0
Tiada yang lebih enak daripada menikmati sepotong Kek Kukus Buah buatan sendiri dengan secawan teh. Kek Buah yang dibakar agak berbeza daripada yang dikukus. Kek Kukus Buah lebih lembab dan tahan lebih lama jika sempurna cara membuatnya.

Sementara kek buah yang dibakar lebih kering. Kadangkala buah-buahannya agak peroi dan mudah terasing daripada keknya. Ini tentu nampak tidak menarik terutama untuk disajikan pada tetamu yang datang. Namun begitu, kek buah yang dibakar ada kalanya dilembabkan dengan cara mencucuk permukaannya dengan lidi dan menuangkan brandi atau liquor. Ia tahan sehingga tiga bulan tetapi tidak boleh dimakan oleh orang Islam.

Petua penting bila membuat Kek Kukus Buah, hendaklah menunggu sehingga ia sejuk sebelum dipotong. Bila kek sejuk, ia menjadi ‘mampat’ sedikit dan lembab. Dengan cara ini, buah-buahan dapat dipotong dengan cantik.

Untuk lebih menarik, masukkan potongan ceri merah dan hijau ke dalam campuran kismis, sultana dan kulit oren atau limau (mixed peel). Untuk pengetahuan anda, sultana dan kismis sama kecuali warnanya. Sultana agak keperangan manakala kismis berwarna hitam. Pilihlah saiz yang agak kecil supaya mudah untuk memotong kek kelak.

Di dalam pembuatan kek buah kukus, tidak timbul soal buah-buahan mendap ke bawah (yang selalu berlaku untuk kek yang dibakar). Jadi, anda tidak perlu risau. Untuk mengelak daripada buah-buahan dalam kek yang dibakar mendap ke bawah, pastikan buah-buahan disalut dengan sedikit tepung. Adunan untuk kek jenis ini pula perlu ‘keras’ sedikit daripada adunan kek mentega yang biasa.

Ikuti sukatan betul untuk buah-buahan campuran kerana jika terlebih buah, kek sukar dipotong. Ia juga akan berasa terlampau manis. Sebaik-baiknya, kek jenis ini dihidangkan dengan secawan minuman tanpa gula. Dengan cara ini saja anda dapat menikmati ketulenan rasa manis buah-buahan di dalam kek tersebut.

Supaya lebih harum, masukkan juga parutan kulit oren. Hanya parut bahagian berwarna sahaja kerana lapisan putih oren berasa pahit. Ada juga orang merendam buah-buahan di dalam jus oren. Untuk kek yang dikukus, kaedah ini tidak perlu.

Penggunaan gliserin di dalam adunan adalah untuk melembutkannya. Perhatikan bahawa anda perlu menunggu selama 10 minit supaya gliserin ‘mesra’ dengan bahan-bahan di dalam adunan tersebut. Gliserin (glycerine) adalah cecair tanpa warna dan boleh dibeli di mana-mana kedai barangan bakeri. Selain melembabkan kek juga, ia digunakan dalam pembuatan fondan (hiasan kek).

Untuk sebarang kek yang perlu dikukus, jangan lupa tutup atasnya dengan aluminium foil. Namun begitu, cara menutupnya hendaklah ‘longgar’ sedikit dan bahagian tengahnya tinggi seperti bumbung. Ini adalah supaya ada ruang udara panas di atasnya yang akan membantu kek masak.

Bila kek ditutup, anda tidak perlu mengelap bahagian bawah penutup kukus. Setiap kali membuka penutup kukus, wap akan keluar dan ini melambatkan proses mengukus. Jadi, elakkan daripada membuka dan melihat kek anda setiap 10 minit! Kek kukus buah memang mengambil masa dua hingga tiga jam untuk masak. Ada yang sehingga 4 jam! Jadi, anda boleh periksa samada kek sudah masak atau belum selepas berlalu 1 jam 45 minit.

Sekiranya air di dalam periuk pengukus kering, cepat-cepat tambahkan air mendidih. Ini untuk mengelakkan kek yang sedang kembang, turun semula. Petua untuk mengetahui air kukusan masih ada atau tidak, masukkan sekeping syiling ke dalamnya semasa mula-mula menjerang air itu. Bila terdengar syiling berbunyi (kerana paras air rendah), anda boleh tambahkan air lagi.

Ramai orang pening kepala bila hendak menyediakan gula hangus. Caranya mudah sahaja. Anda perlukan periuk atau kuali leper kalis minyak (non-stick pan) yang bertangkai. Ini untuk menyenangkan proses menuangkan gula hangus ke dalam adunan.
Masukkan gula ke dalam bekas dan biar atas api sederhana perlahan hingga sekelilingnya nampak kecoklatan. Perlahankan api sedikit. Dengan senduk kayu, kacau perlahan-lahan supaya semua gula mulai kelihatan keemasan. Kemudian terus kacau hingga gula hancur sepenuhnya. Berhati-hati kerana ia mudah menjadi hitam dan pahit.

Bila gula hangus nampak perang gelap, angkat dan tuangkan ke dalam adunan kek sambil mengacaunya. Lebih mudah jika menggunakan pemutar elektrik. Gula ini sangat panas dan anda perlu berhati-hati. Ia mungkin terpercik semasa dikacau. Bila adunan sebati, barulah dituangkan ke dalam loyang.

Kek yang dibakar agak nipis (loyang besar) tidak mengambil masa yang lama untuk masak berbanding dengan kek yang tebal (loyang kecil). Jika anda ingin mengukus dua kek sekaligus, gunakan dua rak pengukus. Setelah 1 jam, ubahkan kek di rak atas ke rak tengah dan sebaliknya. Dengan cara ini, kek akan mendapat wap yang sekata.

KEK KUKUS BUAH
250 gm mentega
175 gm gula kaster
3 biji telur
1 camt vanila
1 camb gliserin
285 gm tepung gandum          }
2 camt serbuk penaik              } diayak
1 camt soda penaik                }
250 gm buah-buahan campur
100 gm gula pasir

Cara membuatnya
1. Pukul mentega dan gula kaster hingga kembang.
2. Masukkan sebiji demi sebiji telur, pukul sebati.
3. Bubuh vanila dan gliserin. Biarkan 10 minit.
4. Kemudian campurkan bahan ayak dan buah-buahan. Ketepikan.
4. Cairkan gula hingga perang-keemasan, tuangkan ke dalam adunan sambil dikacau cepat-cepat.
5. Ratakan di dalam loyang 22 cm yang dialas kertas kalis minyak dan dilengser marjerin. Tutup atasnya dengan foil.
6. Kukus selama 2-2½ jam atau hingga masak.





Post a Comment