0
MENGHIAS KEK
Kek pasti akan nampak lebih cantik jikalau dihias. Antara hiasan paling popular adalah menggunakan aising mentega atau coklat ganache. Namun begitu, aising tersebut mudah cair jika terkena panas. Jadi, aising jenis apakah yang boleh dibawa dalam perjalanan yang jauh tanpa perlu dimasukkan ke dalam peti sejuk? Jawapannya, Aising Gelatin dan Fondan.

Kedua-dua jenis aising nampak sama dari segi warna dan tekstur tetapi cara membuatnya berbeza. Fondan agak mudah kerana tidak perlu ‘dimasak’. Sementara Aising Gelatin diperbuat daripada serbuk gelatin dan mesti dipanaskan di atas dapur kerana ia juga menggunakan lemak sayuran.

Cara membuatnya tidak rumit. Anda hanya memerlukan tenaga yang kuat semasa mengacau gula aising dengan campuran gelatin. Bila campuran tidak boleh dikacau lagi dan sebati menjadi doh, ubah ke atas papan pencanai. Sebaik-baiknya, gunakan papan marmar (marble top). Boleh juga gunakan papan pencanai kayu bersaiz besar. Hanya pastikan permukaannya licin.

Untuk mengalihkan aising ke atas kek, gulung longgar dengan penggelek. Letak di tengah kek dan ‘buka’ gulungan supaya aising menutup seluruh kek. Tekan bahagian keliling kemudian potong hujung keliling supaya aising kemas menutupi kek. Sapu sedikit tepung jagung pada tapak tangan dan gosok di atas kek supaya ia nampak berkilat.

Uli sehingga doh gula tadi menjadi licin dan halus teksturnya. Bungkus di dalam plastik sekiranya tidak digunakan terus. Ini untuk mengelakkan permukaannya menjadi keras. Asingkan sebahagian untuk dicampur dengan warna pilihan. Seelok-eloknya, gunakan pewarna dalam bentuk pes dan bukan cecair (dalam botol).

Anda perlukan penerap khas (seperti donat) untuk membentuk bahagian ‘renda’ di tepi kek. Hujung acuan berkeluk dan berubah menjadi beralun setelah digelekkan perlahan-lahan dengan hujung lidi koktel. Anda mesti berhati-hati semasa melakukannya supaya aising yang nipis itu tidak terkoyak. Anda juga perlu menaburkan gula aising di atas papan pencanai untuk mengelakkan aising dari terlekat. Setelah membuatnya berulang kali, anda akan dapati ia agak mudah.

Aising royal diperlukan sebagai ‘pelekat’ aising gelatin dengan kek. Memadai disapu sedikit saja. Sebelum itu, asingkan sebahagian ke dalam beg aising (piping bag). Gunting hujung beg kemudian picit garisan atau titik di atas kek. Hias dengan manek berkilat jika suka. Jika kreatif dan mempunyai tangan yang stabil (tidak terketar-ketar), anda boleh membuat pelbagai corak melengkung bagi mencantikkan kek.

Menggunakan aising gelatin sangat mudah kerana ia mudah mengikut bentuk yang anda hajati. Anda boleh mencanai nipis dan membuat riben atau langsir beropol di sisi kek. Terpulang pada kreativiti masing-masing. Lebih rumit hiasannya, lebih mahal pula harganya. Ia sangat digemari sebagai melengkapi hantaran pertunangan atau pernikahan dan kek perkahwinan.

Untuk membuat kek tingkat, anda perlu membeli ‘tiang’ khas yang panjangnya sekurang-kurangnya dua kali ganda daripada ketinggian kek. ‘Tiang’ ini mesti dicucuk ke dasar papan kek dengan bahagian atasnya untuk mengampu papan kek di atasnya. Lazimnya, kek paling bawah dan paling besar adalah kek buah-buahan. Ia lebih berat dan lebih stabil. Tingkat atasnya pula kek mentega perisa yang anda sukai. Sementara ‘kek’ di atas sekali adalah polisterin yang bersalut.

