RENDANG LIMPA
Selain daging
dan hati, limpa selalunya dibuat rendang. Ini adalah kerana ia mengambil masa
yang agak lama untuk menjadi empuk. Limpa agak sukar dibeli kerana di dalam
seekor lembu, hanya sedikit limpa yang boleh diperolehi. Andaikata anda ingin
menyediakan masakan ini, pesanlah limpa terlebih dulu daripada penjual daging
segar seperti di pasar-pasar harian, pasar tani atau pasar malam.
Limpa yang masih
baru nampak segar dan kemerah-merahan gelap. Ia tidak berbau dan menganjal bila
disentuh. Perkara pertama yang mesti dilakukan adalah memotong nipis mengikut
bentuknya. Hasil potongan sepatutnya berbentuk tiga segi. Seluruh tepi limpa
adalah kulit nipisnya. Dengan adanya kulit ini semasa limpa dimasak, isinya
tidak akan hancur.
Basuh bersih-bersih
di bawah air paip. Kemudian toskan di dalam penyejat. Bila betul-betul kering
barulah dimasukkan ke dalam kuali. Rendang ini tidak rumit. Anda hanya perlu
kisar semua bawang dan cili kering. Untuk menjimatkan masa (kerana cili kering
perlu digunting serong, dibuang biji dan direndam dalam air panas), anda boleh
gunakan pes cili.
Pes cili juga
dikenali sebagai cili boh. Pilihlah yang berwarna merah cerah dan jangka tarikh
luput yang lambat lagi. Setelah menggunakan pelbagai jenama pes cili, saya rasa
anda sendiri tahu jenama apakah yang boleh dipercayai mutunya. Sesetengah pes
cili agak pucat warnanya dan terlalu kental. Elakkan dari menggunakan ia.
Untuk lebih
pedas, tambahkan pes cili. Begitu juga untuk cili kering. Namun begitu, adalah
sukar menganggarkan jumlah cili kering yang patut anda guna. Sesetengah cili
kering yang keriting memang lebih pedas. Ada
orang mencampurkan cili kering, pes cili dan cili merah. Ini akan mengubah
sedikit rasa rendang tetapi terpulanglah pada citarasa masing-masing.
Seandainya
inginkan kelainan, anda boleh rendam kepingan asam gelugur di dalam air panas.
Ini akan mengurangkan sedikit masamnya. Kemudian hiris halus-halus dan
campurkan ke dalam rendang (langkah pertama).
Ramuan paling
penting dalam masakan mana-mana rendang sekalipun adalah lengkuas dan serai.
Manakala halia pula dapat mengurangkan rasa ‘hanyir’. Oleh kerana lengkuas yang
digunakan hanya sedikit tetapi anda perlu membelinya banyak (sebuku), cara
menyimpannya amat mudah.
Kupas kulit
lengkuas dan cuci bersih. Kemudian potong nipis-nipis. Alaskan bekas kedap
udara dengan kitchen towel. Susun
potongan lengkuas di atasnya. Tutup dan simpan di dalam peti sejuk (rak bawah).
Anda juga boleh menjemurnya hingga kering. Kemudian kisar hingga halus. Bila
sudah menjadi serbuk, anda boleh menyimpannya di dalam botol dan letak di dalam
almari. Cara ini sesuai bagi sesiapa yang menuntut di luar negara kerana
kesukaran membeli lengkuas.
Cara lain adalah
menanam lengkuas, halia dan serai di rumah. Selain menjimatkan, ia juga akan
mengindahkan taman anda. Anda juga tidak perlu bersusah payah ke kedai di
samping dapat memastikan ramuan yang anda gunakan itu segar sentiasa.
Seandainya menanam kunyit pula, anda juga boleh menggunakan daunnya di dalam
masakan.
Rendang limpa selalunya
ditambah daun limau purut atau daun kunyit. Dedaun seperti ini mewangikan
rendang. Tidak perlu memasukkan kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang
atau buah pelaga. Selera orang yang menikmati rendang mungkin tergugat bila
mereka tergigit rempah-rempah itu.
Untuk rendang
berkuah, angkat sebelum ia kering. Panduan yang penting juga adalah rendang
mesti dikacau tanpa henti terutama selepas memasukkan kerisik kerana ia menjadi
pekat dan mudah hangus.
Limpa banyak
mengandungi zat besi. Walaupun begitu, bagi sesetengah orang yang mempunyai
tahap kolesterol tinggi atau menghidap pelbagai penyakit seperti darah
tinggi atau penyakit jantung, patut
mengelak dari memakan organ dalaman haiwan.
RENDANG LIMPA
1 kg limpa – dipotong 16
1 kpg asam gelugur
3 camca besar serbuk ketumbar
2 camca besar serbuk jintan manis
1 batang serai, dititik
1.4 liter santan (2 biji kelapa)
150 g kerisik
Gula, garam secukupnya
Bahan kisar
12-15 tangkai cili kering, direndam
1 labu bawang besar
6 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
3 cm halia
4 cm lengkuas
1 batang serai
Cara membuatnya
1.
Jerang limpa dengan bahan kisar, asam gelugur,
ketumbar, jintan manis, asam, serai dan santan.
2.
Masak atas api perlahan hingga mendidih.
3.
Bila kuah tinggal separuh, masukkan kerisik, garam dan
gula.
4.
Kacau sekali-sekala hingga kering dan naik minyak.
Post a Comment
0 comments