0
PAU
Kebanyakan orang suka makan pau kerana ia lembut. Intinya juga boleh dipelbagaikan mengikut citarasa masing-masing. Bagi yang kesuntukan masa, boleh menggunakan inti yang sudah sedia seperti serikaya, kelapa parut bergula merah, kacang hijau dan pes kacang merah. Asalnya, pau adalah kuih orang-orang Cina. Sebaik-baiknya, ia dikukus dalam pengukus buluh supaya keasliannya terpelihara.

Bahan terpenting dalam pembuatan pau ialah yis. Secara amnya, ada dua jenis yis. Untuk menjimatkan masa, gunakan yis segera dalam bentuk biji atau ‘granules’. Untuk memastikan yis elok, sediakan sedikit air suam bercampur gula. Taburkan yis di atasnya dan biarkan seketika. Jika nampak berbuih dan kembang, itu bermakna yis elok.

Resipi pau yang disertakan di sini menggunakan pemantap roti. Ia juga dikenali sebagai bread improver. Fungsinya adalah untuk memudahkan doh kembang. Untuk mengembangkan doh, letak mangkuk di dalam hangat. Pastikan ia ditutup terlebih dulu dengan tuala lembab atau plastik nipis (cling film).

Pemantap roti berbeza dengan pelembut atau bread softener. Pemantap adalah dalam bentuk serbuk berwarna putih. Manakala pelembut roti seperti lemak sayuran. Lemak sayuran (vegetable shortening) digunakan supaya pau kelihatan putih. Jika menggunakan marjerin, pau menjadi kekuningan.

Supaya pau menjadi putih, gunakan tepung pau atau tepung berprotein rendah. Ovalette atau Quick 75 adalah pemantap kek span yang menjadikan pau lebih lembut dan gebu. Jika mempunyai mesin pemutar dengan dough-hook, anda tidak perlu menguli dengan tangan. Masukkan semua bahan kering, gaul dengan mesin pada tahap perlahan. Bila semuanya sebati, baru tuangkan sedikit demi sedikit air hingga menjadi doh. Setelah beberapa minit, bolehlah ditaburkan sedikit lagi tepung ke dalam mesin. Ini untuk memudahkan anda mengeluarkan tepung daripada dough-hook.

Jika menguli dengan tangan, ‘tolak’ doh tersebut dengan pangkal tapak tangan sehingga agak nipis. Kemudian tolak naik bahagian bawahnya sebelum diuli lagi seperti tadi. Sekiranya doh terlembik, tambah sedikit lagi tepung. Selalunya doh akan sedikit keras tetapi setelah diuli dengan sempurna, ia menjadi menganjal (elastic).

Sapu sedikit minyak pada permukaan doh dan sekeliling mangkuk. Kemudian tutup kemas. Untuk mempercepatkan proses pengembangan, anda juga boleh meletak mangkuk berisi doh di dalam pengukus berisi sedikit air panas. Pastikan mangkuk di tutup dengan tuala bersih. Kemudian tutup pengukus dan biar hingga doh kembang dua kali ganda.

Pastikan air di dalam pengukus sudah berwap ketika memasukkan loyang berisi pau. Harus diingati bahawa pau mesti diletak dalam jarak 5 hingga 6 cm setelah diisi dengan inti. Pau hendaklah dikukus sebaik saja ia kembang. Jika pau berinti yang sudah kembang dibiar terlalu lama pada suhu bilik, ia akan mengecut selepas dikukus. 

PAU
270 gm tepung pau
5 gm serbuk penaik
2.5 gm pemantap roti
8 gm lemak sayuran
¼ sudu teh ovalette
2 gm yis segera
25 gm gula kaster
130-135 gm air

Cara membuat:
1.      Ayak tepung dengan serbuk penaik dan pemantap roti.
2.      Gaul dengan lemak sayuran dan ovalette.
3.      Masukkan yis dan gula, kacau rata-rata.
4.      Tuangkan sedikit demi sedikit air dan uli menjadi doh.
5.      Taburkan sedikit tepung di atas papan pencanai dan uli lagi selama 10 minit.
6.      Bila doh menjadi kenyal, tutup dengan plastik.
7.      Biar doh mengembang dua kali ganda. Uli menjadi saiz asal semula.
8.      Bahagikan, bubuh inti. Letak atas kertas kalis minyak yang dipotong empatsegi.

9.      Tutup dan biar kembang lagi. Kukus selama 15 minit atau hingga masak.

Post a Comment