0
BUTTERPRAWNS
Udang goreng dengan mentega adalah masakan yang terkenal di kebanyakan restoran makanan laut. Selain udang goreng tepung atau masak masam manis, ramai penggemar udang sukakan udang yang dimasak dengan mentega. Sebenarnya, ada juga campuran marjerin di dalamnya kerana makanan yang digoreng dengan mentega sahaja mudah hangus.

Ada pelbagai versi masakan ini. Salah satunya adalah ia kelihatan seperti bersarang atau berjurai halus-halus. Menyediakan butterprawns begitu memerlukan kemahiran kerana suhu mentega dengan mudah mempengaruhi jurai-jurai yang terbentuk itu nanti.

Manakala satu jenis lagi di mana anda dapat menikmati butiran halus yang keperangan dan rangup. Ia juga dikenali dengan nama Butterprawns Kerisik. Kedua-duanya menggunakan bahan asas yang sama iaitu kuning telur, susu cair, daun kari dan cili padi.

Gunakan udang harimau kerana warnanya menjadi keemasan setelah digoreng. Pastikan anda menggoreng dalam minyak yang banyak supaya ia masak sekata. Gunting bahagian muncung udang serta kulit belakangnya. Kemudian keluarkan uratnya. Gaul dengan sedikit garam dan gula. Gula penting supaya udang berasa manis.

Setelah digoreng, keluarkan dan toskan dengan kitchen paper. Jangan goreng terlalu lama kerana isi udang akan menjadi liat. Sebaik-baiknya gunakan udang segar. Bersihkan udang sebelum disimpan atau didinginbekukan kerana ini akan mengekalkan kesegarannya.

Anda hanya perlu biarkan pada suhu bilik supaya ia lembut dan sesuai untuk digoreng. Jika masih agak beku, udang akan ‘meletup’ bila digoreng. Namun anda akan dapat mengatasi hal ini jika menggunakan deep-fryer atau periuk menggoreng yang khas.

Bila memanaskan campuran mentega dan marjerin, lakukan di atas api sederhana. Jika terlalu kuat, ia akan mudah hangus. Setelah memasukkan kuning telur, kacau perlahan dengan chopstick. Pastikan anda mengikut arah bertentangan atau berlawanan dengan arah jam. Lakukan dengan berhati-hati dan tidak terlalu pantas. Api hendaklah sentiasa perlahan.
Sebaik saja telur nampak kekuningan, masukkan semua bahan lain. Kemudian terus mengacau perlahan hingga ia berubah menjadi keperangan. Segera tuangkan ke dalam penapis keluli atau besi. Ini adalah untuk menyejatkan bahan gorengan. Jika tidak, sukar untuk mengasingkannya dengan campuran mentega-marjerin tadi.

Gaulkan dengan udang goreng kemudian sajikan panas-panas. Jangan sesekali biarkan bahan gorengan terlalu lama di dalam kuali kerana ia mudah hangus. Jika ini berlaku, campuran telur tadi akan berasa pahit dan tidak menyelerakan lagi. Jadi, faktor pengalaman memainkan peranan yang penting.

Sekiranya anda sering membuatnya, anda akan tahu masa yang tepat untuk mengangkatnya. Ini adalah kerana campuran tersebut akan berbuih semasa digoreng. Jika tidak sukakan terlalu pedas, boleh gantikan cili padi dengan cili merah atau cili hijau yang dihiris halus. Daun kari yang digoreng agak garing akan berasa rangup selain mengharumkan masakan tersebut.

Jika anda tidak mahu menggunakan serbuk pati ayam atau chicken stock granules, boleh gantikan dengan serbuk pati bilis atau daging. Ini adalah sebagai perisa terhadap masakan anda itu. Anda tidak perlu memasukkannya jika tidak mahu. Ini adalah kerana udang yang segar memang sedia manis dan menyelerakan.

Oleh kerana masakan ini agak tinggi dari segi kolesterol kerana bergoreng, imbangi dengan menghidangkan sayur-sayuran segar atau salad dan ulam-ulaman. Sudahi hidangan dengan buah-buahan untuk tubuh yang sihat dan menghindari daripada sebarang penyakit.

 Butterprawns Kerisek

Bahan-bahan:
700 gm udang harimau
Garam secukupnya
Minyak untuk menggoreng
100 gm mentega
100 gm marjerin
5 biji kuning telur, dipukul sedikit
3 sudu besar susu cair
2 pelepah daun kari
4 biji cili padi, dihiris halus
¼ camt gula pasir
½ camt serbuk pati ayam

Cara membuatnya:
1.      Perap udang dengan garam selama 20 minit.
2.      Goreng dalam minyak panas hingga masak. Angkat.
3.      Dalam kuali lain, panaskan mentega dan marjerin.
4.      Bila mulai berbuih, masukkan campuran kuning telur dan susu cair.
5.      Kacau tanpa henti. Bila mulai kekuningan, masukkan semua bahan lain.
6.      Kacau lagi hingga keperangan kemudian angkat dan letak di dalam penyejat.
7.      Gaul dengan udang goreng tadi dan hidangkan.



Post a Comment