1
BISKUT HAZEL BERTATAH
Kacang hazel berbentuk bulat. Kulitnya nipis dan mudah tanggal setelah dibakar seketika. Jika sukar mendapatkan ia, gantikan dengan serbuk badam, gajus atau walnut. Bau dan rasanya mungkin berbeza tetapi ia tetap rangup.

Salah satu petua berkaitan biskut berkacang adalah untuk tidak menyimpannya bersama biskut-biskut lain. Ini adalah kerana ia boleh membuatkan biskut jenis lain lemau atau masuk angin. Biskut tidak rangup lagi bila ia lemau. Cara untuk mengembalikan kerangupannya adalah dengan membakarnya semula di dalam ketuhar tetapi pastikan ia tidak hangus.

Biskut Hazel Bertatah ini mempunyai hiasan Royal Icing di atasnya. Berbeza dengan Biskut Marmar Carries, aisingnya diletak setelah biskut masak dan tidak sebelumnya. Namun cara membuat aisingnya adalah sama. Cuma aising untuk Biskut Marmar Carries dicampur sedikit tepung jagung untuk memutihkannya. Suhu untuk membakar pun lebih rendah daripada biskut biasa supaya hiasan aisingnya kekal putih dan tidak keperangan.

Ramai orang mempunyai masalah membuat aising ini. Perkara yang penting adalah cara memukulnya. Jika anda buat sedikit, memadai memukul dengan garfu. Jika banyak dan perlu gunakan mesin pemutar, pastikan ia pada tahap kelajuan minima. Kalau memukul kuat atau laju, terlalu banyak gelembung udara akan terperangkap di dalam campuran itu. Ini menyebabkan aising sukar untuk diratakan.

Masukkan hanya sesudu gula pada satu masa, pukul hingga semua gula larut barulah dicampur lagi. Sukatan gula tidak selalunya tepat kerana ia bergantung pada saiz telur. Telur besar mempunyai bahagian putih yang banyak. Jadi, anda perlu menambah gula aising. Bila kepekatan aising sempurna, setelah disapu di atas biskut, ia tidak mengalir ke tepi. Ia juga mudah untuk diratakan dan nampak cantik.

Kalau aising terlebih keras dan sukar untuk diratakan, campurkan dengan sedikit air mendidih. Anda mungkin cuma perlukan ¼ camca teh sahaja. Ingatlah bahawa aising akan cair sedikit setelah anda masukkan pewarna. Ia menjadi keras selepas dibiarkan seketika.
Selain croquants, anda boleh hiaskan dengan chocolate rice atau manik berwarna-warni yang dikenali dengan nama hundreds and thousands. Croquants adalah bahagian keras di dalam biji jagung. Untuk khasiat dan serat yang lebih, boleh juga gunakan wheatgerm iaitu bahagian keras di dalam gandum. Ia boleh dibeli di dalam botol di pasaraya besar.

Penggunaan emplex di dalam biskut adalah supaya ia tahan lama. Selain itu, ia juga berfungsi merangupkan biskut. Anda tidak perlu masukkan jika sukar mendapatkannya. Ia dijual di kebanyakan kedai barangan bakeri yang kini telah banyak dibuka di merata kawasan perumahan.

Tanpa emplex, biskut masih rangup kerana ada campuran tepung kastard. Sekiranya anda tidak suka biskut yang terlalu kekuningan, bolehlah gantikan dengan tepung jagung. Sentiasa ayak bahan kering supaya biskut menjadi lebih ‘ringan’.

Mengayak bahan kering sangat penting terutama jika anda menggunakan serbuk penaik atau soda penaik (bikarbonat soda). Ini adalah supaya ia sekata di dalam campuran tepung tersebut. Lagipun, kedua-duanya mungkin masih berketul-ketul halus bila diuli. Biskut akan terasa pahit kalau soda penaik tidak hancur sepenuhnya.

Seperti biasa, bila membuat biskut jangan putar mentega dan gula aising terlalu lama. Memadai memukul sehingga sebati saja. Malah, anda tidak perlu menggunakan mesin jika membuatnya dalam jumlah yang sedikit. Hanya pukul dengan senduk kayu. Pecahkan telur ke dalam mangkuk kecil dan buangkan ‘pusatnya’ iaitu bahagian berlendir dalam putih telur. ‘Pusat’ ini boleh membuat biskut berbau sedikit hanyir.

Seperkara yang perlu diingati bila menguli doh biskut, jangan terlalu lama. Kehangatan tangan akan membuat biskut lembik dan ini menyukarkan bila anda ingin mencanainya. Setelah dibakar, biskut juga akan kurang rangup. Jadi memadai menggaul dan menyatukannya menjadi doh. Jika membuat banyak, satukan sebahagian saja kemudian letak di dalam bekas bertutup. Selepas itu barulah diambil bahagian lain dan disimpan di dalam bekas yang sama.
Kalau adunan terlembik, tambah sedikit tepung lagi. Jika terlalu keras, campurkan dengan sedikit mentega atau marjerin dan uli semula (jangan buat semua adunan sekaligus, ambil sebahagian saja dan canai dulu).

Lapik bahagian bawah dan atas doh dengan plastik sebelum mula mencanai. Ini untuk memudahkan anda mengalih biskut ke atas tin pembakar. Setelah mencanai, alihkan plastik di atasnya. Jika terlekat sedikit adunan di atasnya, ini menandakan adunan itu agak lembik. Ini menimbulkan masalah bila anda menerap. Selalunya, adunan akan melekat pada penerap tersebut.

Untuk mengelakkan ini, celup penerap di dalam sedikit tepung gandum sebelum menggunakannya. Anda akan dapati adunan mudah tanggal daripada penerap. Bila membakar biskut, pastikan tin dilengser dengan sedikit marjerin.

Selain itu, boleh gunakan tin kalis lekat atau non-stick. Anda juga boleh mengalas tin dengan aluminium foil dan biskut tidak akan melekat. Dengan cara ini juga, anda tidak perlu membersihkan tin pembakar setelah habis menggunakannya.

Sentiasa ubah biskut yang telah dibakar ke atas redai supaya ia mudah sejuk. Anda boleh menyimpannya terlebih dulu kemudian menghias dengan aising pada hari berikutnya. Pastikan aising keras atau set sebelum menyimpannya di dalam bekas kedap udara. Alas setiap lapisan biskut dengan kertas kalis minyak untuk mengekalkan kerangupannya.


Biskut Hazelnut Bertatah

250 gm mentega
110 gm gula aising
1 biji telur
60 gm serbuk hazelnut
40 gm emping jagung, dikisar halus
2 camt emplex
200 gm tepung gandum          }
110 gm tepung kastard           } diayak
1 camt serbuk penaik              }

Bahan hiasan
1 biji putih telur
250-300 gm gula aising, diayak
Sedikit pewarna merah
Croquants

Cara membuat
1.      Putar mentega dan gula aising hingga sebati.
2.      Masukkan telur, pukul lagi.
3.      Bubuh semua bahan lain.
4.      Uli menjadi doh kemudian canai setebal 5 mm.
5.      Terap dengan acuan yang anda sukai.
6.      Bakar pada suhu 175 C selama 20-25 minit atau hingga masak.
7.      Bila sejuk, sapu dengan bahan hiasan di atasnya dan taburkan croquants.
8.      Untuk hiasan: Pukul putih telur sambil masukkan sedikit demi sedikit gula aising hingga pekat.


















Post a Comment