3

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011 (Genre Novel)

PENDAHULUAN
Dalam tempoh penilaian tahun 2010 – 2011, agak sukar untuk menyenaraikan secara tepat jumlah penerbitan novel di Malaysia kerana peningkatan bilangan syarikat penerbit dan jumlah novel yang diterbitkan. Di samping penerbitan oleh syarikat penerbit yang besar, ramai penulis yang menerbitkan karya mereka dengan pembiayaan sendiri dan mengedarkannya tanpa menggunakan kedai buku. Perkembangan ini sangat pantas sehingga pengumpulan dan penyenaraiannya tidak lagi dapat dibuat dengan sempurna. Oleh itu, panel penilai hanya menilai karya yang dapat dikumpul, sama ada yang dihantar oleh penerbit, penulis, mahupun hasil carian oleh pihak urus setia Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM). Namun begitu, pihak urus setia dan panel penilai yang arif tentang perkembangan novel yakin bahawa naskhah yang terkumpul ini sudah merangkumi karya yang sepatutnya dinilai. Dalam kata lain, karya yang layak dinilai atau yang bermutu telah dapat dikumpulkan untuk diteliti dan dinilai.
KRITERIA PENILAIAN
Asas pemilihan novel terbaik bagi HSPM 2010-2011 berpaksikan dua aspek utama, iaitu aspek isi dan bentuk. Sebagai suatu bentuk penarafan yang mencerminkan pencapaian tertinggi, novel yang dipilih sewajarnya memiliki nilai pemikiran yang tinggi, mencabar taakulan, menyisipkan gagasan atau ideologi yang besar dan nilai moral yang bersifat sejagat. Persoalan yang relevan dengan masyarakat semasa, baik secara lokal mahupun global, seharusnya menjadi muatan kandungannya. Karya yang dapat berdialog dengan masyarakatnya merupakan ciri penting dalam pertimbangan kerana kewujudan karya sastera mesti memberikan manfaat, bukannya sekadar mempamerkan estetika dan nilai artistik sahaja.
Daripada sudut estetika, karya seharusnya memiliki nilai kepelbagaian, kesatuan, dan keseimbangan dalam sebahagian besar unsur yang menjadi rangka naratifnya. Kompleksiti bukanlah suatu nilai estetika yang mutlak kerana simplisiti juga mempunyai nilai yang baik sekiranya bersifat organik dengan persoalan dan pemikiran, tetapi karya yang kompleks tetap dianggap mempunyai kelebihan asalkan wujud kesatuan secara menyeluruh. Latar, watak, bahasa, plot, sudut pandangan, dan persoalannya perlu hadir secara organik antara satu dengan lainnya, malah lebih baik jika bersifat simbiotik. Kesan akhir pembacaan sememangnya tidak seragam antara khalayak yang berlainan dan zaman yang berbeza, tetapi pengalaman estetik akhirnya masih dapat dikumpulkan dalam satu rumusan yang universal. Jika kesan ini dapat ditemukan dalam sesebuah karya, nilaiannya akan lebih tinggi.
Selain itu, turut diperhatikan ialah unsur intelektualiti di samping nilai emosi dan simbolisme yang boleh menerbitkan makna yang polisemik. Intelektualiti bermaksud, karya itu mampu menggerakkan daya taakulan pembaca agar turut sama membenihkan pengertian baharu berdasarkan imej dan unsur yang terkandung dalam teks. Karya yang mengemukakan kisah yang ringan dan tidak ditunjangi pemikiran yang serius tentulah tidak wajar diangkat sebagai penanda aras zamannya. Oleh itu, intelektual dan keseriusan fikiran perlu dijadikan pengukuh karya.
Nilai emosi juga penting bagi mengakrabkan karya dengan jiwa pembaca supaya penyaliran nilai moral atau pemikiran dapat terhantar secara halus. Jiwa yang halus dalam diri pembaca akan dapat menghadamkan sebuah cerita yang membawa nilai emosi juga seperti peragaan aspek batiniah dan psikologi watak secara mendalam. Perkongsian rasa antara pembaca dengan watak dapat tumbuh apabila strategi naratifnya dibuat dengan kaedah yang sesuai.
