0
APAM TEPUNG
Apam sangat popular sebagai hidangan sarapan atau minum petang bersama teh atau kopi. Malah masyarakat Cina juga mempopularkan Nyonya Huat Kuih (jenis ‘senyum’ atau merekah atasnya). Sementara orang-orang India mempunyai Apam Idli yang dimakan dengan kuah kari atau manisan lainnya. Bagi orang-orang Melayu, apam paling terkenal mungkin Apam  Tepung Beras, Apam Tapai dan Apam Eno.

Jadi, terdapat pelbagai jenis apam. Bahan paling penting bergantung pada jenisnya. Selalunya, yis atau ibu roti digunakan untuk membuat apam. Dalam sepaket 11 gm, ada kira-kira satu setengah sudu besar yis.

Selain itu, serbuk penaik dua kali ganda (double-action baking powder) juga dimasukkan dalam sesetengah adunan. Manakala garam penyejuk badan, Eno dan minuman berkarbonat seperti Aiskrim Soda menjadi bahan penting juga.

Apam sejenis kuih yang nampak mudah tetapi sangat mengelirukan bagi yang tidak biasa. Masalah utama adalah yis (jika digunakan). Yis hendaklah masih baru atau aktif. Ada apam menggunakan yis segar (fresh yeast, dijual frozen dan perlu dibiar pada suhu bilik dulu). Apam paling mudah disediakan adalah dengan yis segera (berbentuk biji halus).

Bila menggunakan yis, langkah pertama adalah memastikan ia masih aktif. Caranya adalah dengan menaburkan yis ke atas air suam yang agak manis. Pastikan air tidak terlalu panas. Kalau panas, yis akan ‘mati’ dan menjadi tidak aktif lagi. Anda tidak boleh lagi menggunakannya. Fungsinya untuk mengembangkan adunan tiada.

Untuk memastikan air sedang elok suamnya, celupkan jari anda ke dalamnya. Kepanasan air tahap ini juga dikenali sebagai ‘suam-suam kuku’. Yis yang elok akan kembang sempurna dan berbuih. Pada tahap ini, ia sedia untuk dicampurkan dengan bahan-bahan lain. Jika yis tidak kembang, gantikan dengan yang lain.

Apam ini sangat mudah kerana ia hanya menggunakan dua jenis tepung. Tepung serbaguna atau tepung gandum dan tepung beras mudah dibeli di mana-mana kedai. Jika anda mahu memasukkan pewarna, gantikan gula Melaka dan gula merah dengan gula pasir sahaja. Boleh juga membahagikan adunan dan tambah pewarna yang anda sukai. Jadi, terpulanglah pada kreativiti masing-masing. Kemanisan juga bergantung pada citarasa sendiri.

Apam tepung ini juga ‘tidak banyak kerenah’ kerana ia dibancuh sekaligus. Jika mahu, boleh masukkan ke dalam loyang yang dilengser minyak dan dikukus. Apam di dalam loyang mengambil masa yang lebih lama untuk masak. Pastikan anda mengelap bahagian bawah penutup kukus sebelum meletakkan loyang. Ini untuk mengelakkan wap air menitik ke atas kuih. Ini akan merosakkannya.

Biarkan apam sejuk sebelum dipotong dan dihidangkan dengan kelapa parut bercampur garam. Supaya kelapa tahan lama, campur garam dan letak di dalam loyang. Kemudian kukus selama 10 minit. Dengan cara ini, ia lambat basi dan tahan sehingga ke petang. Ini penting sekiranya anda membuat jamuan. Kuih apam berkelapa akan tahan lebih daripada 8 jam.

Jenis apam yang mempunyai kelapa di bahagian bawahnya dikenali sebagai Apam Puteri Ayu. Adunannya seakan-akan sama dengan kek kukus kerana menggunakan telur, gula kaster, ovalette (pengemulsi kek) dan tepung gandum. Keharuman daun pandan sangat ketara kerana penggunaan air daun pandan. Memang apam ini juga berwarna hijau dan mesti menggunakan acuan khas berbentuk bunga di bawahnya.

Pastikan acuan-acuan kecil dilengser dengan sedikit marjerin atau minyak. Setelah memasukkan adunan (paras setengah), susun dalam rak pengukus dan biar di tempat hangat atau pada suhu bilik. Bila adunan sudah memenuhi acuan, barulah mula mengukusnya. Jangan lupa memastikan air di dalam pengukus cukup panas dan banyak wap. Api pula sederhana kuat sahaja. Jika terlalu perlahan, apam lambat masak kerana wap tidak mencukupi.

Supaya apam lebih menarik, bolehlah diletak sepotong daun pandan di dalam acuan sebelum memasukkan adunan. Dengan cara ini juga, apam lebih wangi. Sesetengah wanita Melayu di dalam pantang dibenarkan makan apam sebagai sarapan kerana ia tidak mengandungi bahan yang akan memudaratkan mereka. Ini adalah kerana tubuh mereka masih lemah setelah melahirkan.

APAM TEPUNG
240 gm tepung serbaguna
40 gm tepung beras
½ biji kelapa parut putih
Garam secukup rasa
Minyak untuk melengser

Bahan A
40 gm gula Melaka
60 gm gula merah
40 gm gula pasir
1 helai daun pandan, disiat & simpulkan
220 ml air

Bahan B
1 sudu kecil gula halus
125 ml air suam
1 sudu besar yis segera

Cara membuatnya
1. Jerang bahan A dan kacau sekali-sekala.
2. Bila gula larut, tapiskan ke dalam mangkuk besar. Biar sejuk.
3. Untuk B: Larutkan gula dengan air suam dalam mangkuk kecil.
4. Taburkan yis di atasnya. Biar selama 10-15 minit atau hingga campuran berbuih dan kembang.
5. Ayak tepung dan garam ke dalam air gula, kacau rata.
6. Tuangkan campuran yis dan kacau lagi hingga sebati.
7. Lengser acuan-acuan kecil dengan minyak.
8. Sudukan adunan hingga separuh penuh. Biarkan selama 10-15 minit.
9. Bila adunan kembang dan naik, kukus selama 20-25 minit atau hingga masak.
10. Hidangkan dengan kepala parut bercampur garam.



Post a Comment