6
DADIH
Sejak kebelakangan ini, sajian pencuci mulut yang dikenali sebagai dadih sudah dapat menawan selera ramai orang. Perisa paling popular tentulah vanila, coklat, jagung, keladi dan sebagainya. Ada pelbagai jenis emulco atau esen berbentuk pes yang boleh dibubuh. Jangan lupa campurkan sekali warna yang bersesuaian. Contohnya, perisa keladi dengan pewarna ungu. Perisa strawberi dengan pewarna merah.

Namun begitu, tahukah anda dadih juga bermaksud yoghurt? Ada pula orang terkeliru kerana menyangkakan bahawa yoghurt adalah susu masam. Susu masam dikenali sebagai tairu dan dijual oleh ramai orang India. Mereka turut menjual susu lembu segar, susu kambing dan bunga-bungaan. Tairu boleh dibuat sendiri dengan mencampurkan jus limau nipis dengan susu cair, mengacaunya dan membiarkan selama 15-20 minit.

Sementara yoghurt dikultur dengan bakteria. Anda perlukan 1 sudu besar yoghurt (yang asal atau tidak habis dimakan) sebagai starter culture untuk membuatnya. Ada pelbagai jenis mesin membuat yoghurt di pasaran. Ia dipercayai sebagai makanan berkhasiat yang dapat diamalkan untuk yang ingin berdiet. Pilihlah yoghurt rendah lemak atau tiada lemak langsung. Yoghurt perisa asli juga digunakan bila memasak nasi beriani dan sebagai bahan pemerap tandoori.

Bahan utama dalam pembuatan dadih adalah agar-agar. Ada dua jenis agar-agar di pasaran. Agar-agar ‘tali’ yang panjang atau strips di dalam paket. Selalunya ia seberat 20 gram. Manakala serbuk agar-agar di dalam paket kecil seberat 11 gram. Jangan keliru dengan serbuk agar-agar jenis konyaku yang berbeza dari segi cara memasaknya dan rasanya yang kenyal.

Agar-agar tali mesti direndam sehingga kembang dan lembut sebelum digunakan. Lazimnya lebihkurang 4 jam. Jerang ia dengan air terlebih dulu. Bila agar-agar larut barulah dimasukkan gula. Seandainya gula dimasukkan sebelum itu, agar-agar tidak akan larut. Ia berbeza dengan serbuk agar-agar yang boleh dijerang semuanya sekali.

Langkah seterusnya adalah mengisar susu cair dengan susu tepung. Gunakan jenis full cream atau penuh krim supaya dadih lebih lemak. Ada orang menggantikan susu tepung dengan coffee-mate. Jika anda tidak suka dadih terlalu lemak, gunakan susu tepung skim. Dengan cara mengisar, susu tepung akan larut sepenuhnya dengan susu cair. Jika tidak, ia akan berketul bila dicampurkan ke dalam agar-agar panas.

Kacau tanpa henti hingga campuran mulai mendidih. Pastikan api tidak terlalu kuat kerana susu mudah meruap atau berkerak di dasar periuk. Padamkan api dan bubuhlah perasa serta pewarna yang menjadi pilihan. Anda boleh bahagikan kepada beberapa bahagian dan masukkan perisa berbeza. Kemudian kacau rata dan sendukkan ke dalam bekas-bekas kecil. Pastikan ia sejuk sebelum ditutup dan disimpan di dalam peti sejuk.

Bagi anda yang inginkan kelainan, boleh gantikan susu cair dengan krim putar. Rasa dadih akan berubah seperti rasa aiskrim yang cair. Sesiapa yang kreatif boleh meletakkan sos strawberi atau coklat di atasnya. Sos begini boleh dibeli siap di dalam botol. Anda juga boleh taburkan bijan dan cincangan kacang, badam atau gajus bakar di atasnya. Pastilah ia akan menjadi hidangan pilihan seisi keluarga!

Sesiapa yang tidak suka manis boleh kurangkan gula. Semasa makan, tambah madu untuk mendapatkan khasiat dan kemanisan yang lebih asli. Untuk warna kecoklatan yang lebih enak, gunakan gula merah dan bukan gula pasir. Dadih akan berasa lebih istimewa terutama sekali jika ia juga berperisa pandan. Anda akan berasa seolah-olah sedang makan cendol…

Biarkan selama beberapa jam barulah dikeluarkan dan disajikan. Ia tahan selama seminggu lebih tetapi pastikan sudah bertutup rapat. Jika tidak, lapisan atasnya akan mengeras.

Dadih memang enak dimakan sejuk-sejuk begitu saja atau dicampurkan dengan buah-buahan segar atau di dalam tin. Ada juga yang menghidangkannya bersama aiskrim. Pendekata, walau apa cara sekalipun anda memakannya, ia memang menyelerakan!
Sajian pencuci mulut ini begitu sesuai untuk bayi sehingga remaja, golongan dewasa dan orang-orang tua. Kini sudah ada ‘tepung’ dadih yang anda boleh beli di kedai barangan bakeri. Hanya campurkan air dan kacau atas api perlahan hingga mendidih. Kemudian tuangkan ke dalam bekas. Apa lagi yang lebih mudah daripada ini? Sekarang anda tiada alasan untuk tidak menjamu keluarga dengan dadih…

DADIH
1 camb serbuk agar-agar
800 ml liter air
150 g gula pasir
200 ml susu cair
120 g susu tepung
perisa jagung & pewarna kuning
perisa strawberi & pewarna merah
perisa pandan & pewarna hijau

Cara membuatnya
1.      Kisar susu cair dan susu tepung hingga larut.
2.      Jerang agar-agar, air dan gula pasir.
3.      Bila mendidih dan gula larut, masukkan campuran susu.
4.      Kacau tanpa henti hingga mendidih sekali lagi.
5.      Padamkan api, bahagikan dan masukkan perisa.
6.      Tuangkan ke dalam bekas-bekas kecil.
7.      Biar di dalam peti sejuk selama 4-5 jam.


Post a Comment

chef ada cadangan agar2 jenama muslim yg halal di jual di pasaran?

Shai,

Boleh check kat sini:
http://tijariah.weebly.com/blog/13-perisa-serbuk-dadih-khayla

Atau jenama Yess:
https://www.facebook.com/541599682555734/photos/a.556688214380214.1073741826.541599682555734/625110814204620/

Tkasih

assalamualaikum chef
terimakasih berkongsi resepi dadih ni, teringin jugak nak buat tapi tak reti hee, boleh lah try nanti insya allah

Waalaikumusalam Pn Nooriah,
Sama2, selamat mencuba ye.

Assalammualaikum chef, untuk orang yg alah dgn susu boleh tak digantikan susu dgn santan?