0
BISKUT ARNAB

Mestikah menunggu musim perayaan untuk menikmati sepiring biskut buatan sendiri? Jawabnya, tentu tidak! Biskut yang dibuat di rumah pasti lebih enak kerana anda boleh memilih bahan yang anda gemari. Contohnya, mentega yang terbaik kualitinya dan kekacang yang paling sedap serta mahal.

Tentulah ramai di antara kita pernah membuat biskut untuk hidangan. Semuanya tidak mustahil jika anda mempunyai sebuah ketuhar atau oven. Tidak perlu ketuhar yang canggih dan mempunyai pelbagai keistimewaan. Walaupun ia cantik dipandang, harganya tentu mahal.

Pada saya, ketuhar yang mempunyai terlalu banyak ciri agak merugikan kerana semua cirinya tidak semestinya digunakan. Bagi anda yang ingin berniaga pula, dapatkan ketuhar khas dipanggil industrial oven. Ketuhar jenis ini tahan lasak dan boleh digunakan secara terus-menerus selama beberapa jam. Suhunya juga tinggi dalam masa yang cepat.

Untuk membakar kek atau biskut, memadai ketuhar berciri asas. Suhu untuk membakar kek adalah kira-kira 200 C manakala untuk biskut, 180 C. Untuk pasta dan roti pula, 220 C. Panaskan ketuhar sekurang-kurangnya 10 minit sebelum anda memasukkan kek, biskut atau kuih itu. Namun begitu, ada juga beberapa resepi yang tidak perlukan kaedah ini. Perhatikan resepi betul-betul.

Semasa membeli ketuhar, pastikan anda memesan dua keping rak besi sekaligus. Ini adalah kerana pekedai hanya memberikan satu rak saja. Ini akan membuang masa kerana anda sebenarnya boleh memasak dua dulang biskut dalam satu masa, bergantung pada saiz ketuhar anda.

Untuk kek pula, pastikan acuan atau loyang cukup besar. Untuk kek di sebelah atas, tolakkan ke tepi (hampir dinding tapi tak tersentuh). Manakala kek pada rak bawah pula, tolakkan ke hadapan. Bila masa membakar tinggal separuh, terbalikkan posisi kedua-duanya. Dengan cara ini, haba seluruh ketuhar akan dapat membakar kek dengan lebih sekata.

Perkara penting yang perlu diingati semasa membuat biskut adalah cara memukul mentega dan gula. Jangan pukul terlalu lama atau sehingga kembang kerana ini akan membuat adunan biskut kembang bila dibakar. Hanya pukul hingga sebati dengan senduk kayu sudah memadai. Seandainya adunan anda banyak, bolehlah gunakan pemutar elektrik.

Kemudian masukkan bahan kering yang lain seperti tepung. Sentiasa ayak bahan kering bersama-sama serbuk penaik atau soda bikarbonat. Sesetengah tepung biskut (cookies flour) sudah mempunyai campuran serbuk penaik. Jadi, anda perlu pastikan semasa membeli produk tersebut.

Jika adunan mempunyai campuran biji-bijian (cereal seperti emping jagung atau oat) dan kekacang (serbuk badam, hazel, gajus), pastikan doh lembik sedikit. Ketepikan bahagian yang hendak dicanai itu saja dan tambah tepung sehingga ia boleh dicanai. Ini adalah kerana, doh yang lembik tadi akan menjadi keras setelah dibiarkan selama beberapa minit (semasa anda mencanai dan menerap doh pertama).

Seandainya doh agak keras, uli sebahagiannya dengan sedikit mentega atau marjerin. Kemudian terus canai. Bila adunan itu habis, ambil lagi dan uli dengan mentega. Tidak perlu menguli semua adunan sekaligus.

Bagi adunan yang menggunakan teknik picit dengan beg aising seperti Biskut Arnab ini, gunakan dua lapisan beg aising jika ia diperbuat daripada plastik. Sebaik-baiknya gunakan beg aising daripada kain. Atau anda boleh terus memicit dengan acuan semperit yang dipegang dengan tangan kiri dan menekan adunan keluar dengan tangan kanan. Atau sebaliknya jika anda kidal.

Pastikan biskut betul-betul masak sebelum anda mengeluarkan daripada ketuhar. Ubah ke atas redai kerana biskut yang dibiar di atas tin pembakar akan menyerap stim di bawahnya dan menjadi lemau. Bila biskut sejuk, susun di dalam tin atau bekas kedap udara. Lapikkan setiap lapisan dengan kertas kalis minyak.

Untuk mengekalkan kerangupan biskut, taburkan sedikit gula pasir ke dalam bekas menyimpannya. Jika biskut lemau atau masuk angin, bakar semula selama beberapa minit dan ia akan kembali rangup.

BISKUT ARNAB

250 gm mentega
140 gm gula aising
1 camca teh vanila
1 biji kuning telur
250 gm tepung gandum          }
120 gm tepung jagung                        } diayak
1 camca teh serbuk penaik      }
60 gm susu tepung                  }
1 camca teh esen lemon
1 camca besar biji popi biru
Sedikit kuaci hijau atau hirisan badam

Cara membuat:
1.                  Pukul empat bahan pertama hingga sebati.
2.                  Masukkan bahan ayak dan gaul rata.
3.                  Bubuh pula semua bahan lain.
4.                  Gaul perlahan hingga menjadi doh.
5.                  Gunakan acuan semperit untuk memicit biskut ke atas tin pembakar yang dilengser marjerin.
6.                  Bentuknya hendaklah meninggi sedikit di bahagian tengah.
7.                  Cucuk dua keping kuaci atau badam.
8.                  Atur atas tin pembakar yang sudah dilengser sedikit marjerin.
9.                  Bakar pada 175 C selama 15-20 minit atau hingga masak. 




Post a Comment