0
CHAR KUEY TEOW

Lazimnya, char kuey teow pilihan utama di gerai-gerai selain daripada mi sup atau nasi goreng. Ada dua jenis iaitu char kuey teow basah dan kering. Yang basah tentulah berkuah. Manakala yang kering lebih mirip kepada kuey teow kerang yang selalu dijual di merata pasar malam. Sesetengah orang juga mengenalinya dengan nama Penang Kuey Teow.
                        Kerang adalah kemestian dalam menggoreng kuey teow. Sama seperti udang untuk mi goreng. Perkara utama yang mesti diketahui tentang kerang adalah masa merebus. Selepas dibersihkan, letak kerang (tanpa air) di dalam periuk atau kuali. Setelah itu, tutup kemas. Kerang akan masak dengan airnya sendiri! Dengan cara ini, kemanisan kerang juga tidak akan hilang ke dalam air rebusan itu.
                        Sebaik saja kulitnya ternganga, padamkan api dan biar 1 minit. Kemudian buka penutup. Biar sejuk sedikit sebelum dikupas. Jika masih ada lumpur terlekat, bilas dengan air paip. Kaedahnya adalah meletakkan kerang ke dalam penapis. Buka air paip. Kemudian kocak atau goyang penapis supaya semua kerang ‘dibilas’ oleh air. Cara ini juga dikenali dengan ‘cuci dengan air lalu’.
                        Char kuey teow juga tidak sempurna tanpa tauge. ‘Teman mesra’ tauge pula ialah daun kucai. Namun begitu, tidak salah jika menggantikan kucai dengan daun bawang. Hanya rasanya yang tidak begitu ‘original’ atau asli. Buangkan ekor tauge dan kulit kacang hijau yang mungkin terlekat pada ‘kepala’ tauge.
                        Untuk menjimatkan masa, kadangkala saya membuang ekor tauge di dalam kereta (tapi bukan sambil memandulah). Ini bagus untuk mengisi masa terutama jikalau trafik sesak. Lagipun bagi kebanyakan orang, membuang ekor tauge adalah sesuatu yang amat leceh atau membosankan. Jadi, menghabiskan masa di dalam kereta dengan cara membuang ekor tauge memang menarik. Bayangkan, bila sampai di rumah, boleh terus menggoreng char kuey teow!
                        Faktor utama bila memasak char kuey teow adalah kepantasan. Api mesti kuat. Gunakan senduk kayu jika lebih selesa. Sudip, terutama yang tangkainya runcing dan batangnya ‘lembik’ menyukarkan anda mengacaunya laju-laju.
                        Kuali pula hendaklah cukup lebar untuk mengacau deras. Lebih mudah jika bahagian dasar kuali sedikit rata. Dengan cara ini, lebih mudah ‘menolak ke tepi’ semua bahan sebelum memasukkan telur. Jika tidak yakin untuk memecahkan telur terus ke dalam kuali, pecahkan dulu ke dalam mangkuk tetapi tidak perlu dipukul terlebih dulu.
                        Bagi yang tidak suka telur banyak, boleh kurangkan ke satu biji saja. Manakala yang lebih suka berkuah, tambah sedikit air lagi. Sekiranya anda mempunyai banyak masa, boleh dibahagikan bahan-bahan menjadi dua. Kemudian goreng satu bahagian saja pada satu masa. Ini akan menjamin gorengan lebih ‘mesra’ kerana tidak terlalu banyak untuk dikacau sekaligus.
                        Saya lebih gemar ‘menceraikan’ lapisan kuey teow sebelum mula menggoreng. Dengan cara ini, anda tidak akan terkocoh-kocoh mengacau supaya ia sebati dan sosnya rata. Jikalau sos terlalu banyak dan anda lambat mengangkat kuey teow daripada kuali, ia mungkin kembang dan tidak nampak sempurna.
                        Elakkan dari mengacau terlalu lama di atas api kerana kuey teow mungkin hancur menjadi kepingan. Ini sangat ‘merbahaya’ jika sos pula banyak. Kuey teow bukan saja hancur tetapi jadi lembik macam bubur pula! Jadi, ingatlah panduan ini.
                        Setelah mencampurkan telur, padamkan api. Namun masih perlu mengacaunya. Kepanasan kuey teow itu sendiri akan membuat telur masak. Jika dibiarkan terlalu lama di atas api, telur menjadi terlalu masak dan bertukar menjadi cebisan keras. Ini merosakkan rasa char kuey teow.
                        Untuk rasa yang lebih ‘mewah’, boleh campurkan dengan udang sedang tetapi sebaik-baiknya, celur terlebih dulu udang tersebut. Boleh juga bubuh bebola ikan atau kek ikan, jika suka. Resepi ini sesuai untuk hidangan 4 orang dewasa.




CHAR KUEY TEOW

3 sudu makan minyak
2 ulas bawang putih    } ditumbuk
4 ulas bawang merah   }
1½ sudu makan pes cili
500 gm kuey teow
300 gm kerang - direbus & kupas
10 biji bebola ikan, dibelah 2
6 tangkai daun kucai, dihiris 2 cm
150 gm taugeh - dibuang ekor
Garam secukup rasa

Bahan Sos  (campur):
3 sudu besar sos tiram
2 sudu makan sos cili
2 sudu makan sos tomato
1 sudu makan kicap manis
1 sudu teh kicap pekat

Cara membuat:
1.         Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bawang putih hingga harum.
2.         Masukkan pes cili, kacau sebentar. Bubuh bahan sos, kacau.
3.         Bila mendidih, bubuh kuey teow, kerang, bebola ikan, kucai dan taugeh.
4.         Kacau semuanya sekali cepat-cepat kemudian angkat.






Post a Comment