Di samping itu, aspek simbolisme juga menjadi faktor penting untuk mengangkat sesebuah karya sastera. Atas sifatnya yang tidak berkomunikasi secara langsung, karya sastera memerlukan strategi yang lebih bijak untuk memperlihatkan kelainannya daripada penulisan faktual. Kepintaran pengarang membina simbol yang universal dan dapat pula dibaca dengan dua pengertian, yakni secara selapis dan dua lapis, akan menghasilkan karya yang hidup sepanjang zaman kerana tafsiran mengenainya akan sentiasa berlaku oleh pengkritik dan pembaca yang berlainan.
Panel penilai menggunakan asas penilaian tersebut sedapat mungkin bagi memilih karya terbaik dalam kalangannya. Barangkali matlamat itu tidak tercapai sepenuhnya, namun itulah harapan yang ditetapkan agar pemilihan karya pemenang nanti dapat diterima secara kosensus oleh khalayak yang celik sastera. Panel menyedari bahawa keputusan penilaian tidak objektif, tetapi yang lebih utama daripada keputusan ialah proses pemilihannya yang rapi dan rinci.
PENILAIAN KESELURUHAN
Panel telah membaca 65 buah novel terbitan pelbagai penerbit dengan pecahan 36 buah novel diterbitkan pada tahun 2010 manakala 29 buah novel diterbitkan pada tahun 2011. Panel mendapati sebahagian besar novel ini bersifat ringan atau bercorak novel popular. Persoalan yang tergarap adalah biasa, yang menyentuh subjek percintaan, kekeluargaan, pendidikan, dan keagamaan. Walaupun bernilai moral dan bermakna, kebanyakannya terungkap dalam gaya persembahan atau teknik penulisan yang biasa, tiada percubaan memperagakan teknik baharu yang lebih menarik.
Tidak banyak pembaharuan dapat dilihat dalam keseluruhan novel yang diterima untuk penilaian, sama ada dalam aspek pemikiran, subjek, mahupun olahan dan tekniknya. Penulisan sebahagian besar novel hanya meneruskan gaya biasa dengan cerita yang tidak mengujakan. Ketandusan karya yang kuat menopang kreativiti, artistik, serta idealisme mahupun ideologi begitu ketara seolah-olah sastera Melayu tidak berkembang dalam genre novel. Kehalusan menyisipkan ideologi, ketajaman menyampaikan kritikan, kelihaian memanipulasikan simbolisme, dan keindahan atau kesesuaian bahasa tidak ditemukan secara bersepadu. Gaya penulisan masih di tahap konvensional dengan serba kesederhanaannya.
Walau bagaimanapun, beberapa pengarang telah bersungguh-sungguh memanipulasi bahan sejarah untuk merekonstruksikan sejarah atau menghidupkan sejarah dalam konteks masa lampau demi manfaat masa kini. Karya yang berasaskan sejarah diolah dengan kesungguhan dan kreativiti, memberikan makna yang relevan untuk bacaan khalayak kini. Namun begitu, daripada segi kreativiti dan keaslian, novel berdasarkan sejarah masih berada di tahap karya salinan, yakni kekurangan keaslian. Jalan cerita sejarah yang sudah terakam dijadikan landasan cerita, dan watak serta peristiwanya hanya peminjaman secara bebas. Ini mengurangkan meritnya sebagai karya yang asli dan segar.
Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian kecil karya yang menggarap persoalan besar dan sarat dengan ilmu pengetahuan. Peragaan karya sebegini memperlihatkan tahap keilmuan dan pengetahuan yang dimiliki oleh pengarangnya. Kelebihan inilah yang terlihat pada lima buah novel yang disenaraipendekkan untuk pertimbangan peringkat akhir.
