0
Pai Lemon Meringue
Limau susu atau lemon yang masam dibuat pai? Kedengaran ganjil tetapi keenakan pai ini memang tiada tandingan. Malah sajian ini merupakan salah satu hidangan utama orang-orang Inggeris semasa jamuan minum teh. Ia sajian tradisional yang sangat menyegarkan kerana rasa lemon yang masam dan lapisan atasnya yang manis. Begitu serasi pula dengan kulit atau dasarnya yang rangup.

Jika Lemon Meringue Pie terkenal di kalangan orang Inggeris, Key Lime Pie pula masyhur di dalam masyarakat Amerika. Jadi, limau susu atau limau nipis tidak hanya digunakan dalam bentuk perahannya (jus) sebagai bahan memasamkan masakan pedas atau savoury tetapi juga di dalam juadah manis.

Dalam apa jua jenis pai, bahagian paling penting adalah pastri atau dohnya. Pai ini adalah jenis ‘terbuka’ kerana lapisan pastri hanya di sebelah bawah. Ia berbeza dengan pai epal, pir atau pisang yang bertutup pastri di bawah dan atasnya. Seperkara yang mesti difahami tentang pai ‘terbuka’ adalah cara penyediaannya.

Kaedah yang dikenali sebagai blind bake ini mudah saja untuk difahami sebenarnya. Bahan penting yang mesti ada ialah ‘pemberat’. Ada jenis yang boleh dibeli, berbentuk bulat bersaiz seperti kacang kuda. Jikalau anda jarang membuat pai menggunakan pemberat, bolehlah gantikan dengan kacang merah, kacang parang atau kacang kuda yang belum dimasak.

Walau bagaimanapun, pemberat jenis kekacang ini tidak boleh lagi digunakan untuk memasak. Ini adalah kerana kulit luarnya telah ‘keras’ setelah dibakar. Anda perlu bungkus dan simpan saja untuk digunakan lain kali. Untuk tahan lebih lama, simpan di dalam peti sejuk.

Cara blind bake mudah saja. Alas pastri di dalam tin pai dengan kertas kalis minyak atau foil. Kemudian ratakan kekacang di atasnya. Bakar pastri sehingga masa yang dicatatkan di dalam resepi. Setelah itu, ketepikan foil dan kekacang. Bakar semula pastri supaya ia masak atau separuh masak, bergantung pada resepi tersebut. Pastikan permukaan pastri dicucuk dengan garfu supaya ia tidak menggelembung.
Jika blind bake pastri dalam tin-tin yang kecil, memadai mencucuk permukaannya dengan garfu. Anda tidak perlu mengalas dengan foil dan meletakkan kekacang. Jika permukaan pastri menggelembung sedikit, cucuk supaya udara di dalam gelembung itu keluar.

Bila memarut limau susu, jangan parut sehingga bahagian putihnya. Ini adalah kerana bahagian tersebut pahit. Parut kulitnya saja tetapi bersihkan terlebih dulu. Limau susu mempunyai lapisan semburan racun serangga dan pengawet supaya ia tahan lama. Bagi sesetengah kanak-kanak dan orang-orang tua, bahan-bahan sedemikian memudaratkan kesihatan mereka kerana sistem imunisasi yang belum sempurna atau sudah terlalu lemah.

Bagi yang tidak suka terlalu manis, boleh kurangkan gula di bahagian intinya kepada 50 gram. Anda boleh juga gunakan susu rendah lemak atau susu skim bagi menggantikan susu segar atau fresh milk. Bila memasak inti, pastikan apinya perlahan. Ia juga hendaklah dikacau tanpa henti sehingga berkilat. Ini menandakan intinya sudah masak.

Setelah meratakan inti di dalam kulit pai, biar ia sejuk sedikit. Kemudian barulah sediakan  meringue. Bahagian ini hanya memerlukan putih telur dan gula kastor. Jangan kurangkan gula di bahagian ini kerana tekstur meringue akan terjejas. Hasilnya kelak tidak sempurna dan bila dibakar, bentuknya tidak kekal lama.

Pai yang mempunyai lapisan meringue tidak sesuai disimpan di dalam peti sejuk. Ini adalah kerana, meringue akan menjadi lembik bila terdedah pada suhu rendah. Jika perlu, letak di dalam bekas bertutup yang kedap udara supaya ia rasanya segar sentiasa. Dengan cara ini juga, bahagian intinya tidak kering.

Bila anda ingin makan pai ini, pastikan anda menyuap ketiga-tiga lapisannya sekali – pastri di dasar, inti di tengah dan meringue di atas – kerana keenakan pai hanya dapat dinikmati dengan cara ini. Hidangkan dengan secawan teh lavender tanpa gula dan anda akan dapat bayangkan anda seolah-olah berada di dalam taman bunga di England pada suatu petang musim panas! Cubalah pai istimewa ini, anda tidak akan hampa, percayalah!

Bagi yang tidak sukakan limau susu, boleh juga gantikan dengan oren. Kaedahnya sama saja. Hanya perlukan 2 camca besar jus oren kerana ia lebih besar daripada limau susu. Untuk memudahkan anda memerah jus dari sebarang buah sitrus, letak selama 30 hingga 40 saat di dalam ketuhar gelombang mikro.

Perkara yang cukup penting bila hendak membuat meringue. Pastikan mangkuk dan peralatan memutar bebas dari sebarang minyak. Jari anda juga mestilah bersih dan tidak berminyak ketika mengasingkan telur putih dan kuning.

Jika ada sedikit minyak pun, meringue tidak menjadi kental (stiff) dan teksturnya tidak gebu (fluffy). Jirus mangkuk dan peralatan dengan air mendidih kemudian lap kering-kering dengan tuala bersih. Gunakan mangkuk keluli jika boleh kerana ia lebih mudah bersih daripada mangkuk plastik.





Pai Lemon Meringue

Bahan pastri
240 gm tepung gandum
1/2 camt garam
120 gm mentega
2 camb air ais

Bahan inti
1 biji limau susu, diparut & perah airnya
3 biji kuning telur
70 gm gula kastor
¼ camt garam
4 camb tepung jagung
1 camb mentega
400 ml susu segar

Bahan atas
2 biji putih telur
90 gm gula kastor
Cara membuatnya
1.      Untuk pastri: Gaul tepung dan garam dengan mentega.
2.      Masukkan sedikit demi sedikit air dan uli menjadi doh. Bungkus dan simpan di dalam peti sejuk selama 30 minit.
3.      Canai pastri dan alas tin pai berukuran 25 cm. Letak di dalam peti sejuk selama 10 minit.
4.      Cucuk dasar dan keliling dengan garfu, alas dengan kertas kalis minyak dan isikan dengan kekacang (sebagai pemberat).
5.      Bakar pada 200 C selama 10 minit. Ketepikan kertas dan kekacang, bakar 10 minit lagi.
6.      Pukul kuning telur selama 3 minit, masukkan gula, garam, tepung jagung dan mentega.
7.      Panaskan susu hingga hampir mendidih, tuangkan ke dalam bancuhan telur sambil diputar rata.
8.      Kacau tanpa henti atas api perlahan hingga pekat.
9.      Masukkan kulit dan jus limau susu, kacau sebati. Ratakan dalam kulit pai.
10.  Pukul putih telur hingga kental, masukkan sedikit demi sedikit gula, pukul hingga kental.
11.  Ratakan di atas inti limau susu. Bakar pada 170 C selama 15-20 minit atau hingga atasnya keperangan.





Post a Comment