Hampir 70 jam selepas menghabiskan novel, rasa rindu pada Dalila, Iqbal, Nina, Farish, Mimi, Ikhwan, Jenny Tan dan Meor Hassan begitu menebal. Tiada dapat lagi menghitung hari bersama mereka, makan di restoran atau kafe yang mereka gemari, melihat pemandangan cantik dan melalui malam-malam yang menggamit kenangan terindah...
Mungkin perasaan begini juga 'terpaksa' ditempuhi oleh ramai novelis di luar sana kerana watak-watak 'ciptaan' di dalam novel telah menjadi sebahagian daripada diri sendiri. Novelis sama-sama mengecapi pengalaman yang dilalui oleh watak dan penuh dengan rasa kasih, benci, sayang, rindu atau bosan. Malah novelis menyelami setiap kegembiraan, kesedihan, kemurungan atau keseronokan watak.
Perjalanan watak yang penuh intrigue, adventure dan suspens membuat novelis gementar dan jiwa sama-sama dihambat perasaan sedemikian. Bayangkan setiap hari selama hampir tiga bulan, menganyam rasa dan membuai naluri bersama mereka. Sebagai novelis, sepanjang masa menulis novel, mampu 'masuk' ke dunia imaginasi cum realiti kerana sesebuah novel merupakan extension kepada apa yang tersirat di dalam diri (atau apa yang didengari, hehe..!!).
Saya kagum dengan novelis yang mampu menulis tiga buah novel sekaligus. Saya ibaratkan minda seperti mempunyai tiga buah bilik. Bila menggarap novel pertama, masuk ke minda 'bilik A'. Seterusnya, tutup pintu dan masuk ke minda 'bilik B' untuk novel kedua. Nampak sukar tetapi semuanya bergantung pada semangat dan sejauh mana seseorang novelis ingin mencabar dirinya sendiri...