0
PIZZA
Sajian yang sentiasa mendapat tempat di hati kanak-kanak dan kebanyakan daripada kita ialah pizza. Ia berasal dari negara Italy dan sungguh popular sebagai makanan segera. Malah ia boleh didinginbeku dengan mudah untuk disimpan selama beberapa minggu di dalam freezer (peti pembeku).

Ada tiga langkah utama dalam menyediakan pizza. Pertama, bahagian dasar atau base. Oleh kerana doh menggunakan yis, ketelitian perlu bila mengadunnya. Yis adalah bahan yang amat sensitif dengan suhu. Pastikan yis yang digunakan masih baru dan aktif.

Yis yang tidak aktif atau ‘mati’ tidak mampu mengembangkan adunan. Hasilnya, pizza akan menjadi keras dan tidak gebu. Yis menjadi tidak aktif jika ia terkena garam. Jadi, hendaklah memasukkan garam ke dalam tepung terlebih dulu. Dengan cara ini, ia tidak akan tersentuh secara langsung dengan yis.

Jangan gunakan air panas kerana fungsi yis akan terbantut. Hanya gunakan air suam. Namun begitu, jika anda menguli dengan mesin, lebih sesuai menggunakan air sejuk. Ini adalah kerana kepanasan doh meningkat dengan sendirinya bila diuli dengan mesin dalam jangkamasa yang agak lama.

Teknik ulian mesti betul bila membuat doh pizza. Lakukan di atas papan pencanai yang ditaburkan dengan tepung. Tolak doh dengan tapak tangan secara terus-menerus. Tarik dan tolak doh sehingga ia menjadi lembut, licin dan halus permukaannya. Jangan lupa gunakan tepung roti atau tepung berprotin tinggi kerana kandungan gluten memudahkan doh kembang.

Bread softener atau pelembut roti akan membuat doh pizza lebih lembut. Manakala bread improver mempercepatkan proses proofing atau mengembangkannya. Doh mesti diletak di tempat hangat supaya mudah kembang. Tempat paling baik adalah di dalam kereta yang diletakkan di bawah matahari terik.

Cara lain ialah menyediakan bekas besar atau periuk pengukus berisi air mendidih. Letak mangkuk berisi doh dengan penutup tuala. Kemudian tutup pengukus itu dan biarkan. Untuk menjimatkan masa, boleh gunakan sos pizza di dalam botol. Anda juga boleh menyediakannya sendiri dan menyimpannya untuk digunakan di waktu yang lain. Sos ini jugalah asas kepada sos tomato untuk spageti bolognese dan lasagne. Jika tidak cukup masa, campurkan sos tomato dan sos cili. Kemudian sapukan di atas doh pizza.

Bahan atas untuk pizza boleh diubahsuai mengikut selera masing-masing. Jika menggunakan daging atau ayam cincang, anda hendaklah memasaknya terlebih dulu. Tambahkan cili Benggala atau lain-lain sayuran yang anda gemari. Untuk menjimatkan masa, boleh gunakan sardin atau tuna di dalam tin.

Hirisan sosej atau salami lembu adalah pilihan yang sesuai juga. Salami adalah daging atau ayam dalam bentuk sosej yang sudah dicampur rempah dan disalai atau diproses hingga masak. Bagi penggemar sayur-sayuran pula, boleh mencelurnya sebelum digunakan.

Selain keju mozarella, anda boleh gunakan parutan keju cheddar. Pastikan rennet keju bukan daripada sumber tidak halal. Pilih non-animal coagulant atau microbial rennet. Sebaik-baiknya, parut terus ke atas pizza untuk mengelakkan ia berketul atau bergumpal.

Jika sukar mendapatkan oregano kering di dalam botol, boleh gantikan dengan Italian Seasoning. Herba seperti ini adalah penting untuk memberikan rasa asli atau autentik pizza. Sekiranya anda boleh memperolehi daun basil segar, taburkan di atas pizza sebaik saja ia dikeluarkan dari ketuhar.

Untuk menyimpan pizza secara dinginbeku, bakar sehingga separuh masak. Kemudian biar sejuk. Bungkus dengan plastik nipis sebelum diletak di dalam bekas bertutup. Anda juga boleh membungkus dengan kertas timah atau foil. Kemudian barulah disimpan di dalam freezer. Biar pizza kembali ke suhu bilik semula sebelum dibakar seperti biasa.

Bagi yang tidak mempunyai masa atau kesabaran untuk menguli doh pizza sendiri, boleh gunakan roti pitta. Selain menjimatkan masa, anda juga boleh mempelbagaikan bahan atasnya mengikut bajet dan kreativiti sendiri.

PIZZA
Bahan Doh
250 gm tepung roti
½ camb gula kastor
½ camt garam
2 camb mentega
½ camt bread softener
½ camt bread improver
5 gm yis segera
125 ml air suam

Bahan Sos
2 camb minyak
3 ulas bawang putih, ditumbuk
1 labu bawang besar, didadu
400 gm tomato dalam tin, dikisar
300 ml air
2 camb puri tomato
1 kiub stok daging (jika suka)

Bahan atas
1 camb minyak
100 gm ayam cincang
4 batang sosej, dihiris nipis
3 keping nenas dalam tin, dadu
1 camb oregano kering
100 gm keju Mozarella, diparut

Cara membuat
1.      Untuk sos: Panaskan minyak, tumis bawang putih dan bawang besar.
2.      Bila wangi, masukkan semua bahan lain. Kacau sekali-sekala hingga mendidih. Perlahankan api dan renihkan hingga pekat. Biar sejuk.
3.      Untuk doh: Gaulkan tepung roti dengan lima bahan seterusnya.
4.      Bila sebati, masukkan yis dan kacau rata-rata.
5.      Tuangkan sedikit demi sedikit air suam hingga menjadi doh.
6.      Uli selama 10 minit. Letak doh dalam mangkuk yang dilengser minyak.
7.      Tutup dengan tuala dan biar di tempat hangat sehingga naik dua kali ganda.
8.      Bahagikan dan canai setebal 6 mm.
9.      Untuk bahan atas: Panaskan minyak, goreng ayam hingga masak. Masukkan sosej. Kacau 2 minit dan angkat.
10.  Ratakan bahan sos kemudian taburkan dengan campuran ayam, sosej, nenas, oregano dan keju.
11.  Bakar pada 200 C selama 30-35 minit atau hingga masak.




Post a Comment