0

TAUHU BAKAR

Ada pelbagai produk kacang soya seperti air, taufufah, tauhu, tauhu kering (fucuk), tempe, taucu dan lain-lain. Taufu pok adalah tauhu yang sudah siap digoreng. Sukar untuk membuatnya sendiri di rumah kerana prosesnya agak rumit. Jadi, anda perlu membelinya di pasar atau pasaraya.

 

Tauhu bakar juga mengandungi protein yang mudah hadam di dalam tubuh. Selama bertahun-tahun ramai orang yakin kepada produk-produk berasaskan soya kerana dikatakan ia dapat mengelak daripada penyakit kanser.

 

Tauhu bakar merupakan satu hidangan yang menyihatkan kerana ia menggunakan banyak jenis sayur-sayuran. Di antaranya ialah taugeh, timun dan sengkuang. Anda juga boleh mencampurkan lobak merah. Ini akan memberi warna jingga yang menarik.

 

Sayur-sayuran hendaklah di dicincang halus dan memanjang supaya mudah disumbat ke dalam tauhu. Kuahnya juga akan lebih mesra dengan sayur-sayuran itu. Jangan sumbat terlalu awal kerana air mungkin akan terbit daripada sayuran tersebut. Ini akan membuatkan rasanya tidak rangup lagi.

 

Pilih taufupok berbentuk empatsegi. Jenis bulat atau terlalu kecil tidak sesuai. Langkah pertama adalah menggril atau memanggang dengan kepanasan dari bahagian atas ketuhar. Pastikan suhu tidak terlalu tinggi kerana tauhu akan mudah hangus. Tentukan sendiri kerana ketuhar yang berlainan perlukan kepanasan yang berbeza.

 

Bila menggril, kedudukan tauhu hendaklah pada jarak tertentu supaya ia menjadi keperangan dengan perlahan-lahan. Jika tauhu terlalu dekat dengan pemanas, ia mudah hangus dan terasa pahit. Gunakan pemegang keluli yang panjang untuk membalikkan tauhu supaya masak sama rata. Tauhu yang hampir masak akan berbau harum dan berwarna keemasan.

 

Anda juga boleh membakar tauhu dengan bara api seperti membuat sate. Sebaik saja masak, isikan dengan sayur-sayuran kemudian hidangkan dengan kuahnya. Anda perlu menggunting sebelah bahagian taufupok sebagai ruang untuk menyumbat sayur-sayuran itu.

 

Kuah tauhu bakar boleh disediakan beberapa hari sebelum itu. Anda boleh membuatnya banyak dan letak di dalam bekas plastik yang bertutup kemas. Letak bekas di atas rak di dalam peti sejuk. Anda boleh terus menggunakannya sebagai kuah bila terasa hendak makan atau minum. Ia juga sesuai disajikan dengan murtabak dan keropok lekor.

 

Apakah yang dimaksudkan dengan istilah ‘sangai’? Ia bermakna menggoreng kering di atas api perlahan. Anda tidak perlu memasukkan sebarang minyak. Pastikan ia dikacau selalu. Jika mahu, boleh juga menggril selama beberapa minit. Kacau sekali dengan senduk kayu kemudian perhatikan betul-betul kerana bijan mudah hangus.

 

Semua bahan sos perlu dikacau hingga sebati. Masukkan sedikit garam. Kemudian jerang di atas api sederhana hingga mendidih. Semasa proses memasak seterusnya, anda mesti selalu mengacau bahan-bahan tersebut. Ini adalah untuk mengelakkan ia melekat pada sisi atau bawah periuk.

 

Bila kuah menjadi pekat, anda hendaklah membiarkan ia sejuk. Namun begitu pastikan sudah ditambah garam sebelum itu. Sekiranya kuah menjadi pekat dan agak kental, tambahkan air mendidih dan kacau dengan balloon whisk atau pemutar telur. Dengan cara ini, kuah akan mudah larut.

 

Anda juga boleh menambahkan kacang tumbuk dan bijan ke dalam. Bagi yang tidak begitu gemarkan kedua-duanya, tidak perlu memasukkannya. Walaupun begitu, bagi yang sukakannya boleh memasukkan bijan dan kacang terus ke dalam kuah. Dengan cara ini, anda tidak perlu menaburkan di atasnya. Namun begitu, kuah akan menjadi pekat dengan adanya kacang.

 

Tauhu bakar adalah hidangan yang sesuai untuk sebarang majlis kerana tidak memerlukan masa yang panjang untuk disediakan. Ia juga tidak jemu dimakan kerana mengandungi pelbagai rasa daripada sayur-sayuran yang ada.

 

Jika sukar untuk mendapatkan taufupok, anda boleh gunakan tauhu biasa yang digoreng keemasan. Potong kiub kemudian gaul dengan sayur-sayuran lain. Tuangkan kuah di atasnya dan taburkan dengan kacang.

 

TAUHU BAKAR

Bahan-bahan
4 keping tauhu (taufupok)
100 gm taugeh, dibuang ekor
1/2 biji timun
1/2 biji sengkuang
garam secukupnya
2 camb bijan, disangai
50 gm kacang tanah, disangai & tumbuk

Bahan Sos
3 camb pes cili
1 ulas bawang putih, ditumbuk
2 camb gula merah
1 camb gula pasir
2 camb air asam jawa
30 ml sos plam
30 ml sos Hoisin
50 ml sos cili
500 ml air

 

Cara-cara

1.      Bakar atau gril tauhu hingga keperangan.
2.      Celur taugeh dalam air panas. Toskan dan letak dalam pinggan.
3.      Racik sengkuang dan timun kecil seperti mancis.
4.      Masak bahan sos hingga mendidih. Perlahankan api, renihkan dan kacau sekali-sekala.
5.      Bila kuah sos pekat, masukkan bijan. Angkat dan biar sejuk.
6.      Potong atau gunting bahagian tepi tauhu.
7.      Sumbatkan campuran taugeh, timun dan sengkuang.
8.      Sudukan sos di atasnya. Kemudian taburkan kacang. 



Post a Comment