Air Mata Raja karya Shaharudin Haji Alias dan Norzailina Nordin lebih merupakan novel sejarah yang membina kembali kehidupan watak Datuk Paduka Bendahara Raja Tun Seri Lanang, pengarang atau penyusun Sejarah Melayu, di samping watak raja-raja Melayu, terutama raja Melaka. Dalam zaman keagungannya ini Melaka dilihat sebagai negara yang amat berdaulat dan maju; keadaan ini berlanjutan sehingga 109 tahun. Pengarang memperlihatkan kewibawaan dan kebijaksanaan raja-raja Melayu mentadbir negara yang bersendikan undang-undang Islam. Ekonomi negara sentiasa berkembang; pelbagai bangsa dari pelbagai negara datang berniaga di Melaka; dan jajahan takluknya sangat luas. Semua faktor ini menjadikan Melaka terkenal dan disegani. Inilah yang hendak diperlihatkan oleh pengarang novel ini, iaitu kebolehan dan kebijaksanaan raja-raja dan orang Melayu memerintah dan memajukan negara mereka, menegakkan agama Islam dan keindahan budaya mereka serta mengamalkan sistem pemerintahan yang mengutamakan kesejahteraan rakyat dan negara.
Jalan cerita atau plotnya berdasarkan perjalanan sejarah Melaka semenjak tahun 1509 serta jurai keturunan sultan Melaka sehingga kini. Wujud percubaan untuk merekonsktrusikan sejarah yang terputus selepas penaklukan Portugis dan seterusnya penyambungan pemerintahan oleh penjajah yang bersilih ganti. Plotnya menjadi lebih mudah diikuti oleh sebab adanya penekanan pada fakta sejarah dan realiti. Di samping penggunaan bahasa yang bersahaja dan terjalin lancar, pelukisan watak juga hidup dan meyakinkan kerana mereka wujud dalam kehidupan dan sejarah bangsa Melayu.
Pada Sayap Burung Helang karya Sasterawan Negara Arena Wati membawa persoalan besar tentang keperkasaan dan kebijaksanaan bangsa Melayu dalam bidang perniagaan antarabangsa yang berpusat di alam Melayu dan di Amerika Syarikat. Dalam bentuk representasi ideologikal, bangsa Melayu digambarkan sebagai pewaris dunia yang bertanah air dan megah berdaulat: tanah airnya luas dan kaya, melingkungi kepulauan Melayu yang bukan sahaja kaya dengan penghasilan bumi tetapi juga budaya dan tatasusila hidup yang bersendikan agama Islam. Alam Melayu merupakan antara kerajaan besar di dunia yang memiliki sistem perundangan dan politik sendiri. Untuk mewajarkan kebenaran ini, pengarang menghidupkan watak-watak utama yang terdiri daripada orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu dan tokoh-tokoh dari kepulauan Indonesia. Mereka menjadi keluarga besar melalui perkahwinan dan bekerjasama erat dalam bidang perekonomian, ketenteraan, dan ilmu pengetahuan di peringkat antarabangsa. Ideologi yang besar dalam novel ini ialah meletakkan bangsa Melayu sebagai pemain dunia dagang antarabangsa dan umat yang berilmu, setanding atau bahkan mengatasi bangsa di dunia Barat yang sering dilabelkan sebagai bangsa agung.
Novel ini dapat digolongkan sebagai novel polifonik, iaitu suatu konsep yang diperkenalkan oleh Mikhail Bakhtin: “Ideanya tersampai secara ilmiah, tanpa kelihatan suara pengarang secara langsung. Dunianya tersendiri dan bersifat antonomi dan ideanya tidak terlahir daripada watak tertentu sekiranya terbina melalui struktur keseluruhannya.
