0
CENDOL

Menjadi kesukaan ramai tanpa mengira usia, cendol sememangnya sudah sinonim bagi kita di Malaysia. Ia menjadi kegilaan terutama pada waktu tengah hari yang panas terik. Ia dicari-cari ketika tiba waktu berbuka puasa. Malah kini telah tercipta puding bercampur cendol dan kuih talam bercendol.

Cendol juga disajikan dengan pulut atau kacang merah yang direbus. Mungkin tidak ramai yang tahu, di sebelah Utara Semenanjung, cendol dikenali sebagai condoi. Biasanya ia dijual oleh peniaga berbangsa India Muslim. Tidak kira samada di gerai kecil bawah pokok atau di atas motosikal bergandar, cendol memang diminati ramai.

Inginkah membuat cendol sendiri? Paling penting, anda mesti menyediakan acuannya. Yang paling mudah digunakan adalah bekas keluli yang mempunyai banyak lubang dengan penekan di atasnya. Anda hanya perlu masukkan adunan cendol yang sudah masak ke dalam bekas berbentuk silinder itu. Kemudian letak bahagian penekan di dalam bekas dan terus tekan hingga habis.

Selain itu, anda juga boleh gunakan penapis berlubang sederhana yang mempunyai pemegang. Dengan cara ini, anda perlu memegang penapis dan melecek adunan cendol dengan senduk kayu. Agak sukar melakukannya sendirian kecuali anda meletakkan penapis di dalam bekas yang lebih kecil daripadanya.

Gunakan jus pandan kerana ia lebih harum berbanding pes pandan atau esen pandan. Pilih tepung berjenama Hoen Kwee dalam pek putih. Tepung ini diperbuat daripada sejenis kacang hijau. Ia sering digunakan di dalam pelbagai jenis kuih talam atau kuih yang dikukus.

Tepung kanji pula adalah untuk mengentalkan rasa cendol bila dikunyah. Jika sukatannya lebih, cendol akan menjadi lebih kental dan ‘liat’ sedikit. Ada orang sukakan cendol begini. Ia sesuai untuk dibuat puding dan sebagainya. Ia juga tahan lebih lama berbanding dengan cendol yang kurang sukatan tepung kanjinya.
Untuk pengetahuan anda, tepung kanji juga dikenali sebagai tepung ubi kayu. Jangan terkeliru dengan tepung kentang atau tepung keledek. Semuanya mempunyai ciri yang berbeza walaupun mungkin boleh ditukarganti bagi sesetengah jenis resepi. Tepung jagung pula lebih menyerupai tepung kastard kerana mampu memekatkan adunan tidak mengira sajian manis atau pedas dan masin (savoury).

Sukatan air gula yang diberikan di dalam resepi boleh diubah mengikut citarasa sendiri. Bagi yang gemarkan cendol lebih manis, boleh membuatnya lebih. Jika tiada gula Melaka, boleh disediakan dengan menggunakan gula merah dan gula pasir sahaja. Masak semua bahan hingga semua gula larut. Kemudian perlahankan api. Renihkan hingga agak pekat tapi jangan terlalu pekat. Jika air gula terlampau pekat, ia akan mengeras bila sejuk.

Bagi mengurangkan rasa lemak santan, elok dicampurkan dengan susu cair atau susu segar. Dengan cara ini juga, cendol akan kelihatan menarik (santan tidak beku di permukaan) walaupun dibubuh ais. Campuran cendol yang terlalu lemak kerana kepekatan santan mudah pula terasa muak bila diminum.

Bagi yang tidak ingin santan cepat basi, campurkan garam. Kemudian panaskan seketika di atas api perlahan sambil dikacau sehingga hampir mendidih. Biar sejuk sebelum disajikan. Jangan simpan santan di dalam peti sejuk kerana ia mudah menjadi beku.

Cendol paling sedap jikalau disajikan dengan ais parut atau ais sagat. Anda perlukan peralatan khas untuk menyagat ais. Atau beli ais sagat daripada penjual ABC. Isikan ke dalam plastik, ikat ketat. Kemudian letak plastik-plastik berisi ais itu ke dalam bekas tahan sejuk (dan boleh digunakan untuk memastikan makanan terutama nasi sentiasa panas) yang berpenutup khas.

Akhir sekali, letak ketulan-ketulan ais di atasnya. Ini petua baik sekiranya anda ingin membawa cendol ke tempat berkelah atau rekreasi. Ia juga panduan berguna sekiranya anda ingin berniaga kecil-kecilan tetapi tidak mempunyai peralatan menyagat ais.

Perkara paling mustahak ketika membuat cendol adalah mengacaunya tanpa henti di atas api perlahan. Bila telah kental, terus kacau lagi. Pastikan adunan tidak lagi berbau tepung dan warnanya berubah menjadi hijau tua. Adunan akan nampak seperti ‘bergetah’ menandakan ia sudah sedia untuk ditekan dengan acuan cendol.

Lakukan proses menekan ke dalam air dengan cepat dan cermat. Letakkan beberapa ketulan ais ke dalam air supaya cendol tidak mudah hilang bentuknya. Biar sejuk barulah disejatkan dan diletak ke dalam mangkuk. Seandainya mahu disimpan, letak di dalam bekas berisi air dan tutup kemas. Kemudian letak bekas di dalam peti sejuk.


Cendol

10 helai daun pandan
400 ml air
Sedikit pewarna hijau
2 camt air kapur
100 g tepung Hoen Kwee
50 g tepung beras
20 g tepung kanji
400 ml air

Bahan air gula Melaka
150 g gula melaka
100 g gula merah
80 g gula pasir
250 ml air
2 helai daun pandan, disimpulkan

Bahan santan
400 ml santan (drpd 2 biji kelapa)
200 ml susu cair
Garam secukupnya

Cara membuat
1.      Kisar daun pandan dengan air. Tapiskan dan kacau dengan semua bahan lain.
2.      Jerang atas api dan kacau hingga pekat dan berkilat.
3.      Sediakan bekas besar berisi air.
4.      Ambil sedikit adunan dan bubuh ke dalam acuan cendol.
5.      Tekan perlahan supaya cendol yang terbentuk jatuh ke dalam air.
6.      Biar sejuk sebelum disajikan dengan santan, air gula dan ais.



Post a Comment