0
TAT KELOPAK
Selain nampak menarik kerana bentuknya seperti bunga, tat kelopak ini memang sedap. Jangan tunggu musim perayaan untuk membuatnya. Tidak seperti tat gulung atau juga dikenali sebagai Biskut Nastar, tat kelopak ini agak mudah dibuat.

Anda hanya perlukan acuan berbentuk bunga pecah enam. Ini bermakna ia mempunyai enam kelopak di sekeliling. Jika acuan bunga pecah lapan, bermakna kelopaknya lebih kecil. Namun anda perlu berhati-hati kerana kelopak begini mudah patah bila diubah dari papan pencanai ke dalam acuan.

Anda juga mesti sediakan tin patty yang mempunyai lubang-lubang kecil. Alas setiap satu dengan kertas atau mangkuk kek. Pilihlah yang sama saiz dengan lubang dan bercorak menarik. Dengan cara itu saja, tat akan terbentuk dengan elok.

Setiap kali membuat sebarang jenis tat, anda tentu hendakkan inti yang enak. Inti akan menentukan sama ada tat anda sedap atau sebaliknya. Jika tidak mahu membeli yang sudah siap di kedai, anda perlu memilih buah nenas yang ranum dan manis. Namun begitu, pastikan ianya tidak terlalu ranum.

Nenas yang terlalu masak mengandungi terlalu banyak air. Ini menyukarkan bila anda hendak memarutnya sendiri. Jika anda membuat banyak, bolehlah digunakan food processor dengan mata pisau pemarut yang sesuai. Kemudian tapiskan air nenas. Ini untuk mengelakkan daripada memasaknya terlalu lama.

Kenapa sesetengah tat begitu rapuh sehingga ia cair di dalam mulut? Ini ada kaitan dengan jenis mentega yang anda gunakan. Mentega terbaik tentulah yang termahal. Ia diperbuat daripada krim atau lemak susu. Mentega tulin ini mudah cair atau lembik bila dibiar pada suhu bilik jikalau dibandingkan dengan mentega campuran.

Ada dua jenis mentega iaitu salted dan unsalted. Jenis salted mempunyai campuran garam dan lazimnya digunakan bila membuat pastri atau biskut. Manakala mentega unsalted yang lebih tawar sesuai untuk membuat kek. Namun kek tertentu perlukan campuran garam juga untuk menaikkan rasanya.

Mentega campuran adalah kombinasi krim susu dengan minyak sayuran. Teksturnya tidak sehalus mentega tulen dan sukar untuk cair. Sesuai digunakan untuk membuat krim atau aising mentega. Ini adalah kerana aising mentega perlu dipukul hingga gebu supaya ia ringan dan sedap dimakan.

Seperti membuat biskut atau tat lain, jangan pukul marjerin, mentega dan gula terlalu lama. Ini akan membuat biskut kembang dan tidak sempurna bentuknya. Memadai memukul dengan senduk kayu sahaja. Sebaik saja nampak sebati, terus masukkan bahan-bahan lain dan gaul perlahan.

Setelah memasukkan hampir semua bahan ayak, uli dengan tangan supaya menjadi doh. Jangan uli terlalu lama atau seperti membuat doh karipap. Haba dari tangan akan membuat doh tat menjadi berminyak dan menyukarkan bila anda hendak menerapnya.

Sesetengah orang memang mempunyai haba yang banyak di dalam badan dan mereka juga sukar bila membuat hiasan fondan pada kek. Ini adalah kerana gula aising mudah berair bila mereka menyentuh atau mengulinya terlalu lama. Bagi mereka yang mempunyai masalah seperti ini, hendaklah mencelupkan tangan di dalam bekas berisi air ais. Kemudian lap dan mulakan proses menguli. Ia perlu dilakukan berulangkali sepanjang masa.

Alas papan pencanai dengan dua lapisan plastik supaya mudah untuk mencanai dan menerap. Jika ada doh yang terletak pada plastik semasa anda mengalihkannya ke tepi, ini bermakna doh anda agak lembik dan perlu dicampur dengan tepung. Jika doh melekat pada acuan, celupkan sedikit ke dalam tepung.

Harus diingat bahawa biskut mesti dibiarkan sejuk di atas redai sebelum disimpan. Ini akan memastikan ia tahan lama dan tidak lemau atau masuk angin. Jenis biskut yang mempunyai campuran kacang juga tidak boleh dicampur dengan biskut biasa tanpa kacang. Alaskan setiap lapisan tat dengan kertas kalis minyak supaya tidak melekat.


TAT KELOPAK

Bahan-bahan
120 gm marjerin
120 gm mentega
60 gm gula aising
1 biji kuning telur
1 sudu teh vanila
330-350 gm tepung gandum     } ayak
50 gm tepung jagung                 }

Bahan jem nenas
450 gm parutan nenas – tapis
1 camb jus limau nipis
180 gm gula pasir
1 batang kulit kayu manis

Cara membuat:
1.      Pukul marjerin, mentega, gula, kuning telur dan vanila hingga sebati.
2.      Masukkan bahan ayak. Gaul rata menjadi doh.
3.      Canai setebal 4 mm. Terap dengan acuan berbentuk kelopak pecah 6.
4.      Angkat dengan hujung pisau dan tekan ke dalam mangkuk kertas.
5.      Tekan jem yang sudah dibentuk bulat di tengahnya.
6.      Canai nipis sebahagian doh, potong bentuk jejari dan letak di atas jem.
7.      Bakar pada 175 C selama 15-20 minit atau hingga keemasan.
8.      Untuk Jem: jerang semua bahan atas api sederhana hingga agak kering. Angkat dan biar sejuk.








Post a Comment