Cahaya Delima karya Mahizan Husain juga berkecenderungan untuk mengambil bahan sejarah sebagai landasan atau tunjangan cerita. Sejarahnya berkaitan dengan kisah Megat Seri Rama yang terlibat dalam pembunuhan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Episod ini dipertalikan dengan watak utama novel, seorang penulis skrip filem, yang berusaha menemukan sejarah hidup keturunannya untuk membantunya membawa perubahan dalam filem Melayu. Keistimewaan novel ini terletak pada strategi naratifnya yang menggabungkan zaman silam dengan zaman kini, iaitu yang berkaitan dengan keturunan Megat Seri Rama di Malaysia dan di Republik Rakyat China.
Memori Abadi karya Poul Nanggang dapat digolongkan sebagai novel psikologi, mengisahkan pergolakan jiwa watak “aku” yang mungkin mewakili diri pengarang. Melalui watak “aku” terakam kehidupan bawah sedarnya yang sarat dengan pengalaman pahit dan manis, yang memperlihatkan keinginannya yang mendalam untuk memajukan kaumnya, iaitu masyarakat Bisaya di Sarawak. Keinginan yang demikian memberikan kesan besar sehingga timbul konflik dalam jiwa bawah sedar “aku” (pengarang), lebih-lebih lagi apabila dia yang berketurunan Bisaya ditukarkan mengajar di kawasan pedalaman yang dihuni oleh suku kaum lain. Perpindahan itu memungkinkan dia menyaksikan sendiri kemunduran dan kedaifan mereka. Konflik jiwa ini menjadi semakin mendalam apabila “aku” mengingat kembali pengalaman pahit, terutama yang berkaitan dengan penindasan dan ketidakadilan. Antaranya ialah rasa rendah diri dan kecewa kerana hidup dalam masyarakat Bisaya yang mundur, sikap orang tuanya yang mengabaikan tanggungjawab untuk mendidik tetapi melebihkan penghinaan, dan sikap pilih kasih serta diskriminasi yang diamalkan oleh ketua tempat dia bertugas.
Segala konflik ini terolah dengan meyakinkan kerana terhasil daripada pengalaman peribadinya sendiri. Pengalaman sedemikian dapat dianggap sebagai benar, jujur dan sepenuhnya berlandaskan realiti.
Baladatun Thoiyyibatun karya Pelita di dalam Kaca bercorak futuristik yang membayangkan rupa bentuk negara Malaysia dalam tahun 2020. Pada zaman itu, negara terbentuk dalam sistem negara Islam, iaitu negara aman sejahtera. Negara begini dapat diwujudkan apabila segala aspek kehidupan rakyatnya mengikut lunas-lunas ajaran Islam, khususnya dalam aspek-aspek politik dan perundangan, sosial dan budaya, pendidikan, perekonomian, dan keagamaan. Dengan berkonsepkan ini, negara yang disebut sebagai Kota Cahaya menjadi negara yang benar-benar maju dan aman sejahtera.
Persoalan tersebut dihidupkan melalui kunjungan seorang pensyarah dari Australia ke Kota Cahaya untuk menziarahi sahabat Islamnya. Dia menjelajahi bandar Kuala Lumpur, daerah pedalaman di Kuala Tembeling (Pahang), dan seterusnya ke Kelantan. Dalam pengembaraan inilah dia dapat melihat kejayaan dan kemajuan negara yang mengamalkan cara pemerintah dan kehidupan Islam di samping mengekalkan kebudayaan dan tatacara hidup Melayu sepenuhnya. Dia kemudiannya teruja untuk memajukannya bersama-sama sehingga tertarik dengan kejelitaan dan budi bahasa gadis Melayu dan ingin mengahwininya.
SENARAI KEPUTUSAN
Setelah mempertimbangkan semua karya secara analitikal dan perbandingan, Panel Penilai memutuskan untuk memperakukan novel Baldatun Toiyyibatun karya Pelita di dalam Kaca sebagai pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010-2011.

