertemu dan berbual seketika dengannya. Ternyata dia bagaikan tak
percaya...
Demikianlah antara kenangan manis yg ingin saya kongsi...dari penjual bunga
di Padang Besar sehingga ke penjual tudung berbangsa Siam di Nat (pasar pagi
Balai Baru), mereka menegur mesra saya kerana mengaku tak ketinggalan menonton
rancangan masakan itu...mudah-mudahan kita mendapat manfaat.
No comments:
Post a Comment