1
YEE MEE BERKUAH
Selain mi kuning, bihun dan kuey teow, yee mee sangat popular sebagai salah satu hidangan semasa berbuka puasa. Namun ramai yang masih tidak yakin bagaimana hendak membuatnya. Yee Mee adalah sejenis mi kering dan boleh disimpan lama pada suhu bilik. Bentuknya bulat dan disusun menegak di dalam plastik lutsinar.

Kita mungkin tidak asing lagi dengan Sizzling Yee Mee yang dihidangkan di atas hot plate. Ia mudah dibeli di mana-mana food court yang besar. Walaupun masakan kali ini nampak seperti itu tetapi rasanya berbeza dan ia agak mudah disediakan.

Yee Mee amat senang digunakan kerana anda hanya perlu merendamnya di dalam air mendidih. Setelah ia nampak lembut, tuangkan ke dalam bekas penyejat untuk membuang airnya. Kemudian kecaikan dengan garfu atau chopsticks. Anda boleh juga menggaulkannya dengan sedikit minyak masak. Ini untuk mengelakkan ia lekat.

Seperkara lagi adalah Yee Mee tidak mudah kembang walaupun terendam lama di dalam kuah. Ini berbeza dengan mi kuning atau bihun. Seandainya sukar membeli Yee Mee, anda boleh gantikan dengan mi kuning atau mi siput. Bagi yang inginkan kelainan, boleh juga gunakan pasta seperti makaroni dan lain-lain.

Semua sos yang diperlukan untuk hidangan ini boleh dibeli di mana-mana pasaraya. Jika sukar mendapatkan sos Hoisin, anda boleh gantikan dengan taucu. Ambil kira-kira 3 camca besar taucu kemudian jiruskan air untuk membuang lebihan garam. Cincang halus taucu dan tambahkan air untuk mendapatkan 80 ml (lebihkurang sepertiga cawan). Masakan tidak perlu ditambah dengan  garam kerana taucu sudah masin.

Seandainya anda inginkan kuahnya pedas, tambah beberapa sudu pes cili atau serbuk cili. Masukkan ketika menumis bawang. Ini penting kerana pes cili itu hendaklah betul-betul masak sebelum memasukkan ayam.

Jika suka daging, anda perlu menambah air biasa ke dalamnya  dulu. Bila mendidih, perlahankan api dan tutup periuk. Proses ini dinamakan merenih atau simmering. Namun perlulah dikacau sekali-sekala.

Bila daging sudah empuk, barulah ditambah dengan bahan sos. Daging juga boleh direbus secara berasingan hingga empuk. Air rebusannya mesti dicampurkan ke dalam kuah supaya kuah menjadi lebih sedap.

Untuk menjimatkan masa, mungkin anda perlu menggantikan ayam atau daging dengan udang atau sotong. Malah isi ikan merah dan tenggiri juga sesuai untuk digunakan. Semuanya terpulang pada budget masing-masing.

Isi kupang akan memaniskan lagi kuah. Ia sudah siap dijual tanpa kulit dan anda boleh terus gunakan. Sekiranya hendak digantikan dengan kerang juga boleh. Sekiranya anda ingin menghidangkan masakan ini di dalam majlis, anda perlu mencelur sawi. Ini adalah supaya ia boleh dihidangkan secara berasingan. Selain sawi, boleh gunakan kubis dan lobak merah.

Untuk menyedapkan hidangan, sediakan campuran cuka, air, gula, garam dan hirisan cili merah. Campurkan cili padi jika anda suka pedas. Taburkan bawang goreng dan hirisan daun bawang supaya hidangan lebih menyelerakan.

Yee Mee (atau Mi Kuning) Berkuah

Bahan-bahan
3 camb minyak
2 ulas bawang putih    } dicincang halus
½ labu bawang besar   }
300 gm dada ayam – dihiris
8 biji cendawan kering – direndam
100 gm isi kupang
3 pokok sawi – dipotong 3 cm
3 camb tepung jagung } bahan pemekat
3 camb air                    }
1 paket mi kuning
Hirisan cili merah, untuk tabur
Garam, gula secukupnya

Bahan sos (satukan)
1 liter air rebusan ayam
80 ml sos Hoisin (pastikan Halal)
80 ml sos tomato
80 ml sos cili
40 ml sos tiram
40 ml sos lada hitam

Cara membuat
1.      Panaskan minyak, tumis bawang putih dan bawang besar.
2.      Bila agak garing, masukkan ayam. Kacau hingga separuh masak.
3.      Tuangkan bahan sos dan cendawan, kacau sekali-sekala.
4.      Bila mendidih, masukkan kupang dan sawi.
5.      Setelah sawi layu, bubuh pula bahan pemekat.
6.      Kacau dan tambah garam dan gula sebelum diangkat.
7.      Celur mi dengan air mendidih kemudian sejatkan.
8.      Isikan ke dalam mangkuk. Tuangkan kuah dan hidangkan.




Post a Comment