0
LASAGNE
Bagi penggemar makanan Italy, tentu tidak asing lagi dengan masakan ini. Ia sama popular seperti Spageti Bolognese. Jikalau pasta jenis lain menggunakan sos yang digaul bersama sebelum makan, lasagne berbeza kerana ia dilapiskan dengan dua jenis sos.

Sebelum itu, kita perlu tahu apa yang dimaksudkan dengan pasta. Ada pelbagai jenis pasta. Antara jenis paling terkenal adalah spageti dan makaroni. Spageti juga ada jenis halus (angel hair) atau kasar. Ada juga makaroni (elbow) yang berbentuk siku. Jenis pasta harus diambil kira bila membuat sosnya. Sos berkrim lebih sesuai untuk pasta yang bersegi atau kasar teksturnya supaya sos melekat dengan mudah.

Pilih lasagne ‘easy cook’ atau  tidak perlu dimasak (no need to pre-cook). Ia selalu dijual di dalam kotak. Walaupun keras, ia akan menjadi lembut setelah dimasak. Gunakan juga bekas atau mangkuk kaserol yang besar sedikit daripada kepingan lasagne tersebut. Ini akan menghasilkan lasagne yang sempurna bentuknya setelah dimasak.

Ada dua jenis sos yang diperlukan. Pertama, sos daging yang menggunakan tomato di dalam tin. Dapatkan jenis tomato tanpa kulit (peeled tomatoes). Anda juga boleh gunakan tomato segar. Untuk mengupas kulitnya, buat potongan ‘X’ di bahagian bawah. Kemudian celur sebentar di dalam air mendidih. Bila kulitnya nampak tanggal, alihkan ke dalam mangkuk berisi air sejuk. Dengan cara ini, anda boleh kupas kulit tomato dengan mudah.

Buangkan bahagian biji dan empulur. Kemudian kisar dalam food processor atau blender hingga halus. Puri tomato memberikan warna kemerah-merahan pada sos. Pastikan anda masukkan gula ke dalam sos begini kerana ini dapat mengurangkan rasa masam (acidity) tomato. Sos bertomato ini adalah hampir serupa dengan sos untuk bolognese.

Jika inginkan lasagne makanan laut, gantikan daging kisar dengan udang, sotong atau isi ikan. Anda tidak perlu memasaknya lama jikalau dibandingkan dengan daging atau ayam kerana ia mudah empuk. Untuk menjimatkan masa, boleh juga gunakan tuna atau sardin sebagai lauk di dalam lasagne.
Sos kedua adalah sos putih atau white sauce. Ia juga dikenali sebagai Bechamel Sauce. Hendaklah menggunakan mentega dan jangan gantikan dengan marjerin. Kacau atas api perlahan hingga tepung benar-benar masak (berbuih halus) sebelum menuangkan susu. Jika tidak suka susu segar, boleh gantikan dengan susu cair dengan air. Untuk mengurangkan lemak, boleh juga gunakan separuh bahagian air dengan separuh bahagian susu segar atau susu rendah lemak (skim milk or low-fat milk).

Bahagian atas lasagne selalunya ditaburkan dengan keju. Selain Parmesan, boleh juga gunakan keju Cheddar atau Cheshire. Sesetengah keju mengandungi ‘rennet’ daripada sumber binatang dan ini tidak Halal untuk orang Islam. Jikalau tidak sukakan keju, tak perlu menaburkannya. Andaikata anda biasa menggunakan keju dalam bentuk kepingan, bolehlah dipotong halus dan tidak perlu diparut.

Jika permukaan lasagne nampak terlalu perang (keju cepat hangus), tutup atasnya (longgar) dengan aluminium foil. Kemudian bakarlah lagi hingga masak seluruhnya. Bagi yang sukakan lebih lemak, boleh tambahkan keju dan taburkan di atas setiap lapisan sos putih. Untuk lebih harum, tambah beberapa helai daun bay ke dalam sos putih semasa memasaknya.

Selain herba oregano kering, boleh juga gunakan herba Italian. Namun begitu, adalah digalakkan menggunakan herba rosemary bila membuat lasagne menggunakan daging kambing. Penggunaan herba akan membangkit rasa Mediterranean ke dalam masakan Italy ini.

Bagi yang inginkan pedas, boleh tambah serbuk cili semasa memasak sos daging. Begitu juga untuk penggemar ‘fusion food’ boleh memasukkan sedikit serbuk rempah kari ke dalam sos tersebut. Ini akan memberikan rasa berbeza yang lebih menyelerakan terutama bagi mereka yang suka perisa kari.

Lasagne amat sesuai didinginbeku atau frozen. Pastikan ia benar-benar sejuk sebelum ditutup kemas dan dibungkus dengan plastik yang sesuai digunakan di dalam freezer atau peti pembeku (juga dikenali sebagai chiller). Bila hendak dimakan, anda perlu menyahbekukan sebentar pada suhu bilik atau di dalam ketuhar gelombang mikro. Panaskan semula dan ia sudah sedia untuk dinikmati.

Jikalau anda mahir membuat sos daging dan sos putih, anda boleh nikmati pelbagai jenis pasta lagi. Umpamanya, sos putih yang dimasak dengan udang kemudian dituang ke atas pasta dan ditaburkan keju sebelum dibakar adalah merupakan juadah ‘Macaroni and Cheese’. Manakala sos daging dapat dijadikan sos asas pembuatan piza. Jadi, dengan mengetahui dan memahirkan diri membuat lasagne, anda akan dapat nikmati lebih banyak masakan Italy – tanpa anda menyedarinya!

LASAGNE
8 keping lasagne
50 gm keju Parmesan*, diparut


Bahan Sos Daging
3 camb minyak
1 labu bawang besar, dicincang halus
4 ulas bawang putih, dicincang halus
400 g daging, dikisar
410 g tomato, dikisar
450 ml air
1 kiub stok daging
2 camb tomato puri
1 camt oregano kering

gula, garam, serbuk lada hitam secukupnya


Bahan Sos Putih
80 gm mentega
80 gm tepung gandum
500 ml susu segar/UHT

300 ml air
garam, serbuk lada sulah secukupnya


Cara membuatnya:
1. Panaskan minyak, tumis bawang besar dan bawang putih hingga wangi.
2. Masukkan daging kisar, tomato kisar, air, pati rebusan daging dan puri tomato.
3. Masak atas api sederhana hingga daging empuk dan kuahnya pekat.
4. Bubuh serbuk lada hitam, gula (lebihkan sedikit untuk mengimbangi rasa masam tomato puri) dan garam kemudian angkat.
5. Untuk sos, cairkan mentega. Masukkan tepung dan kacau 1-2 min hingga permukaannya berbuih halus.
6. Tuangkan susu dan kacau lagi atas api perlahan hingga sos pekat.
7. Sebaik-baiknya, kacau dengan 'balloon whisk' supaya sos tidak berketul.
8. Masukkan garam dan serbuk lada sulah kemudian angkat.
9. Ratakan sedikit sos daging, satu lapisan lasagne.
10. Kemudian sos daging, sos putih dan satu lapisan lasagne. Ulang hingga lapisan atas iaitu
sos daging, sos putih dan keju.
11. Bakar pada 180 C selama 40-45 minit atau hingga masak.





Post a Comment