0
MAFIN CIP COKLAT
Mafin menjadi kesukaan ramai kerana ia boleh dipelbagaikan mengikut citarasa masing-masing. Ia juga mudah dihidangkan, tidak seperti kek biasa yang perlu dipotong terlebih dahulu. Jadi, mafin sangat popular sebagai sajian di meja buffet atau ketika berkelah.

Ada dua cara menyediakan mafin. Ini akan menentukan sama ada ia gebu dan lembut seperti kek atau keras dan sedikit berderai. Boleh dikatakan mafin yang bertekstur agak keras adalah kombinasi kek dan roti. Membuatnya juga adalah lebih mudah daripada mafin yang rasanya seperti kek.

Bila tekstur mafin lebih menyerupai kek, langkah pertama adalah memutar telur dengan mentega atau majerin hingga gebu. Kemudian baru masukkan sebiji demi sebiji telur diikuti bahan kering yang lain. Cecair yang selalu digunakan ialah susu, jus buah-buahan atau dadih. Kaedah membuatnya tidak jauh beza dengan pembuatan kek.

Sementara mafin bertekstur agak keras pula hanya perlu dikacau dengan senduk kayu. Tidak perlu sehingga terlalu halus atau kembang. Langkah yang pertama adalah ayak bahan-bahan kering seperti tepung, serbuk penaik dan soda penaik. Dalam mangkuk kecil, satukan pula bahan-bahan seperti telur, cecair dan mentega (cair) atau minyak.

Kemudian anda hanya perlukan campurkan kedua-dua bahagian. Masukkan juga hirisan epal atau buah-buahan lain dan coklat cip atau kekacang seperti gajus, badam, walnat dan lain-lain. Jadi, semuanya terpulang pada kreativiti masing-masing.

Sebaik-baiknya gunakan mangkuk kertas khas untuk mafin. Atau gunakan mangkuk yang khusus untuk kek cawan. Mangkuk yang sudah dikeraskan tidak perlu dimasukkan ke dalam tin patty. Tin seperti ini mempunyai beberapa buah ‘lubang’ dan sesuai untuk saiz tertentu mangkuk kertas kek tersebut.

Bila membakar mafin di dalamnya, bentuknya akan kekal. Jika anda tidak mempunyai tin patty, boleh gunakan 2 atau 3 lapisan mangkuk kertas kek kerana ia lebih kuat dan tidak akan berubah bentuk bila adunan dibakar di dalamnya. Saranan saya ialah, jika anda kerap membuat mafin, ada baiknya anda membeli tin patty kerana ia memang mudah digunakan.

Setiap kali memasukkan adunan ke dalam mangkuknya, pastikan ia ¾ penuh. Jika terlalu sedikit, mafin tidak akan mengembang dengan cantik dan sempurna. Inilah identiti mafin yang berbeza dengan kek biasa. Ada juga jenis mafin yang merekah dan dengan bahagian atasnya berbentuk seperti cendawan.

Anda boleh mempelbagaikan mafin mengikut selera. Dari resipi asas, anda boleh campurkan pisang yang dilecek halus. Anda juga boleh menambah oat atau wheatgerm supaya kandungan serat di dalam mafin meningkat. Serat penting untuk memudahkan penghadaman kita. Aprikot kering juga adalah sajian yang mengandungi paling banyak vitamin dan garam galian.

Kebelakangan ini, ramai orang keliru dengan soda penaik dan serbuk penaik. Untuk makluman anda, soda penaik juga dikenali dengan soda bikarbonat. Manakala serbuk penaik adalah baking powder. Serbuk penaik sangat penting untuk memastikan kek kembang dan gebu. Ia telah ditambah dalam tepung naik sendiri.

Soda penaik pula dicampurkan sekali terutama di dalam adunan kek yang mempunyai kandungan cecair yang tinggi, seperti mafin dan sesetengah kek lembap yang juga dikenali sebagai gateau. Untuk mendapatkan mafin yang harum baunya, masukkan vanila sejurus sebelum meletakkan adunan ke dalam acuan mafin.

Anda juga boleh tambah serbuk kayu manis atau serbuk buah pala. Bagi yang tidak suka manis, kurang gula sehingga 1 atau 2 camca besar. Tambahkan sukatan tepung gandum. Campurkan parutan keju Cheddar dan herba kering Itali seperti oregano, rosemary dll.

Anda pasti menyukai mafin yang saya kongsi di sini kerana ia bukan saja mudah dibuat tetapi juga rendah lemak kerana tidak menggunakan mentega dan hanya sebiji telur. Resipi menghasilkan anggaran 15 biji mafin.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                      

MAFIN CIP COKLAT
Bahan-bahan
1 biji telur Gred A
200 ml susu segar
1 camt vanila
250 g tepung gandum }
2 camt serbuk penaik  } ayak
½ camt soda penaik    }
175 g gula kastor
90 ml minyak jagung
150 g cip coklat                                  

Cara membuat:
1.      Satukan telur, susu dan vanila dalam mangkuk kecil.
2.      Campurkan bahan ayak dan gula kastor ke dalam mangkuk besar.
3.      Tuangkan sedikit demi sedikit minyak, kacau rata.
4.      Bubuh 120 g cip coklat dan kacau sebati.
5.      Isikan ¾ penuh ke dalam acuan mafin. Taburkan baki cip coklat.
6.      Bakar pada 175 C selama 30-35 minit atau hingga masak.


Post a Comment