ULASAN PENILAIAN PEMENANG

Baldatun Thoiyyibatun karya Pelita di dalam Kaca (Pustaka Kanzun Mahfiyyan, 2011)
Novel Baldatun Thoiyyibatun membina sebuah model negara impian di Malaysia yang mengutamakan aspek kebajikan. Dr. Lleyton Hewitt dari Edith Cowan University, Australia, datang ke Malaysia atas jemputan Tengku Kamal Izzudin Shah untuk melawat Kota Cahaya. Dr. Lleyton yang sudah menganut Islam dengan nama Muhammad Yassin Fikri tetapi belum mengisytiharkan keislamannya telah menjadi wadah bagi pengarang menumpahkan segala ilmu Islam. Beliau merupakan watak yang diprojeksikan untuk menyebarkan ilmu Islam dan mengangkat imej Islam sama ada dalam kalangan umat Islam mahupun di peringkat antarabangsa.
Novel ini sarat dengan idea dan ideologi yang menjurus ke arah pengagungan Islam sebagai tonggak pembinaan sebuah tamadun. Kota Cahaya dibina menurut nilai keadilan, ketertiban, kebersihan dan kebenaran Islam. Pembangunan prasarana, sistem pengadilan, sistem pendidikan, pendaulatan ilmu dan ilmuwan, disejajarkan dengan kehendak Islam. Misalnya, daripada segi keilmuan dan corak pembelajaran, Kota Cahaya memanfaatkan media elektronik secara optimum untuk membina fikiran masyarakat; masjid menjadi pusat penyuburan ilmu, tanpa menunggu institusi pengajian tinggi yang formal berfungsi secara rasmi. Dalam konteks pengadilan sesuatu kes jenayah, prinsip asasnya adalah untuk mencari keadilan dan kejernihan hidup, bukannya sekadar menetapkan hukuman yang menderakan. Sistem jalan rayanya juga dibina secara inovatif demi memanfaatkan ruang yang tersedia di samping menjaga kemaslahatan umum. Bentuk pembangunan dan pentadbiran yang Islamik begitu mencerminkan suatu alternatif yang dapat ditiru oleh pemimpin dan perancang pembangunan negara pada masa depan.
Dalam skala yang lebih besar, pertembungan antara Islam dengan penentangnya yang mengalami gejala Islamofobia dihuraikan dengan begitu informatif, argumentatif, ideologikal dan terbina dalam plot yang dramatik.
Rangkuman teknik dan nilai yang sedemikian menjadikan teks ini bertenaga sebagai penyampai ilmu, peneguh ideologi dan sekali gus menjinakkan kedegilan manusia secara halus. Persoalan ini disampaikan melalui konflik yang berlaku antara Dr. Lleyton dengan kerajaan Australia yang sangat rasis dan membenci Islam. Dengan berpegang pada prinsip bahawa Islam ialah penganjur keganasan, kerajaan Australia telah menangkap Dr. Lleyton kerana kunjungannya ke Kota Cahaya. Perbuatan Dr Lleyton itu dianggap jenayah menurut undang-undang Akta Keselamatan Kenegaraan Australia 2015 yang digubal oleh Parlimen Australia, lalu Dr. Lleyton ditahan serta disoal siasat dengan kekerasan yang tidak berpaksikan undang-undang.
Namun begitu, plot ini mempunyai signifikasinya sebagai wadah untuk penjelasan tentang Islam yang sebenar yang disampaikan oleh Dr. Lleyton. Semasa bersoal jawab dengan pegawai penyiasat daripada polis Australia, Dr. Lleyton telah berhujah menolak segala prasangka terhadap Islam. Inilah masanya dia menghuraikan makna keadilan dan kebenaran Islam secara panjang lebar. Dalam binaan plot, penjelasan itu tidak berupaya mengubah persepsi dan sikap polis yang menahannya, tetapi dalam skala yang lebih besar khalayak pembaca telah diberi penceramahan secara ilmiah dan logik tentang Islam. Strategi naratif sebegini diangkat dengan begitu kemas sehingga menjadikannya karya yang informatif dan berideologi. Oleh itu, dapat dikatakan bahawa perwatakan dan pemplotannya terbina dengan kemas dan wajar bagi mewujudkan makna berlapis dan artistik.
