0
PIE TIE
Sesuai sebagai snek atau hidangan ringan, Pie Tie (disebut pai tee) sangat popular di majlis hidangan buffet. Ia dikatakan berasal dari Singapura. Juga dikenali dengan nama Filled Top Hats. Bentuknya memang seperti topi tinggi yang sering dipakai oleh chef.

Kulit luarnya yang berbentuk seperti bakul sangat rangup. Ia boleh disimpan selama beberapa hari di dalam bekas kedap udara. Jadi, anda boleh menyediakan kulit itu terlebih dahulu. Langkah ini memudahkan terutama jika anda ingin memasak hidangan lain untuk menjamu tetamu.

Hanya pastikan bahan sayuran atau intinya dimasukkan sejurus sebelum menghidangkan. Jika terlalu awal, kulitnya tidak akan kekal rangup. Malah ia akan meresap cecair dan menjadi lembik serta tidak sedap lagi.

Inti pula boleh dipelbagaikan mengikut citarasa. Selain sayur-sayuran seperti lobak merah dan sengkuang atau kacang panjang, ada juga yang mencampurkan dengan isi ketam, udang atau ayam. Inti hendaklah dimasak sebentar saja supaya ia tidak terlalu lembik dan warnanya tetap segar. Jika menggunakan ayam atau udang, hendaklah mencincang halus. Ia perlu dimasak terlebih dulu sebelum mencampurkan dengan sayur-sayuran.

Sekiranya menggunakan udang kering, anda perlu merendamkan selama 20 minit di dalam air panas. Kemudian barulah ditumbuk atau kisar halus sebelum dimasak bersama sayur-sayuran. Jangan lupa tambah serbuk lada sulah dan gula sebagai penyedapnya.

Jika anda kesuntukan masa, hidangkan pie tie dengan sos cili biasa atau berperisa Thai. Bagi yang tidak suka pedas, boleh sajikan dengan sos tomato. Bila membuat sos cili sendiri, gunakan air masak yang sudah dibiar sejuk. Ini untuk menghindari daripada sakit perut kerana minum air ‘mentah’ (dari paip). Jika inginkan sos yang agak pekat, kurangkan airnya.

Ada juga yang dihidangkan begitu saja kerana inti atau lauknya sudah cukup berperisa. Malah ada sesetengah suka sayur-sayuran mentah dengan pie tie. Ia lebih menyihatkan dan sangat rangup. Anda boleh gunakan timun yang diracik halus bersama sengkuang dan lobak merah juga.

Membuat kulit pie tie memerlukan sedikit kesabaran. Perkara paling penting adalah memanaskan acuan di dalam minyak yang banyak. Teknik menggoreng seperti ini dipanggil ‘menggoreng terendam’. Manakala teknik menumis hanya memerlukan antara 2 hingga 3 camb minyak sahaja.

Ada orang masih keliru dengan ‘camb’ yang bermaksud camca besar atau sudu besar. Bila menyukat tepung beras, gunakan sudu yang berukuran 15 ml. Satu camca teh atau sudu kecil pula berukuran 5 ml. Sukatan tepung hendaklah sama paras dan tidak ‘melebihi’ paras sudu tersebut. Set sudu metrik sebanyak 4 ukuran ini boleh dibeli di mana-mana pasaraya. Camca besar tidak sama dengan camca makan yang biasa digunakan sehari-harian.

Setelah membancuh adunan kulit, masukkan sedikit ke dalam mangkuk kecil. Ini akan memudahkan bila anda mencelup acuan yang panas itu ke dalam adunan. Anda mestilah menyalut sehingga sama paras dengan bahagian atas acuan. Jika terlebih, kulitnya tidak akan mudah tanggal.

Masukkan acuan perlahan-lahan ke dalam minyak panas tetapi pastikan minyak tidak terlalu panas. Kemudian goyangkan acuan sehingga kulit adunan itu tanggal. Terbalikkan supaya bahagian dasarnya garing. Selepas itu bolehlah diangkat dan disejatkan.

Jika adunan tidak tertanggal sendiri, ini bermakna acuan belum cukup panas. Anda perlu membersihkan acuan sebelum merendamkan semula di dalam minyak panas. Kemudian barulah mulakan proses mencelup ke dalam adunan dan menggoreng. Membuat kulit pie tie memang rumit tetapi hasilnya sangat rangup.

Adunan yang terlalu pekat akan membuat kulit tebal dan tidak rangup. Jadi, pastikan adunan agak cair. Anda boleh menambah air sekiranya perlu. Kacau sesekali supaya adunan kekal sebati kerana adunan yang mengandungi tepung beras mungkin ‘terasing’ atau bahagian tepungnya mendap ke bawah.

Setelah membuat beberapa kali, anda akan mahir menyediakan kulit pie tie. Ia memang mudah dan yang bagusnya, anda boleh mempelbagaikan inti atau lauknya. Ia juga sangat menarik bila diatur di dalam bekas. Selain itu, mudah dibawa berkelah. Apa yang perlu diingati, asingkan intinya di dalam bekas yang lain.

Supaya kulit pie tie kekal rangup di dalam bekas bertutup, pastikan ia benar-benar sejuk sebelum disimpan. Alaskan bahagian bawahnya dengan kitchen towel. Sebagai hiasan, boleh picitkan sedikit mayonis bersama sos cili tadi. Ini akan menjadikan pie tie anda lebih menarik.



PIE TIE

Bahan kulit:
5 camb tepung beras
1 camb tepung ubi
Garam secukupnya
1 biji telur Gred C, dipukul sedikit
240-250 ml air
Minyak untuk menggoreng

Bahan inti:
2 camb minyak
4 ulas bawang merah, dicincang halus
200 gm hirisan lobak merah
200 gm hirisan sengkuang
60 ml air rebusan ayam
1 camt kicap cair
Garam, serbuk lada sulah secukupnya

Bahan sos:
4 biji cili merah, dibuang biji
1 ulas bawang putih, dicincang halus
2 camb sos cili Thai
1 camb cuka
80-100 ml air masak
Gula, garam secukupnya

Cara membuatnya:
1.      Satukan semua bahan kulit. Tapiskan ke dalam mangkuk.
2.      Panaskan acuan, celup ke dalam adunan tadi dan goreng hingga keemasan.
3.      Untuk inti: Panaskan minyak, tumiskan bawang merah.
4.      Bila bawang keemasan, masukkan semua bahan lain. Kacau hingga kuahnya agak kering.
5.      Kemudian angkat dan biar sejuk.

6.      Untuk sos: Kisar semua bahan hingga sebati. Tambah sedikit air lagi jika perlu.

Post a Comment