Kek madeira adalah jenis kek yang boleh diadun kesemua bahannya secara sekaligus. Jika anda dapati teksturnya agak keras daripada kek biasa, tambah sedikit lagi cecair, sama ada jus oren atau susu segar. Faktor yang mempengaruhi adalah saiz telur yang digunakan. Kadangkala mentega mungkin terlalu keras dan mengandungi banyak minyak. Gunakan mentega bermutu yang lebih mahal tetapi wangi dan sedap.

Jika mahukan kek madeira coklat, kurangkan tepung sebanyak 40 gm dan tambah 40 gm serbuk koko. Tambah coklat emulco sebanyak 2 camca besar. Gantikan jus oren dengan susu segar atau susu perasa coklat.

Kek Madeira Oren

250 gm mentega – dibiar lembut
250 gm gula kastor
6 biji telur Gred B – dipukul sedikit
340 gm tepung berserbuk penaik – diayak 2 kali
2 camt parutan kulit oren
60 ml jus oren

Cara membuat
1.      Alas tin 22 cm dengan kertas kalis minyak, lengserkan dengan majerin.
2.      Satukan semua bahan di dalam mangkuk.
3.      Putar perlahan hingga semua bahan sebati.
4.      Pukul kelajuan maksima selama 1-2 minit.
5.      Bila gebu dan kembang, ratakan di dalam tin.
6.      Bakar pada 170 C selama 1 jam atau hingga masak.

Aising Gelatin
(menghasilkan 1 kg)

1 camb serbuk gelatin (pastikan HALAL)
60 ml air panas
125 ml sirap glukosa
1 camb gliserin
2 camb lemak sayuran
900-950 gm gula aising – diayak
Sedikit tepung jagung

Cara membuat
1.      Tuangkan air ke dalam periuk, taburkan gelatin. Biar 5 minit.
2.      Jerang atas api perlahan dan kacau hingga gelatin larut.
3.      Masukkan sirap, gliserin dan lemak sayuran.
4.      Kacau hingga semua lemak hampir cair. Ketepikan dari api.
5.      Bila semua lemak cair, biar suam sedikit.
6.      Campurkan sedikit demi sedikit gula aising, kacau sebati.
7.      Bila sukar dikacau, keluarkan dan uli atas papan pencanai yang ditabur gula aising.
8.      Uli hingga aising bertekstur halus dan licin.
9.      Sapu permukaan kek dengan sedikit Aising Royal.
10.  Canai aising gelatin setebal 1 cm dan letak ke atas kek. Kemaskan tepi kelilingnya.
11.  Bubuh sedikit tepung jagung pada tapak tangan. Sapu di atas kek supaya aising berkilat.
12.  Ambil sedikit aising, warnakan kuning. Canai nipis dan gunakan acuan berkeluk di kelilingnya dan berlubang di tengahnya.
13.  Potong menjadi 2 keping. Gunakan hujung lidi koktel untuk membentuk alunan pada hujung aising.
14.  Sapu sedikit air pada bahagian yang lurus kemudian lekatkan di tepi kek.
15.  Ulangi sebanyak 3 lapisan. Lapisan tengah lebih pudar daripada lapisan bawah.
16.  Isikan aising royal ke dalam beg piping kemudian picitkan corak di atas kek.
17.  Hiaskan dengan gugusan bunga mawar.

Aising Royal
1 biji putih telur
250-270 gm gula aising – diayak 2 kali
½ camt jus limau nipis

Cara membuat
1.      Letak putih telur dalam mangkuk bersih.
2.      Masukkan jus limau, kacau sebentar.
3.      Campurkan sedikit demi sedikit sambil diputar perlahan.
4.      Putar sehingga aising separuh kental (soft peak consistency).















Post a Comment