TRIFLE
Puding trifle
terkenal sebagai sajian pencuci mulut. Ia sesuai untuk berbuka puasa atau
hidangan meja buffet. Anda perlu
menyediakannya di dalam mangkuk kaca lutsinar kerana ia ada tiga lapisan yang
berlainan warna.
Lapisan pertama
adalah kek. Selain kek span, trifle akan nampak cantik jika menggunakan kek
gulung atau swiss roll. Pilih warna
kek yang tidak terlalu kontras dengan warna jeli. Misalnya, kek gulung perisa
strawberi dengan jeli perisa strawberi. Atau kek gulung perisa pandan dengan
jeli perisa pandan.
Kek perlu
dihiris nipis dan diatur selapis pada dasar mangkuk. Ini adalah supaya ia mudah
menyerap jeli yang dituang nanti. Di atas kek ini, anda perlu taburkan
buah-buahan yang dihiris kiub kecil.
Seterusnya,
lapisan jeli boleh disediakan dari bahan asas iaitu serbuk agar-agar, air, gula
dan pewarna. Anda juga boleh membeli serbuk jeli di dalam kotak dan memilih apa
saja perisa yang anda sukai. Jika menggunakan serbuk jeli, ikuti peraturan pada
kotak. Selalunya, anda hanya perlu campurkan serbuk jeli itu dengan air panas.
Kacau hingga jeli sebati kemudian tuangkan ke atas kek dan buah-buahan tadi.
Sekiranya
menggunakan serbuk agar-agar, hendaklah dimasak hingga larut di atas api.
Selepas diangkat, kacau agar-agar yang sudah masak itu selama 6-7 minit sebelum
dituangkan ke dalam bekas tersebut. Jika agar-agar yang terlalu panas
dituangkan ke dalam bekas atau mangkuk tidak tahan panas, ia akan pecah.
Lapisan tengah
trifle adalah puding kastard. Petua paling penting bila menyediakan kastard
adalah melarutkan ia di dalam sedikit susu. Kemudian barulah ditapiskan ke
dalam baki susu. Gula ditambah ikut suka manisnya kerana lapisan jeli juga
manis.
Puding kastard
hendaklah dikacau atas api perlahan hingga pekat. Jika api kuat, bahagian bawah
atau dasar periuk akan hangus dengan mudah. Setelah puding kastard pekat, kacau
cepat-cepat selama 2-3 minit atau hingga berkilat. Ini menandakan ia sudah
masak. Angkat dan ratakan di atas lapisan jeli yang sudah keras atau set.
Lapisan
seterusnya adalah krim putar. Ia dikenali sebagai whipping cream atau double
cream. Untuk memudahkan krim kental, pastikan pemukul elektrik tidak
mengandungi sebarang kesan minyak (terutama jika digunakan untuk membuat kek).
Bilas dengan air panas, lap kering dan letak di dalam peti sejuk selama 30
minit. Begitu juga dengan mangkuknya.
Dengan cara ini,
krim putar tidak memerlukan masa yang lama untuk kental. Hendaklah diputar pada
kelajuan minima. Anda juga boleh memukul dengan tangan. Gunakan pemukul belon
atau balloon whisk. Bila krim kental,
jangan teruskan memukul kerana krim akan menjadi cair pula. Jika ini terjadi,
anda tidak boleh menggunakannya lagi.
Isikan krim ke
dalam beg aising bernozzle (muncung)
bentuk bintang. Pastikan kastard sudah sejuk sebelum memicitkan krim ke
atasnya. Kemudian puding perlu disimpan di dalam peti sejuk sehingga tiba waktu
untuk menghidangkannya. Puding jenis ini mesti disajikan dingin. Jika ingin
menghidangkannya di majlis jamuan, pastikan ia dikeluarkan dari peti sejuk pada
saat akhir.
Sekiranya anda
mahu menjimatkan masa dan berasa sukar untuk membuat krim putar, anda boleh
beli krim di dalam tin. Amat mudah menggunakannya kerana anda hanya perlu
menggoncangkannya kemudian memicit terus ke atas kastard. Muncungnya juga
lengkap dengan nozzle bintang. Krim
jenis ini juga boleh disimpan di dalam peti sejuk dan dipicit ke atas puding
atau kek bila perlu.
Sebelum
disajikan, hias atasnya dengan hirisan buah-buahan atau ceri. Selain itu, anda
juga boleh taburkan coklat urai, manek aneka warna dan parutan coklat masakan. Ada orang menghiasnya
dengan sos coklat atau sos strawberi di dalam botol. Sos jenis ini juga sedap
dimakan dengan aiskrim. Kreativiti menghias terpulanglah pada pilihan sendiri.
TRIFLE
80 gm jeli perisa strawberi (kotak/paket)
400 ml air panas
180 gm kek gulung, dihiris nipis
100 gm buah-buahan koktel (tin)
300 ml susu segar
40 gm gula kastor
35 gm tepung kastard
200 ml krim putar
Hirisan buah-buahan (hiasan)
Cara membuatnya
1. Campurkan
jeli dengan air panas. Kacau hingga larut, ketepikan.
2. Susun
kek di dalam mangkuk. Taburkan buah-buahan di atasnya.
3. Tuangkan
jeli dan biar keras.
4. Larutkan
tepung kastard dengan sedikit susu. Tapiskan ke dalam periuk.
5. Tuangkan
baki susu dan gula. Kacau atas api perlahan hingga pekat.
6. Ratakan
di atas jeli dan biar sejuk.
7. Pukul
krim hingga kental. Picitkan di atas kastard.
8. Hias
dengan buah-buahan.
Post a Comment
0 comments