Selain itu, pewujudan watak yang pelbagai latar belakang dan kedudukan juga mencerminkan kehalusan teknik pengolahan naratifnya. Watak-watak Islamnya tidak hanya berbangsa Melayu juga merangkumi bangsa Eropah, Cina, dan India. Ini memberikan makna secara tersirat bahawa Islam bukannya milik satu kaum sahaja bahkan bersifat universal. Secara halus paradigma ini menghapuskan persepsi stereotaip kini bahawa hanya Melayu yang beragama Islam, dan jika seseorang itu menganut Islam samalah seperti menjadi Melayu. Persepsi sebegitu sangat sempit dan boleh mewujudkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, terutama bangsa lain. Oleh itu, novel ini membersihkannya dengan kaedah yang halus dan bersahaja.
Selain itu, secara tersirat juga, dengan meletakkan watak daripada keturunan raja, iaitu Tengku Kamal Izzudin Shah yang kuat pegangan agamanya, sebagai pendamping Dr. Lleyton, teks ini menyarankan makna bahawa Islam bukan untuk masyarakat bawahan semata-mata; malahan, golongan istana benar-benar menjadi pelindung agama Islam sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Bukan sahaja dalam bentuk peneguhan prinsip dalam Perlembagaan, malahan representasi watak ini memberikan saranan secara halus untuk difahami oleh golongan yang terlibat. Dalam kemelut masa kini yang mempertentangkan golongan pemain politik kepartian dengan bangsa Melayu, paparan dan sekali gus saranan halus ini berupaya menjadi pandu arah kepada pemikiran masyarakat agar lebih sedar akan hakikat kedudukan kuasa raja Melayu.
Dalam perspektif naratif realisme, novel ini dianggap tidak logik dan mungkin tidak relevan, tetapi daripada sudut yang lebih strategis, teks futuristik dan bersifat representatif sebegini berupaya memberikan mesej yang jauh melampaui keupayaan teks realisme. Banyak perkara yang tidak berlaku sekarang tetap memiliki kemunasabahannya untuk dijelmakan pada masa depan. Jika tidak seluruhnya pun, sebahagian daripada idea tersebut dapat dimanfaatkan. Sifat negara dan masyarakat yang ideal sebegini menyamai teks klasik Utopiayang ditulis oleh Sir Thomas Moore pada tahun 1516. Utopia yang merepresentasikan kehidupan yang ideal di sebuah pulau di Lautan Atlantik, telah diberi tanggapan yang pelbagai: ada yang menyifatkannya sebagai buku panduan untuk masyarakat pekerja di England, dan ada yang menanggapinya sebagai sebuah satira. Namun begitu, ada juga kesan lain yang lebih besar apabila dikatakan bahawa karya Thomas Moore ini telah menginspirasikan pembentukan negara dan masyarakat Perancis. Oleh hal yang demikian, novel Baldatun Toiyyibatun ini juga tidak harus dianggap cerita fiktif yang imaginatif dan kosong makna, bahkan sebaliknya teks ini dapat berfungsi sebagai kertas panduan (blueprint) kepada pembinaan negara yang ideal di samping melawan serangan hegemoni Barat terhadap Islam.
Kekuatan lain yang dapat diangkat daripada novel ini ialah nilai ilmunya yang sarat. Bersumberkan kitab al-Quran, sirah dan hadis, banyak persoalan yang dikemukakan secara sepintas lalu telah disokong dengan sumber dan penjelasan tambahan pada bahagian nota hujungannya. Kaedah ini memberikan nilai tambah yang sangat bermanfaat demi mengangkat karya sastera sebagai korpus ilmu dan pemikiran, bukan sekadar cerita dan emosi. Dengan huraian yang tuntas pada nota hujungannya, setiap pandangan yang disampaikan dapat diterima dengan lebih objektif dan ilmiah. Oleh sifat dan kelebihannya yang begitu, novel ini mempunyai nilai yang tinggi dalam sejarah persuratan Melayu moden.
