0

KEK LOBAK MERAH
Antara kek yang diminati ramai selain daripada kek coklat dan kek mentega adalah kek lobak merah. Baunya yang harum dan khasiatnya yang banyak menjadikan kek ini popular terutama di kafe. Ia juga sesuai sebagai pencuci mulut kerana tidak begitu manis. Namun begitu, harganya agak mahal. Jadi, marilah belajar membuatnya sendiri di rumah.

Kebanyakan kek lobak merah memerlukan anda memarut halus lobak terlebih dulu. Kemudian perah airnya untuk mendapatkan hampasnya saja. Airnya pula perlu disukat dan dimasukkan sebanyak yang perlu saja. Memarut lobak merah bukan perkara yang mudah kerana anda perlu menggunakan penyagat bermata halus.

Resepi yang dipaparkan di sini hanya perlukan anda mengisar lobak merah dengan walnut sekaligus. Ini memastikan kedua-dua hancur dan sebati. Gunakan food processor atau pengisar yang tidak menggunakan air. Hanya kisar pada saat akhir sebelum memasukkan ia ke dalam adunan kek. Ini untuk mengelakkan ia bertukar warna menjadi keperangan.

Kek lobak merah selalunya mempunyai campuran kacang walnut. Ini memberikan warna kecoklatan kepada kek. Kek akan nampak lebih menarik bila warna coklat bercampur dengan jingga lobak merah. Lobak merah dan walnut adalah kombinasi terbaik sepertimana epal dan serbuk kulit kayu manis. Supaya walnut lebih rangup, bakar sebentar di dalam ketuhar. Biar sejuk baru dikisar dengan lobak merah itu.

Seperti kebanyakan kek yang menggunakan cara memukul mentega dan gula, anda perlu pastikan adunan betul-betul kembang sebelum memasukkan telur. Sebaik-baiknya, telur dipecahkan ke dalam mangkuk dan dipukul sedikit. Kemudian masukkan sedikit demi sedikit dan hendaklah memukul sebati selepas setiap kali. Ini adalah supaya telur betul-betul bergaul dan mesra dengan adunan.

Di dalam kek lobak merah ini, parutan dan air oren dicampurkan sekali. Ini adalah supaya kek lebih harum. Jika anda tidak sukakan oren, boleh digantikan jusnya dengan susu segar atau susu cair. Selain itu, susu tepung yang dicampurkan dengan air juga boleh menggantikan susu segar atau susu cair.

Untuk menambah keenakan kek, gunakan mentega tulen yang bermutu tinggi. Mentega jenis ini lazimnya lebih mahal daripada mentega campuran (sumber susu dan sayuran). Manakala bagi yang tidak menyukai bau mentega, boleh menggunakan marjerin. Anda juga boleh mencampurkan mentega dan marjerin (sukatan dibahagi dua). Ia tidak memberi apa-apa kesan kepada kek yang sudah dibakar itu.

Mentega di dalam tub atau bekas plastik hanya sesuai bagi kek di mana anda hanya perlu pukul semua bahan sekaligus. Teknik ini dinamakan ‘All-In-One’. Tidak semua resepi kek boleh menggunakan teknik ini. Ia sangat mudah kerana menjimatkan masa dan anda hanya perlukan sebiji mangkuk untuk memukul semua bahan sehingga gebu dan kembang.

Sesetengah orang juga sukakan rasa krim keju dengan kek lobak merah. Caranya adalah mengurangkan setengah sukatan mentega dan tambah dengan sukatan sama banyak krim keju. Anda perlu pastikan krim keju berada pada suhu bilik dan cukup lembut. Jika tidak, krim keju sukar larut di dalam adunan dan kelihatan ketulan kecil berwarna merah.

Oleh kerana adunan kek ini bersifat ‘berat’, anda perlu ratakan di dalam tin sebelum membakarnya. Ini berbeza dengan kek mentega biasa. Bagi mereka yang seringkali merungut kek mereka naik tinggi di bahagian tengah saja, ikuti petua ini.

Setelah meratakan adunan di dalam tin, pegang senduk kayu kira-kira 1/3 jarak dari keliling tin. Ia hendaklah kira-kira 2 cm dari paras atas adunan. Kemudian dengan tangan yang sebelah lagi, pusingkan tin supaya membentuk ‘kawah’ yang rata di bahagian tengah adunan. Selepas itu terus bakar. Dengan cara ini kek bahagian tengah akan kembang dan menjadi sama paras dengan tepi keliling kek.

Kek lobak merah memang sedap dan dengan resepi mudah ini, anda tidak ada alasan lagi untuk tidak membuatnya sebagai hidangan petang untuk keluarga tersayang! Untuk lebih menyelerakan, hias dengan Aising Krim Keju yang lemak-lemak manis. Nanti kita akan bercerita tentang pelbagai jenis aising pula….

Kek Lobak Merah
180 gm mentega
150 gm gula kastor
3 biji telur
240 gm tepung naik sendiri
150 gm lobak merah, dikisar
30 gm walnut, dikisar
Parutan kulit 1 biji oren
60 ml jus oren
3 camca besar susu segar

Cara membuatnya
1.      Pukul mentega dan gula hingga kembang.
2.      Masukkan sebiji demi sebiji telur, kacau rata.
3.      Bubuh tepung naik sendiri diselangseli dengan jus oren dan susu.
4.      Akhir sekali masukkan lobak merah, walnut dan parutan oren.
5.      Ratakan di dalam tin 20 cm yang dialas kertas kalis minyak dan dilengser marjerin.

6.      Bakar pada 190 C selama 1 jam atau hingga masak.

Post a Comment