2
CUCUR UDANG
Hidangan ini begitu terkenal dan tidak perlu dijelaskan lagi. Cucur udang bukan hanya sedap dimakan begitu saja tetapi ia juga menjadi salah satu bahan utama rojak (ala India, stail Singapura atau mamak) dan pasembur (di sebelah Utara Semenanjung). Jangan lupa Mi Jawa dan Mi Goreng Mamak!
                        Cucur udang selalu dicicah dengan sos cili atau sos tomato. Kini sudah ada sos cili padi keluaran Agromas yang sesuai bagi pencinta pedas. Cuba kombinasi sos cili Thai dan mayonis serta sos Thousand Island dan anda tidak mungkin memilih pencicah lain selepas merasainya.
                        Walaupun cucur hidangan bergoreng, anda masih boleh menikmatinya dengan cara yang “sihat”. Kaedahnya adalah menggunakan minyak yang terbaik dan “ringan” serta tidak mengandungi kolesterol. Pastikan minyak banyak dan cukup panas supaya cucur terendam bila digoreng. Ini akan memudahkan ia masak dan cepat garing. Jika minyak tidak panas semasa memasukkan bancuhan, ia akan meresap ke dalam tepung dan hasilnya, cucur penuh dengan minyak!
                        Jadi, bagaimana hendak mendapatkan cucur yang lembut walaupun telah sejuk? Campurkan soda penaik kerana ia akan menggebukan cucur. Sementara tepung beras adalah untuk memberikan “kerangupan” pada kulit luar cucur. Selain itu, ayak bahan-bahan kering supaya ia menjadi lebih “ringan”.
                        Satu cara lagi adalah memasukkan telur. Campurkan kuning telur ke dalam bancuhan terlebih dulu. Pukul putih telur di dalam mangkuk bersih dan kaupbalikkan ke dalam bancuhan tepung. Kaedah kaupbalik adalah menggunakan hujung sudu dan perlu dilakukan perlahan-lahan. Tujuannya adalah untuk memerangkap gelembung udara putih telur itu di dalam bancuhan. Ia akan membuat ruang udara di dalam cucur.
                        Sesetengah orang pula tidak mencampurkan udang terus ke dalam bancuhan. Untuk memastikan setiap cucur mempunyai udang, letak udang di atas bancuhan. Dengan sudu, ambil bancuhan serta seekor udang, balik-balikkan supaya tepung menyalut udang kemudian baru dimasukkan ke dalam minyak panas. Lakukan dengan cepat supaya semua cucur masak serentak. Untuk lebih sedap, anda boleh rendam udang kering dan tumbuk. Setelah itu, bubuh ke dalam bancuhan.
                        Selain melembutkan cucur, tauge juga akan memberikan rasa rangup bila dikunyah. Bagi yang tidak gemarkan bau daun kucai boleh menggantikannya dengan daun bawang atau daun sup. Jika untuk hidangan anak-anak, jangan masukkan cili merah.
                        Bagi yang sukakan cucur berbentuk seperti ‘kapal angkasa’ iaitu dibentuk dengan senduk, begini caranya. Panaskan dulu senduk dengan merendamkan ia di dalam minyak. Pastikan senduk tidak sepenuhnya keluli kerana tangkainya akan panas juga! Bila cukup panas, sendukkan adunan sehingga penuh. Kemudian biar tenggelam di dalam minyak sehingga cucur tercabut sendiri daripada senduk. Setelah itu, gorenglah sehingga keemasan.
                        Mengikut petua sesetengah orang, senduk untuk cucur tidak boleh dibasuh dengan sabun dan air kerana ia akan melekat bila digunakan untuk menggoreng nanti. Memadai mengelapnya saja. Senduk itu juga tidak boleh digunakan untuk gulai atau masakan lain. Betul atau tidak? Saya tidak pasti.
                        Setelah cucur elok masaknya (jangan dibalik-balikkan selalu kerana ia lambat garing), angkat dan tuskan di dalam kertas serap. Ini juga akan memastikan minyak tidak meresap ke dalam cucur semula. Bagi yang suka lebih garing, bolehlah menggoreng di atas api kuat. Namun pastikan api sederhana semula sewaktu memasukkan bancuhan. Jika tidak, cucur akan garing di luar dan tidak masak langsung di dalam!
                        Selain udang, boleh juga buat cucur ikan atau cucur sotong. Sebaik-baiknya celur sotong seketika dan potong halus-halus. Setelah itu baru dicampurkan ke dalam bancuhan. Lebihan ikan goreng juga sedap dibuat cucur. Begitu juga lebihan daging rebus. Jadi, terpulanglah apa yang hendak anda cucurkan! Jadikan memasak suatu aktiviti penuh kreatif. 

CUCUR UDANG
250 gm tepung gandum
10 gm tepung beras
1/2 sudu teh soda penaik
Garam secukup rasa
½ sudu teh serbuk kunyit
300 ml air
1 biji kuning telur
1/2 labu bawang besar, dicincang
60 gm tauge, dibuang ekor
5 tangkai daun kucai, dihiris
1 biji cili merah, dicincang halus
300 gm udang sedang, dikupas
1 biji putih telur
Minyak untuk menggoreng

Cara membuatnya
1.      Ayak 3 bahan pertama ke dalam mangkuk. Tambah garam dan serbuk kunyit.
2.      Campurkan air dan kuning telur. Kacau rata-rata.
3.      Masukkan bawang, tauge, daun kucai, cili dan udang, gaul sebati.
4.      Dalam mangkuk bersih, pukul putih telur sehingga kental.
5.      Kacaukan putih telur ke dalam bancuhan cucur.
6.      Panaskan minyak, goreng sehingga keemasan. Angkat dan tuskan.


Post a Comment

Ya, Shai.
Favourite akak juga terutama kalau cicah dgn kuah kacang ala2 pecal tu.
Salam Ramadhan, Selamat Berpuasa.

Jumpa Shai setahun sekali kat Pesta Buku je...