0
Masakan daging dengan lada hitam ini sangat sedap dan mudah disediakan. Ia juga dikenali dengan blackpepper beef. Bahan utama yang diperlukan tentulah daging. Pilih daging paling lembut atau batang pinang. Daging jenis ini mudah empuk dalam waktu yang singkat. Ia mesti berwarna kemerah-merahan tanda masih segar.

Di pasaraya, kadangkala daging jenis ini juga dijual sudah dipotong. Jika membelinya sekeping, jangan potong selari dengan urat daging kerana ini akan menyukarkan ia empuk. Jika daging dinginbeku, keluarkan dari peti pembeku dan biar semalaman di bahagian rak bawah peti sejuk. Jangan sekali-kali merendamnya di dalam air untuk melembutkannya kerana ini akan mengurangkan kemanisan daging itu.

Sebagai panduan untuk memilih daging yang paling lembut, perhatikan harganya. Harga yang mahal untuk setiap sekilogram menandakan daging terbaik dan sesuai untuk masakan ini. Manakala daging yang lebih murah lebih elok dibuat kari atau kurma kerana masa memasaknya lebih panjang. Tetel adalah daging mengandungi lemak yang bagus untuk dalca.

Apakah cara paling mudah mengempukkan daging? Sekiranya anda tidak mempunyai periuk tekanan tinggi atau pressure cooker, anda boleh merebus potongan daging dengan sebilah sudu keluli. Selain itu, boleh juga memerap daging dengan daun betik yang diramas sedikit. Bila merebus daging, jangan masukkan garam kerana ini akan membuat daging sukar empuk.

Penggunaan cili atau lada Benggala di dalam masakan bukan hanya membuat ia menarik tetapi juga kerana pelbagai khasiat dari segi perubatan. Ia dipercayai dapat menurunkan tekanan darah dan menghindari pembentukan kolesterol di dalam darah. Cili Benggala merah mengandungi tahap vitamin A (beta karotin) yang tinggi. Selain itu, ia juga tinggi vitamin C dan E yang boleh mengelak dari terjadinya katarak mata dan sesetengah jenis kanser.

Jangan basuh cili Benggala sebelum disimpan di dalam peti sejuk kerana ia akan mudah busuk. Memadai mengelap dengan kain lembab. Simpan di dalam bekas kedap udara. Oleh kerana warnanya yang begitu jelas, cili Benggala juga sesuai dicampur ke dalam sebarang sos.

Caranya adalah menggril atau memanggang sehingga kulit luarnya berubah keperangan gelap. Kemudian letak di dalam plastik dan diikat kuat atau bekas kedap udara. Bila cili itu sudah sejuk, bolehlah dikupas kulitnya, diambil isinya dan dikisar. Jika ingin dibuat jeruk, tidak perlu dikisar. Memadai menyimpannya di dalam botol kedap udara berisi cuka dan dihidangkan seperti acar.

Untuk masakan ini, anda perlukan sos lada hitam di dalam botol. Ia adalah campuran khusus dan sesuai juga dihidangkan bersama stik atau lamb chop. Atau sebagai pencicah untuk ikan kukus atau udang goreng tepung. Elakkan dari mencampur sos cili atau cili padi ke dalam masakan yang mengandungi lada hitam kerana ini akan membuat masakan itu terlalu pedas.

Selain daripada daging, masakan ini juga sesuai dengan ikan. Namun pastikan ikan dihiris kecil terlebih dulu. Kemudian celup di dalam putih telur diikuti tepung jagung. Setelah digoreng hingga garing, barulah dituangkan dengan sos yang dimasak seperti di dalam resepi. Anda tidak perlu memasaknya bersama seperti daging kerana isi ikan mudah empuk. Lagipun, salutan tepung jagung akan membuat sosnya mudah mesra dengan ikan itu.

Seandainya ada baki masakan, boleh dijadikan perencah untuk nasi goreng berlada hitam. Anda hanya perlukan sedikit kreativiti supaya keluarga tidak bosan dengan masakan anda sehari-hari. Selain itu, pastikan mereka mendapat zat yang mencukupi bagi pertumbuhan badan yang sihat. Melalui masakan ini, zat besi dan vitamin penting lainnya boleh didapati di dalam daging. Bila dimasak dengan kaedah ringkas dan cepat seperti ini, segala khasiatnya terjamin. Tentu enak bila dapat dinikmati panas-panas!

Blackpepper Beef

3 camca besar minyak
3 biji bawang merah, dihiris
2 ulas bawang putih, dicincang
4 cm halia, dihiris memanjang
400 gm daging batang pinang, dipotong
200 ml air
½ cili Benggala hijau, dikiub
½ cili Benggala merah, dikiub
½ cili Benggala kuning, dikiub
Garam secukup rasa

Bahan Sos (dicampur)
3 camca besar sos lada hitam (blackpepper sauce)
2 camca besar sos tiram
1 camca teh tepung jagung
150 ml air

Cara membuatnya
1.      Panaskan minyak, tumis bawang merah, bawang putih dan halia.
2.      Bila wangi masukkan daging dan kacau hingga kering airnya.
3.      Tuangkan air, kacau sekali-sekala hingga mendidih.
4.      Kemudian perlahankan api dan tutup kuali.
5.      Bila daging empuk dan kuahnya pekat, masukkan semua cili Benggala.
6.      Kacau 2 minit, tuangkan bahan sos. Tambah garam mengikut rasa.
7.      Masak hingga pekat kemudian angkat.



Post a Comment