0
BERGEDEL
Ada juga orang menyebutnya pegedil atau pergedel. Biar apa pun bunyinya, ia memang enak dimakan dengan nasi atau sebagai bahan sampingan soto. Malah boleh dibuat besar, dileperkan sedikit dan dijadikan pengganti daging burger. Jadi, kesimpulannya, anda tidak akan rugi jika pandai membuatnya.

Masalah paling ketara bila membuat bergedel adalah ia pecah ketika digoreng. Anda dapat mengelakkan ini daripada terjadi jika menggoreng dengan api sederhana perlahan. Elakkan api terlalu kuat kerana bergedel akan hangus di bahagian luarnya dan masih mentah di dalam.

Bergedel mudah pecah seandainya anda simpan di dalam peti sejuk selepas membentuknya. Ini adalah kerana bahagian dalamnya masih sejuk ketika digoreng. Perbezaan suhu akan membuat bergedel merekah dan tidak cantik. Bukan itu saja. Ia akan meresap minyak dan kurang menyelerakan.

Petua paling penting ialah melecek kentang semasa ia masih panas. Kemudian terus gaul dengan bahan-bahan lain hingga bercampur sempurna. Biar selama setengah jam sebelum dibentuk bulat. Anda juga boleh meleperkannya sedikit jika suka.

Untuk bergedel yang lebih ‘manis’, gantikan separuh ubi kentang dengan keledek. Namun begitu, elakkan dari menggunakan keledek yang banyak urat kerana bergedel tidak nampak licin. Sebaik-baiknya pilih keledek berisi oren yang lebih gebu dan empuk.

Gunakan daging batang pinang yang tiada lemak langsung untuk membuat bergedel. Bagi anda yang membeli terus daging kisar di pasaraya, pilih yang mempunyai peratus lemak paling sedikit (5% or less fat content). Ini akan mengelak bergedel dari ‘meletup’ bila digoreng di dalam minyak panas.

Sebaik-baiknya goreng dalam minyak yang banyak. Kaedah ini juga dinamakan goreng terendam. Lebih mudah seandainya anda goreng di dalam periuk yang sederhana saiznya. Hanya masukkan minyak ke paras sepertiga untuk mengelakkan minyak keluar semasa menggoreng bergedel.

Oleh kerana bergedel perlu dicelup di dalam telur sebelum dimasukkan ke dalam minyak panas, buih-buih halus akan terbentuk di atas minyak. Jika anda ingin membuat banyak bergedel, gantikan dengan minyak yang baru. Ini adalah kerana buih yang terlalu penuh boleh mengakibatkan minyak menitis keluar daripada periuk atau kuali.

Bagi yang gemarkan daun ketumbar, boleh gunakan bagi menggantikan daun sup atau daun bawang. Daun sup juga dikenali sebagai daun salderi. Nama ‘daun salderi’ selalu ditemui di dalam resepi-resepi lama. Manakala seleri pula adalah celery yang mana batangnya selalu digunakan di dalam sup masakan Thai. Jika dikisar dengan epal hijau dan timun, ia menjadi minuman anti-oksidan yang paling mujarab!

Sementara bagi yang ingin mengelak dari kaedah menggoreng, boleh membentuk campuran bergedel pada lidi pencucuk sate. Ia akan kelihatan seperti kebab. Pastikan lidi direndam terlebih dulu di dalam air selama 5 jam supaya ia tidak mudah hangus.

Anda boleh juga menggunakan skewer atau pencucuk besi. Jika hendak menggril (api atas, di dalam ketuhar) pastikan bahagian pangkal (kadangkala diperbuat daripada kayu) dibungkus dengan aluminium foil supaya tidak terbakar.

Sapu sedikit minyak sebelum memanggang atau menggril ‘bergedel’ anda itu. Selain menyihatkan, ia juga menjadi hidangan istimewa di mana-mana majlis barbeque.
Bagi yang tidak makan daging, boleh gantikan dengan ayam. Namun perlu diingati bahawa isi ayam yang dijual di pasaraya dikisar sekali dengan kulitnya. Ini akan membuat ia lebih berlemak dan berminyak bila digoreng. Untuk mendapatkan bergedel ayam yang sedap, beli bahagian dada ayam (tanpa tulang) kemudian kisar di dalam food processor.

BERGEDEL
300 g ubi kentang (kupas)
100 g bawang merah
200 g daging (kisar halus)
5 tangkai daun sup             } dihiris halus
5 tangkai daun bawang      }
1 camb serbuk ketumbar
½ camb serbuk jintan manis
1 camt serbuk jintan putih
2-3 biji telur
Garam, serbuk lada sulah secukupnya
Minyak untuk menggoreng

Cara membuatnya
1.    Rebus kentang hingga empuk, lecek lumat.
2.    Hiris bawang merah, goreng garing dan tumbuk halus.
3.    Gaulkan kentang, bawang, daging dan semua bahan lain kecuali telur.
4.    Kepalkan menjadi bebola.
5.    Celup bergedel di dalam telur.
6.    Goreng di atas api perlahan hingga keperangan dan masak.
7.    Angkat, tuskan minyaknya dan sajikan dengan sos cili.





Post a Comment