KEK KUKUS BUAH
400g buah-buahan campuran
250g mentega
150g gula kastor
150g gula pasir
50ml air
2 sudu teh vanila
1 sudu besar gliserin
3 biji telur
Bahan Ayak
280g tepung gandum
1 sudu teh soda bikarbonat
1-1/2 sudu teh serbuk penaik
Cara Membuat
1. Lengser dan alas tin 22cm dengan kertas kalis minyak.
2. Pukul mentega dan gula sehingga gebu.
3. Masukkan sebiji demi sebiji telur, putar sehingga ringan.
4. Masukkan gliserin dan vanila, kacau.
5. Gaul buah dengan bahan ayak, masukkan sedikit demi sedikit ke dalam adunan.
6. Jerang gula pasir dan air hingga menjadi gula hangus.
7. Terus tuangkan ke dalam adunan kek, kacau cepat.
8. Ratakan adunan ke dalam tin, bentukkan foil sebagai ‘bumbung’ di atas tin. Kukus selama 3 jam.
KEK KUKUS BUAH
Tiada
yang lebih enak daripada menikmati sepotong Kek Kukus Buah buatan
sendiri dengan secawan teh. Kek Buah yang dibakar agak berbeza daripada
yang dikukus. Kek Kukus Buah lebih lembab dan tahan lebih lama jika
sempurna cara membuatnya.
Sementara
kek buah yang dibakar lebih kering. Kadangkala buah-buahannya agak
peroi dan mudah terasing daripada keknya. Ini tentu nampak tidak menarik
terutama untuk disajikan pada tetamu yang datang. Namun begitu, kek
buah yang dibakar ada kalanya dilembabkan dengan cara mencucuk
permukaannya dengan lidi dan menuangkan brandi atau liquor. Ia tahan sehingga tiga bulan tetapi tidak boleh dimakan oleh orang Islam.
Petua
penting bila membuat Kek Kukus Buah, hendaklah menunggu sehingga ia
sejuk sebelum dipotong. Bila kek sejuk, ia menjadi ‘mampat’ sedikit dan
lembab. Dengan cara ini, buah-buahan dapat dipotong dengan cantik.
Untuk
lebih menarik, masukkan potongan ceri merah dan hijau ke dalam campuran
kismis, sultana dan kulit oren atau limau (mixed peel). Untuk
pengetahuan anda, sultana dan kismis sama kecuali warnanya. Sultana agak
keperangan manakala kismis berwarna hitam. Pilihlah saiz yang agak
kecil supaya mudah untuk memotong kek kelak.
Di
dalam pembuatan kek buah kukus, tidak timbul soal buah-buahan mendap ke
bawah (yang selalu berlaku untuk kek yang dibakar). Jadi, anda tidak
perlu risau. Untuk mengelak daripada buah-buahan dalam kek yang dibakar
mendap ke bawah, pastikan buah-buahan disalut dengan sedikit tepung.
Adunan untuk kek jenis ini pula perlu ‘keras’ sedikit daripada adunan
kek mentega yang biasa.
Ikuti
sukatan betul untuk buah-buahan campuran kerana jika terlebih buah, kek
sukar dipotong. Ia juga akan berasa terlampau manis. Sebaik-baiknya,
kek jenis ini dihidangkan dengan secawan minuman tanpa gula. Dengan cara
ini saja anda dapat menikmati ketulenan rasa manis buah-buahan di dalam
kek tersebut.
Supaya
lebih harum, masukkan juga parutan kulit oren. Hanya parut bahagian
berwarna sahaja kerana lapisan putih oren berasa pahit. Ada juga orang
merendam buah-buahan di dalam jus oren. Untuk kek yang dikukus, kaedah
ini tidak perlu.
Penggunaan
gliserin di dalam adunan adalah untuk melembutkannya. Perhatikan bahawa
anda perlu menunggu selama 10 minit supaya gliserin ‘mesra’ dengan
bahan-bahan di dalam adunan tersebut. Gliserin (glycerine) adalah cecair
tanpa warna dan boleh dibeli di mana-mana kedai barangan bakeri. Selain
melembabkan kek juga, ia digunakan dalam pembuatan fondan (hiasan kek).
Untuk sebarang kek yang perlu dikukus, jangan lupa tutup atasnya dengan aluminium foil. Namun
begitu, cara menutupnya hendaklah ‘longgar’ sedikit dan bahagian
tengahnya tinggi seperti bumbung. Ini adalah supaya ada ruang udara
panas di atasnya yang akan membantu kek masak.
Bila
kek ditutup, anda tidak perlu mengelap bahagian bawah penutup kukus.
Setiap kali membuka penutup kukus, wap akan keluar dan ini melambatkan
proses mengukus. Jadi, elakkan daripada membuka dan melihat kek anda
setiap 10 minit! Kek kukus buah memang mengambil masa dua hingga tiga
jam untuk masak. Ada yang sehingga 4 jam! Jadi, anda boleh periksa
samada kek sudah masak atau belum selepas berlalu 1 jam 45 minit.
Sekiranya
air di dalam periuk pengukus kering, cepat-cepat tambahkan air
mendidih. Ini untuk mengelakkan kek yang sedang kembang, turun semula.
Petua untuk mengetahui air kukusan masih ada atau tidak, masukkan
sekeping syiling ke dalamnya semasa mula-mula menjerang air itu. Bila
terdengar syiling berbunyi (kerana paras air rendah), anda boleh
tambahkan air lagi.
Ramai
orang pening kepala bila hendak menyediakan gula hangus. Caranya mudah
sahaja. Anda perlukan periuk atau kuali leper kalis minyak (non-stick
pan) yang bertangkai. Ini untuk menyenangkan proses menuangkan gula
hangus ke dalam adunan.
Masukkan
gula ke dalam bekas dan biar atas api sederhana perlahan hingga
sekelilingnya nampak kecoklatan. Perlahankan api sedikit. Dengan senduk
kayu, kacau perlahan-lahan supaya semua gula mulai kelihatan keemasan.
Kemudian terus kacau hingga gula hancur sepenuhnya. Berhati-hati kerana
ia mudah menjadi hitam dan pahit.
Bila
gula hangus nampak perang gelap, angkat dan tuangkan ke dalam adunan
kek sambil mengacaunya. Lebih mudah jika menggunakan pemutar elektrik.
Gula ini sangat panas dan anda perlu berhati-hati. Ia mungkin terpercik
semasa dikacau. Bila adunan sebati, barulah dituangkan ke dalam loyang.
Kek
yang dibakar agak nipis (loyang besar) tidak mengambil masa yang lama
untuk masak berbanding dengan kek yang tebal (loyang kecil). Jika anda
ingin mengukus dua kek sekaligus, gunakan dua rak pengukus. Setelah 1
jam, ubahkan kek di rak atas ke rak tengah dan sebaliknya. Dengan cara
ini, kek akan mendapat wap yang sekata.