0
APOM BETAWI
Apom atau apam? Sukar untuk menentukan apa perbezaan di antara kedua-duanya. Juga tidaklah diketahui dengan tepat kenapa apom ini dinamakan Apom Betawi. Adakah ia berasal dari Betawi? Seperti Kek Lapis Betawi atau Air Bandung, bila kita mengunjungi tempat-tempat itu kita tidak pula akan jumpa makanan tersebut.

Apom selalu memeningkan kepala terutama jika menggunakan yis. Namun begitu kali ini saya perkenalkan apom yang menggunakan serbuk penaik saja. Jadi, sekiranya anda ikuti cara membuat dengan betul, ia memang akan naik. Dalam ertikata lain, ia akan menjadi.

Bahan yang mungkin mengelirukan ramai adalah ovalette. Ia juga dikenali sebagai Quick 75, iaitu sejenis pengemulsi kek. Ia digunakan dengan meluas di dalam pembuatan kek span atau kek yang mempunyai kandungan cecair yang tinggi. Tujuannya supaya kek lebih gebu dan mudah kembang.

Selain itu, apom ternyata lebih lembut sekiranya anda menggantikan tepung gandum dengan Top Flour atau tepung paling halus (superfine flour). Tepung perlu diayak sebanyak dua kali supaya ia lebih ringan dan bercampur sempurna dengan serbuk penaik double-action.

Serbuk penaik double-action atau dua kali ganda mempercepatkan proses pengembangan lebih daripada serbuk penaik yang biasa (untuk kek dan muffin). Apom anda juga pasti naik dan jadi! Tiada keraguan lagi.

Namun pastikan telur dan gula dipukul hingga kembang dan naik. Ia mestilah nampak gebu dan licin sebelum dicampurkan dengan bahan-bahan lain. Jika memukul dengan mesin elektrik, memakan masa tidak sampai 5 minit kelajuan maksima. Walaupun begitu, anda mesti memukulnya sederhana terlebih dulu supaya semua bahan bercampur elok. Seandainya memukul dengan tangan, gunakan balloon whisk atau pemutar dengan gegelung di bahagian bawahnya.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, apakah dia air berkarbonat? Sebenarnya, ia adalah air bergas di dalam botol atau tin berukuran 330 ml. Contoh yang paling biasa adalah 7-Up, Sprite atau Aiskrim Soda. Anda boleh gunakan sebarang perisa yang digemari.

Hanya pastikan ia baru dibuka supaya gasnya masih banyak. Jika dibiarkan lama dalam keadaan terbuka, kebanyakan gasnya akan meresap ke udara. Ini juga akan mengurangkan kegebuan apom anda.

Air bergas itu dapat memberikan aroma yang tersendiri pada apom. Biar air tersebut pada suhu bilik dan jangan simpan di dalam peti sejuk sebelum menggunakannya. Jika ia dingin atau baru dikeluarkan dari peti sejuk, apom yang masak akan mempunyai lapisan mendatar yang tidak kembang. Bila sejuk, lapisan ini akan mengeras.

Adunan apom ini tidak perlu dibiarkan kembang sebelum dikukus. Seperti kebanyakan kuih kukus yang lain, anda perlu menutup bahagian atasnya dengan kertas aluminium atau foil. Sapu sedikit marjerin pada bahagian bawah foil supaya apom tidak melekat bila ia kembang dan menyentuh foil tersebut.

Sekiranya anda inginkan apom yang mempunyai dua lapisan, bahagikan adunan menjadi dua. Kemudian campurkan dengan beberapa titik pewarna. Anda boleh masukkan ke dalam loyang secara berselang-seli atau ratakan lapisan pertama diikuti lapisan kedua. Dengan kreativiti sendiri, anda boleh cipta apom pelbagai warna dan perisa. Anda juga boleh campurkan sedikit coklat urai bagi mendapatkan corak bintik-bintik pada apom itu.

Sebagai panduan, jika anda menggunakan loyang yang lebih kecil daripada yang disarankan, apom akan menjadi tebal. Seandainya apom tebal, ia akan memakan masa yang lama untuk masak.

Seperti kelazimannya, apom akan terasa lebih enak bila dihidangkan dengan kelapa parut putih bercampur garam. Jika anda mahukan kelapa parut tahan lama dan tidak mudah basi, campurkan terlebih dulu dengan garam.
Kemudian ratakan di dalam loyang. Pastikan ia tidak terlalu tebal. Kukus selama 4-5 minit atas api sederhana. Dengan cara ini, anda tidak perlu risau sekiranya membiarkan kelapa parut pada suhu bilik sehingga ke petang.

Bagi anda yang ingin lebih mudah dan mendapati sukar untuk memotong apom (terutama untuk jamuan atau jualan), bolehlah mengukusnya di dalam bekas atau mangkuk kecil. Hanya pastikan bekas itu dilengser dengan marjerin terlebih dulu. Jika menggunakan mangkuk kertas (jenis yang agak keras dan tebal), tidak perlulah melengsernya kerana anda boleh hidangkan terus di dalam mangkuk itu.


Apom Betawi

4 biji telur
130 gm gula kastor
1 camt ovalette
240 gm tepung gandum
1 camt serbuk penaik double-action
165 ml air berkarbonat
sedikit pewarna merah
kelapa parut putih       } dicampur
sedikit garam               }

Cara membuat:
1.                  Ayak tepung dan serbuk penaik sebanyak 2 kali.
2.                  Pukul telur dan gula hingga kembang.
3.                  Masukkan campuran tepung berselangseli dengan air bergas.
4.                  Kacau hingga sebati. Ambil ¼ cawan, campur pewarna merah.
5.                  Lengser tin 25 cm dengan sedikit marjerin. Alaskan dengan kertas kalis minyak.
6.                  Tuangkan adunan biasa. Titiskan bahagian berwarna merah dan lorekkan dengan hujung pisau.
7.                  Kukus selama 40-45 minit atau hingga masak.




Post a Comment