0
BISKUT MARMAR CARRIES
Inilah antara biskut yang paling popular pada musim lebaran. Nampak seperti rumit membuatnya kerana hiasan celoreng di atasnya. Namun ia tidak sesukar mana sekiranya anda tahu caranya. Biskut ini cantik jika diletakkan di dalam balang kaca. Bila dihias dengan kain renda dan reben, ia boleh dijadikan cenderahati buat tetamu atau rakan-rakan.

Satu perkara yang paling penting harus diambil perhatian. Suhu membakar biskut ini lebih rendah daripada biskut biasa. Hanya gunakan api bahagian bawah sahaja. Jika menggunakan api atas dan bawah, hiasan di atas biskut akan bertukar menjadi keperangan. Ini menyebabkan biskut tidak cantik lagi.

Suhu yang terlalu tinggi juga akan membuat lapisan atasnya mengering dan mengeras terlalu cepat. Inilah sebabnya mengapa ia kadangkala tertanggal dari biskut. Jangan canai biskut terlalu tebal kerana ia sukar untuk masak sempurna. Bila biskut dimasak terlalu lama, bahagian hiasannya juga akan menjadi keperangan.

Konsistensi atau kepekatan bahan hiasan atau aising hendaklah tidak terlalu cair. Ini mengakibatkan ia meleleh ke sekeliling biskut. Biar ia pekat tetapi tidak terlalu pekat. Anda harus berhati-hati menambah gula aising. Jika terlalu pekat, tambah beberapa titik air panas supaya ia kembali cair. Aising yang pekat tidak licin dan sukar untuk dicorakkan atasnya.

Sukatan gula aising bergantung pada saiz putih telur itu. Jika membuat dalam kuantiti banyak, gunakan mesin pemutar pada tahan minima. Seandainya menggunakan sebiji putih telur sahaja, memadai memukulnya dengan garfu. Masukkan 1 sudu besar gula aising, pukul sebati. Kemudian baru ditambah dengan 1 sudu besar lagi. Fungsi tepung jagung adalah untuk memutihkannya.

Anda boleh gunakan pewarna merah atau emulco coklat bagi menggantikan pewarna hijau. Corak di atas biskut dengan adunan berwarna dibuat dengan mencelup hujung lidi koktel ke dalamnya. Kemudian bentukkan tiga garisan di atas aising putih. Gariskan secara melintang supaya ia membentuk corak marmar atau marble.
Untuk mendapatkan biskut yang kekuningan, gantikan tepung jagung dengan tepung kastard. Susu tepung akan melemakkan rasa biskut. Gunakan jenis rendah lemak (susu tepung skim) atau susu berlemak (full-cream milk powder).

Seperti adunan biskut yang lain, tidak perlu menguli terlalu lama. Kepanasan dari jari akan menyebabkan tekstur adunan berminyak. Seandainya anda membuat banyak, biarkan adunan agak lembik.

Sementara anda mencanai dan menerap adunan serta meletakkan hiasan di atasnya, adunan yang dibiarkan tadi akan mengeras dengan sendirinya. Pastikan adunan tersebut diletak di dalam bekas bertutup kemas supaya permukaannya tidak kering.

Sentiasalah mencanai adunan di antara dua lapisan plastik yang lebar. Jika adunan yang dicanai melekat pada plastik bila anda mengangkat plastik tersebut, ini bermakna adunan agak lembik. Bila adunan lembik, ia sukar diubah ke atas tin pembakar. Bentuk yang tidak sekata akan membuat biskut nampak tidak kemas.

Setelah menyusun semuanya di atas tin yang berlengser, barulah mula menghiaskannya dengan bahan aising. Bahan aising yang sudah disediakan juga mesti diletakkan di dalam bekas bertutup. Ini untuk menghalang atasnya ‘berkulit’ dan teksturnya mengeras sedikit.

Bila membakar biskut, pastikan ketuhar sudah dipanaskan 15 minit sebelum itu. Jika menggunakan dua rak, tin pembakar pada rak atas hendaklah dekat (bukan sentuh) dinding belakang ketuhar. Manakala tin pada rak bawah hendaklah dekat dengan dinding hadapan (muka) ketuhar. Ini adalah supaya habanya sekata.

Seandainya tidak mengikut cara itu, biskut di rak bawah yang paling dekat dengan apinya akan mudah hangus. Keupayaan memahami ‘kerenah’ ketuhar bergantung pada pengalaman anda sendiri menggunakannya. Jadi, acapkali anda perlu mengubahsuai dan tidak mengikut seratus peratus di dalam resipi.

BISKUT MARMAR CARRIES
Bahan-bahan:
125 gm mentega
100 gm gula aising
1/2 sudu teh vanila
40 gm susu tepung
250 gm tepung gandum          }
80 gm tepung jagung             } ayak
½ sudu teh serbuk penaik       }

Bahan hiasan
1 biji putih telur
120-140 gm gula aising           }diayak (berasingan)
15 gm tepung jagung              }
Sedikit pewarna hijau

 

Cara membuat
1.      Pukul mentega, gula aising dan vanila hingga sebati.
2.      Masukkan sedikit demi sedikit susu tepung dan bahan ayak.
3.      Uli hingga menjadi doh lembut.
4.      Canai doh dan terap dengan acuan berbentuk ‘hati’.
5.      Sapukan hiasan ke atas biskut. Lorek dengan lidi koktel membentuk garisan.  
6.      Bakar pada suhu 170 C selama 20-25 minit atau sehingga masak.
7.      Untuk hiasan: Pukul putih telur dan gula hingga pekat.
8.      Masukkan tepung jagung, kacau sebati.
9.      Ambil 1 sudu besar adunan dan campurkan dengan pewarna.





Post a Comment