KESIMPULAN
Daripada penilaian dan keputusan yang telah dibuat, novel-novel yang disenarai pendek telah memperlihatkan pencapaian yang agak baik dalam adunan tema dan persoalan dengan teknik pengolahannya meskipun tidak mencapai tahap yang memuaskan dibandingkan dengan novel tahun-tahun yang lalu. Namun begitu, bagi novel yang diperakukan layak untuk diberi hadiah, terpamer usaha sungguhan dalam menggabungkan ilmu dengan daya kreativiti dan imaginasi yang memikat. Pengarang berani mencipta masyarakat masa depan berlandaskan Islam yang syumul.
PANEL PENILAI
Dato’ Dr. Hashim Awang
Haji Hamzah Hamdani
Dr. Mohamad Saleeh Rahamad
sumber : dwnsastera.dbp.my

Post a Comment

Saya ingin berbagi cerita kepada anda bahwa saya ini IBU PUSPITA seorang TKI dari malaysia dan secara tidak sengaja saya buka internet dan saya melihat komentar ibu hayati yg dari honkong tentan MBAH KABOIREN yg telah membantu dia menjadi sukses dan akhirnya juga saya mencoba menghubungi beliau dan alhamdulillah beliau mau membantu saya untuk memberikan nomor toto 6D dan alhamdulillah itu betul-betul terbukti tembus,kini saya sangat berterimakasih banyak kepada MBAH KABOIRENG dan jika anda ingin seperti saya silahkan hubungi MBAH KABOIRENG di 085-260-482-111,saya juga tidak lupa mengucap syukur kepada ALLAH karna melalui MBAH KABOIRENG saya juga sudah bisa sesukses ini dan jangan mudah percaya kepada MBAH yg lain selain MBAH KABOIRENG karna saya juga pernah mengalami yg namanya dibohongin sama para normal yg lain,ini bukan rekayasa dari saya melainkan ini kisah nyata dari seorang TKI,jangan ada percaya klau ada yg memakai pesan ini klau bukan atas nama saya krna itu cuma bohan dan ini resmi saya yg menulis.Untuk yg punya rum erimakasih atas tumpangannya. KLIK _ GHOB _ 2D 3D _ 4D _ 6D _ DISINI












Saya ingin berbagi cerita kepada anda bahwa saya ini IBU PUSPITA seorang TKI dari malaysia dan secara tidak sengaja saya buka internet dan saya melihat komentar ibu hayati yg dari honkong tentan MBAH KABOIREN yg telah membantu dia menjadi sukses dan akhirnya juga saya mencoba menghubungi beliau dan alhamdulillah beliau mau membantu saya untuk memberikan nomor toto 6D dan alhamdulillah itu betul-betul terbukti tembus,kini saya sangat berterimakasih banyak kepada MBAH KABOIRENG dan jika anda ingin seperti saya silahkan hubungi MBAH KABOIRENG di 085-260-482-111,saya juga tidak lupa mengucap syukur kepada ALLAH karna melalui MBAH KABOIRENG saya juga sudah bisa sesukses ini dan jangan mudah percaya kepada MBAH yg lain selain MBAH KABOIRENG karna saya juga pernah mengalami yg namanya dibohongin sama para normal yg lain,ini bukan rekayasa dari saya melainkan ini kisah nyata dari seorang TKI,janan ada percaya klau ada yg memakai pesan ini klau bukan atas nama saya krna itu cuma bohon dan ini resmi saya yg menulis.Untuk yg punya rum erimakasih atas tumpangannya. KLIK _ GHOB _ 2D 3D _ 4D _ 6D _ DISINI

This comment has been removed by a blog administrator.