0
MURTABAK
Hidangan ini sangat sesuai pada waktu sarapan atau minum petang. Lauknya pula boleh diubah suai mengikut citarasa. Lazimnya, lauk untuk murtabak ialah ayam atau daging. Ada juga yang sukakan lauk udang atau sardin. Bagi yang hanya mengambil sayur-sayuran, bolehlah menjadikan campuran lobak merah, kubis, ubi kentang dan pis sebagai intinya.

Bahagian kulit luar murtabak adalah sama seperti roti canai. Jadi, anda boleh menyediakan roti canai mengikut bahan kulit yang tertera. Isikan dengan telur di tengah-tengahnya dan anda boleh membuat roti telur. Jika mahukan roti canai yang berasa manis, taburkan gula di tengahnya dan lipat menjadi kepingan empatsegi.

Doh untuk kulit murtabak mesti diperap sekurang-kurangnya 4 jam. Jika anda menguli doh itu pada sebelah malam, anda boleh mencanainya pada keesokan paginya. Dengan cara memerap, doh akan menjadi lembut dan mudah ditarik menjadi nipis. Kulit yang nipis, bila digoreng akan menjadi lebih rangup.

Pastikan setiap bebola doh dilumur dengan campuran minyak sapi dan minyak biasa sebelum diperap dalam bekas bertutup. Ini akan memudahkan ia menjadi lembut. Namun begitu, pastikan anda sudah mengulinya dengan cukup. Jika menggunakan mesin dengan dough-hook, anda tidak perlu mengambil masa yang lama.

Gunakan teknik yang betul jika menguli dengan tangan. Letak doh di atas papan pencanai yang ditaburi tepung. Kemudian ‘tolak’ doh dengan pangkal tapak tangan. Ulangi sehingga doh menjadi kenyal dan teksturnya menjadi halus. Untuk mendapatkan bebola yang sama besar, timbang setiap satu.

Anda juga perlu bahagikan lauk mengikut jumlah bebola doh yang ada. Jika tidak, sesetengah murtabak yang terhasil tidak akan mempunyai lauk yang mencukupi. Ini akan menjadikan saiznya kecil serta tidak sedap bila dimakan.

Bagi yang inginkan pedas, bolehlah memasukkan serbuk cili atau hirisan cili potong ke dalam lauk murtabak. Jika menggunakan pes cili, pastikan ia dimasukkan bersama ayam supaya ia cukup masak.

Atau pastikan anda tambah hirisan cili padi ke dalam bahan pencicah. Sekiranya tidak sukakan cuka, boleh digantikan dengan air dan sedikit jus limau nipis atau lemon. Ada juga di antara kita yang mencicak murtabak dengan sos cili pedas.

Sebarang isi ayam lebihan ayam panggang atau sup boleh dijadikan lauk. Jika ingin mengurangkan kolesterol, gunakan 2 biji putih telur sebagai ganti 1 biji telur. Untuk menggantikan 1 biji kuning telur, campurkan 1 biji putih telur dengan 2 sudu teh minyak.

Sekiranya tidak mempunyai kuali leper yang berat, boleh menggunakan kuali non-stick. Elakkan daripada kuali leper yang nipis kerana ia mudah hangus. Sentiasa pastikan kuali berlengser dengan minyak supaya murtabak tidak lekat di atasnya. Ini menyukarkan bila hendak mengalihkan bahagian atas ke bawah pula.

Perkara paling penting yang mesti diingati adalah menekan murtabak perlahan-lahan semasa memasak. Dengan cara ini, bahagian telur yang cair di dalam lauknya akan mudah masak. Jangan lakukan dengan kuat kerana lauknya mungkin terkeluar. Ini akan menyebabkan murtabak kurang sempurna bentuknya.

Murtabak sejenis hidangan yang sangat menarik dan sesuai unutk semua majlis. Malah anda boleh menyimpannya selama beberapa hari di dalam bekas bertutup. Pastikan setiap lapisan diasingkan dengan sehelai kertas kalis minyak. Kemudian letak bekas di dalam peti sejuk. Bila hendak memakannya, panaskan di dalam ketuhar gelombang mikro.

Murtabak buatan sendiri lebih menarik kerana anda tahu apa yang anda gunakan adalah bermutu dan fresh atau bukan lama. Malah, jika didinginbekukan, anda boleh menjadikan ia perniagaan yang mendatangkan keuntungan. Caranya adalah dengan membakar di dalam oven bersuhu 200 C selama beberapa minit atau sehingga nampak kering permukaannya. Kemudian barulah dibiar sejuk dan disimpan di dalam bekas kedap udara. Murtabak yang didinginbeku boleh tahan sehingga 4 bulan. Bila hendak dimakan, barulah dibiarkan pada suhu bilik hingga lembut sebelum dipanaskan di dalam ketuhar.

MURTABAK

Bahan Kulit
600 gm tepung gandum
½ camt garam
Air secukupnya
80 gm minyak sapi

Bahan Lauk
2 camb minyak
2 labu bawang besar, dicincang halus
400 gm daging/ayam, dikisar
1 camb rempah kari
5 biji telur
Garam, serbuk lada hitam secukupnya

Bahan Sampingan
1 labu bawang besar, dihiris halus
3 camb cuka
Sedikit gula, pewarna merah
Kuah kari atau dal

Cara membuatnya
1.      Untuk kulit: Satukan tepung, garam dan minyak sapi.
2.      Masukkan sedikit demi sedikit air dan satukan menjadi doh.
3.      Uli selama 10 minit atau hingga adunan lembut.
4.      Buat 6-7 bebola, salut dengan sedikit minyak sapi. Tutup dan biar selama 3-4 jam.
5.      Untuk lauk: Tumis bawang besar dalam minyak hingga harum.
6.      Masukkan daging/ayam dan rempah kari, kacau selalu. Renjiskan sedikit air jika perlu.
7.      Tambah garam dan serbuk lada hitam secukup rasa. Angkat dan biar sejuk.
8.      Kemudian kacau dengan telur dan ketepikan.
9.      Ambil doh, leperkan dengan tapak tangan. Kemudian tarik perlahan supaya nipis.
10.  Alihkan ke atas kuali leper yang diletak sedikit minyak.
11.  Sudukan lauk di tengah doh dan lipat menjadi bungkusan.
12.  Goreng hingga keperangan dan terbalikkan.


Post a Comment