0
SOLAT SUNAT AWWABIN ini dapat menjaga dan memelihara keteguhan iman seseorang, di samping menghapuskan dosa dan mendapat banyak pahala. Dalam hal ini, Rasulullah SAW ada bersabda yang maksudnya:

Sesiapa solat selepas solat Maghrib enam rakaat sebelum berkata-kata, nescaya diampunkan baginya segala dosanya selama lima puluh tahun. Waktu solat ini diamalkan ialah di antara Maghrib dan Isyak. Bilangan rakaatnya ialah empat rakaat (dua salam) atau enam rakaat (tiga salam). Sebelum mendirikan solat, disunatkan membaca doa berikut (saya tulis maksud doa itu saja):

Ertinya: Selamat datang kepada malaikat yang bertugas malam, selamat datang kepada dua malaikat pencatat yang mulia, tuliskan dalam rekodku sesungguhnya aku naik saksi bahawasanya tiada TUHAN yang lain melainkan ALLAH dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu hamba-NYA dan utusan-NYA, kalam itu benar. Aku naik saksi bahawa kiamat itu benar dan pasti akan datang tidak ragu lagi. ALLAH akan bangkitkan mayat dari kubur, ya ALLAH aku simpankan di sisi-MU penyaksian ini untuk hari yang aku perlukan kepadanya. Ya ALLAH, simpankanlah dengan amalan, ampunkanlah dengannya dosaku, beratkanlah dengannya timbanganku yang baik dan pastikanlah dengannya pencapaian cita-citaku dan perkenankanlah untukku, ya ALLAH yang sangat pemurah.

Lafaz niat dan kaedah/bacaannya.
(a) Pada dua rakaat pertama
Lafaz niat: Sahaja aku menunaikan solat sunat Awwabin serta memelihara iman, dua rakaat kerana ALLAH Taala.

Selepas membaca surah Al-fatihah pada tiap-tiap rakaat, baca surah:
- Al-Qadr sebanyak 1 kali.
- Al-Ikhlas sebanyak 6 kali.
- Al-Falaq sebanyak 1 kali.
- An-Naas sebanyak 1 kali.

Selesai memberi salam, baca doa yang bermaksud: Ya, ALLAH, sesungguhnya aku menyerahkan imanku kepada peliharaan-MU, maka imanku itu semasa hidupku, semasa matiku dan selepas matiku. Sesungguhnya ENGKAU Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

(b) Pada dua rakaat kedua
Lafaz niat: Sahaja aku menunaikan solat sunat Awwabin, dua rakaat kerana ALLAH Taala.

Selepas membaca surat Al-fatihah pada rakaat pertama, baca surah:
- Al-Kafirun sebanyak 1 kali

Selepas membaca surah Al-fatihah pada rakaat kedua, baca surah:
- Al-Ikhlas sebanyak 1 kali

(c) Pada dua rakaat ketiga
Lafaz niat: Sahaja aku menunaikan solat sunat Awwabin dan Istikharah, dua rakaat kerana ALLAH Taala.

Selepas membaca surat Al-fatihah pada rakaat pertama, baca surah:
- Al-Kafirun sebanyak 1 kali

Selepas membaca surah Al-fatihah pada rakaat kedua, baca surah:
- Al-Ikhlas sebanyak 1 kali

Selepas memberi salam, bacalah doa ini: Ertinya: Ya ALLAH, pilihlah untukku barang yang padanya kebaikan dan keelokan pada urusan agamaku dan duniaku, dengan rahmat ENGKAU wahai TUHAN yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Post a Comment