0
TAT NENAS
Biskut menjadi kegemaran bukan saja menjelang sesuatu perayaan. Kita boleh sediakan sebagai juadah menjamu tetamu yang berkunjung ke rumah. Ada juga yang membawanya sebagai buah tangan bila melawat sanak-saudara atau rakan-taulan. Anda boleh susun di dalam botol yang berhias dengan renda, reben dan manik untuk mencantikkannya.

Salah satu biskut atau kuih ‘Raya’ yang cukup terkenal adalah Tat Nenas. Lazimnya ada dua jenis tat. Tat yang terbuka di atas atau tat nyonya dan tat gulung. Tat nyonya mempunyai hiasan di sekelilingnya. Secara tradisi, hiasan itu dibuat dengan cara menyepit doh dengan penyepit khas yang bergerigi hujungnya.

Di kalangan sesetengah orang, tat gulung juga dikenali dengan nama Biskut Nastar. Intinya hanya kelihatan di kedua-dua hujung sahaja. Anda perlukan acuan khas yang boleh juga digunakan untuk membentuk semperit. Acuan ini diperbuat daripada plastik atau keluli. Jenis plastik mudah dicuci dan tidak berkarat serta tahan lama.

Ia mempunyai corong tempat meletakkan adunan dan penekan yang dapat menolak adunan itu keluar. Anda juga boleh gunakan nozzle berbentuk yang sama, yang digunakan untuk membuat hiasan pada kek. Lebar hujungnya adalah lebih kurang 2 sm.

Seperti kebanyakan adunan biskut, tidak perlu memukul mentega dan marjerin dengan gula aising hingga kembang. Ini hanya akan membuat tat mengembang bila ia dibakar. Tat akan hilang bentuknya jika terlalu kembang. Memadai memukul dengan senduk kayu hingga sebati. Gula aising mudah hancur dan menambah kerangupan pada tat.

Manakala kuning telur membuat warna tat keemasan. Ia juga memberi rasa yang lebih lemak. Selain itu, tekstur tat menjadi lebih gebu dan seolah-olah cair di dalam mulut. Gunakan mentega berkualiti tinggi dan harum baunya. Mentega jenis ini mempunyai kandungan susu berlemak yang lebih tinggi. Ia memang lebih mahal daripada mentega biasa yang ada campuran marjerin atau lemak sayuran.

Dengan campuran marjerin, kulit tat tidak terlalu gebu. Tanpa marjerin, kulitnya akan menjadi terlalu peroi dan mungkin patah atau pecah dengan mudah. Vanila dalam adunan biskut adalah untuk mengharumkannya. Selain itu, ia dapat mengurangkan bau hanyir telur.

Jika anda menggantikan tepung jagung dengan tepung kastard, tat akan menjadi lebih kuning. Namun teksturnya tidak berubah. Ia menjadi rangup sedikit dan enak bila dikunyah. Jadi, adalah penting menggunakan bahan-bahan terbaik untuk tat anda.

Inti adalah sangat mustahak dalam menentukan tat sedap atau sebaliknya. Pilih nenas yang ranum tetapi tidak terlalu masak. Nenas yang terlalu masak mempunyai banyak air. Kadangkala ia juga berasid lebih. Anda perlu meletakkan nenas yang sudah diparut ke dalam tapisan. Biarkan airnya menitik.

Parutan yang tidak dibuang airnya akan mengambil masa yang terlalu lama untuk masak. Jika nenas cukup manis, boleh kurangkan gula. Sekiranya nenas manis dan anda memasukkan terlalu banyak gula, inti akan mengeras setelah tat dibakar. Ini akan merosakkan tekstur dan rasa tat tersebut.

Membuat jem nenas memerlukan kesabaran. Anda mesti mengacaunya tanpa henti. Sebaik-baiknya, gunakan periuk heavy-based atau berdasar berat. Periuk jenis ini dapat menyimpan haba dengan lebih baik. Inti juga tidak mudah hangus. Selalunya ia juga non-stick atau kalis lekat. Jadi, anda tidak mempunyai masalah langsung bila membasuhnya.

Anda boleh masukkan 1 sudu besar jus limau susu atau limau puting ke dalam jem untuk mengimbangi rasa nenas tersebut. Ada juga yang menaburkan sedikit tepung jagung setelah jem hampir pekat supaya ia mudah dibentuk bila telah sejuk. Semuanya bergantung pada kesukaan masing-masing.

Kini sudah ada jem nenas yang siap dibuat dan dijual di pasaraya atau kedai barangan bakeri. Untuk tat gulung, anda perlu membentuk bujur supaya mudah untuk meletakkannya pada adunan yang sudah dibentuk. Adalah rumit menggunakan sudu atau garfu.
Selalunya, membuat jem mengambil masa lebihkurang sejam. Jika membuat banyak, anda perlukan lebih masa. Pastikan apinya sentiasa perlahan kerana sewaktu pekat, jem mudah hangus. Bau hangus akan merosakkan tat anda. Kadangkala rasanya juga pahit.

Bila menyimpan tat di dalam bekas kedap udara, alaskan setiap lapisan dengan kertas kalis minyak. Ini untuk mengekalkan bentuknya. Kertas itu juga dapat meresap lemak di dalam tat. Untuk tahan lama, letak paket kecil silica yang boleh dibeli di kedai barangan bakeri. Anda boleh berniaga kecil-kecilan dengan membuat tat nenas kerana ia memang digemari ramai.

TAT NENAS

150 gm mentega
100 gm marjerin
70 gm gula aising, diayak
2 biji kuning telur
1 camca teh vanila
340-360 gm tepung gandum
50 gm tepung jagung
jem nenas secukupnya, dibentuk bujur
2 biji kuning telur, untuk sapu

Bahan jem
500 gm parutan nenas
180 gm gula kastor
1 batang kulit kayu manis

Cara membuatnya:
1. Untuk jem: Jerang semua bahan atas api sederhana hingga mendidih.
2. Perlahankan api. Kacau tanpa henti hingga agak kering dan pekat. Angkat dan biar sejuk.
3. Pukul mentega, marjerin, vanila dan gula hingga sebati.
4. Masukkan sebiji demi sebiji kuning telur, putar rata.
5. Campur kedua-dua jenis tepung, gaul menjadi doh.
6. Ambil sedikit, letak di dalam acuan dan tekan menjadi jalur.
7. Letak jem pada hujungnya dan gulungkan kemas. Kemuduan potong.
8. Atur atas tin pembakar yang sudah dilengser dengan marjerin. Sapu dengan kuning telur.
9. Bakar pada 180 C selama 20-25 min atau hingga keemasan.





Post a Comment