1
Hari ini hari ke-10 Syawal. Di sana sini ramai yang mengadakan Rumah Terbuka terutama pada hujung minggu. Sehari mungkin ada lima jemputan. Jadi, bagaimana cara pemakanan yang disyorkan untuk mengelak sakit perut dll. Izinkan saya berkongsi beberapa petua yang boleh dijadikan panduan:


Ketika makan
  •       Setelah dijemput untuk merasa juadah, mulakan dengan hirisan buah-buahan.
  •       Ambil juadah utama dalam jumlah sedikit, diikuti kuih-muih dan sebagainya. Ini penting terutama jika anda mempunyai banyak lagi rumah untuk diziarahi.
  •       Jangan letak terlalu banyak makanan di dalam pinggan (jika jamuan buffet). Ini adalah membazir jika tidak dihabiskan.
  •       Jangan mencampurkan gulai berlada hitam dengan masakan bercili merah atau cili kering. Kepedasannya mungkin membuat perut sakit.
  •       Elakkan mengambil makanan yang dihinggapi lalat. Pilihlah yang di sebelah bawah atau di dalam kuah yang tidak terdedah kepada lalat. Lebih baik tidak mengambilnya langsung. Jika anda kenal tuan rumah, bisikkan padanya tentang lalat yang banyak itu.
  •       Kurangkan makanan bergoreng kerana ia mengandungi lemak daripada minyak gorengan. Sebaik-baiknya, buangkan kulit ayam goreng sebelum dimakan.
  •       Elakkan makanan yang terlalu masin kerana anda akan berasa haus dengan cepat dan minum lebih banyak air. Bila perut penuh dengan air, anda tidak selesa menikmati makanan lain.
  •       Hindari jeruk atau makanan yang diperam lama kecuali anda minum banyak air suam selepas memakannya. Jeruk boleh menyebabkan gas terkumpul di dalam perut terutama bila anda makan terlalu kenyang.
  •       Ambil sajian pencuci mulut (dessert) yang lembut dan mudah hadam. Gunakan sudu kecil untuk menyenduk puding.
  •      Jika ada hidangan barbque, lebihkan pengambilan timun atau sayur-sayuran lain kerana ini dapat mengurangkan efek ‘carcinogen’ yang terdapat pada bahagian hangus makanan itu.
  •       Ambil salad atau sayur-sayuran supaya mendapat mineral dan zat yang diperlukan oleh tubuh. Nutrien inilah yang akan membantu proses pencernaan makanan.
  •       Elakkan pengambilan terlalu banyak bahan karbohidrat yang mudah mengenyangkan seperti nasi, nasi impit, mee, bihun, pasta, pulut, roti dan lain-lain. Ia boleh menyebabkan perut anda sebu.
  •       Gunakan pinggan yang kecil bagi mengawal pemakanan. Jika pinggan besar, anda berpotensi untuk mengambil lebih daripada yang sepatutnya anda makan.
  •       Hindari makanan yang terlalu pedas atau terlalu masam. Ia boleh membawa akibat buruk kepada mereka yang menghidap gastrik atau pedih ulu hati.
  •       Jangan makan terlampau banyak kek dan biskut yang manis dan lemak atau bersalut coklat kerana ia mengandungi banyak kalori yang boleh mengakibatkan kegemukan.
  •       Bagi mereka yang menghidap ‘Irritable Bowel Syndrome’, elakkan mengambil makanan seperti rendang atau gulai berlemak yang telah dipanaskan berkali-kali. Selalunya, rendang ayam akan kelihatan agak hancur kerana kerap digaul bila dipanaskan.

Minuman
  •       Pilihan terbaik ialah air biasa suam kerana kopi (jenis segera, bukan kopi ‘kampung’) dan teh mungkin mengakibatkan angin terperangkap di dalam perut.
  •       Bawa sebotol air di dalam beg atau kereta supaya anda boleh minum di dalam perjalanan balik dari Rumah Terbuka itu.
  •       Pilih jus buah-buahan kerana ia lebih menyihatkan tetapi buah-buahan tertentu boleh menyebabkan rasa ‘hilang’ bila anda menikmati makanan lain.
  •       Elakkan minuman berkarbonat kerana lazimnya ia terlalu manis kerana kandungan gula yang sangat tinggi.
  •       Jangan ambil minuman berais. Jika ingin minum ais, haruslah sekurang-kurangnya 2 jam sebelum atau selepas mengambil makanan berat. Ini supaya sistem penghadaman tidak terganggu.
  •       Minum perlahan-lahan. Jika terlampau gelojoh, angin akan masuk ke dalam perut dan mengakibatkan rasa memulas terutama bila telah kenyang.
  •       Cuba agar jangan mencampurkan berjenis minuman pada satu masa. Hanya minum satu jenis saja dengan air biasa atau air mineral.

Post a Comment