Wednesday, August 25, 2010

Blackpepper Beef

3 camca besar minyak
3 biji bawang merah, dihiris
2 ulas bawang putih, dicincang
4 cm halia, dihiris memanjang
400 gm daging batang pinang, dipotong
200 ml air
½ cili Benggala hijau, dikiub
½ cili Benggala merah, dikiub
½ cili Benggala kuning, dikiub
Garam secukup rasa

Bahan Sos (dicampur)
3 camca besar sos lada hitam (blackpepper sauce)
2 camca besar sos tiram
1 camca teh tepung jagung
150 ml air

Cara membuatnya
1.Panaskan minyak, tumis bawang merah, bawang putih dan halia.
2.Bila wangi masukkan daging dan kacau hingga kering airnya.
3.Tuangkan air, kacau sekali-sekala hingga mendidih.
4.Kemudian perlahankan api dan tutup kuali.
5.Bila daging empuk dan kuahnya pekat, masukkan semua cili Benggala.
6.Kacau 2 minit, tuangkan bahan sos. Tambah garam mengikut rasa.
7.Masak hingga pekat kemudian angkat.

BERGEDEL

300 g ubi kentang (kupas)
100 g bawang merah
200 g daging (kisar halus)
5 tangkai daun sup } dihiris halus
5 tangkai daun bawang }
1 camb serbuk ketumbar
½ camb serbuk jintan manis
1 camt serbuk jintan putih
2-3 biji telur
Garam, serbuk lada sulah secukupnya
Minyak untuk menggoreng

Cara membuatnya
1.Rebus kentang hingga empuk, lecek lumat.
2.Hiris bawang merah, goreng garing dan tumbuk halus.
3.Gaulkan kentang, bawang, daging dan semua bahan lain kecuali telur.
4.Kepalkan menjadi bebola.
5.Celup bergedel di dalam telur.
6.Goreng di atas api perlahan hingga keperangan dan masak.
7.Angkat, tuskan minyaknya dan sajikan dengan sos cili.

Wednesday, August 18, 2010

Biskut Shortbread


Bahan-bahan
125 gm mentega
50 gm gula kastor
175 gm tepung gandum, diayak
Gula kastor, untuk tabur

Cara membuatnya
1.Pukul mentega dan gula hingga separuh kembang.
2.Masukkan tepung dan uli perlahan menjadi doh.
3.Lengser tin pembakar berukuran 25-26 cm dengan majerin.
4.Ratakan adunan tadi biar sekata tebalnya.
5.Cucuk permukaannya dengan garfu.
6.Potong bentuk jejari tetapi jangan sampai putus. Taburkan gula kastor.
7.Bakar pada suhu 175 C selama 30-35 minit atau hingga keemasan.
8.Taburkan gula kastor rata-rata di atasnya.
9.Biar 5 minit sebelum memotongnya dan biar sejuk atas redai.

Monday, August 16, 2010

Kek Span Keju

160 gm krim keju
25 gm mentega
120 gm susu segar
40 gm tepung gandum
30 gm tepung jagung
4 biji kuning telur
4 biji putih telur
¼ sudu teh garam
100 gm gula kaster

Lenser dan alas tin empatsegi berukuran 23 cm. Bungkus bahagian luarnya dengan foil
Satukan 3 bahan pertama dalam mangkuk tahan panas. Letak mangkuk atas periuk berisi air mendidih perlahan. Pukul hingga pekat. Angkat.
Masukkan 2 bahan seterusnya, kacau rata. Campurkan kuning telur dan pukul sebati.
Dalam mangkuk bersih, pukul putih telur dan garam hingga kembang.
Masukkan sedikit demi sedikit gula, pukul hingga separuh kental (soft peak).
Tuangkan adunan ke dalam tin. Letak tin dalam bekas besar berisi air mendidih.
Bakar dalam ketuhar dengan suhu 160 C selama 50 minit. Keluarkan kek daripada tin, biar sejuk atas redai.

Foto : loopgum.com

Thursday, August 12, 2010

Karnival Ramadan !!

KARNIVAL TAHUNAN...
bersempena bulan Ramadan

Tarikh: 1 - 29 Ramadan
Tempat: seluruh dunia

Acara menarik:
Puasa, Berbuka, Bersahur, Tarawih, Qiamulail, Tadarus, Zikrullah, Zakat Fitrah, Sedekah dan amalan lain.

Bonus hebat:
Pahala 1,000 bulan, Lailatulqadar, Doa dimakmulkan, Sihat Tubuh Badan, Diskaun Dosa 100 peratus dan ganjaran lain.

CEPAT!!! Ganjaran Lumayan daripada Allah SWT sementara stok umur masih ada. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk al-Quran dan hadis serta alim ulama.

Semoga Ramadan kali ini lebih bermakna dan lebih berkesan. Amin ya rabbal alamin. Selamat berpuasa!

Wednesday, August 11, 2010

Belajar Memasak 2

BUKU MASAKAN TERBARU !!!!
Terdapat 50 resipi masakan yang menyelerakan untuk anda cuba. Semuanya ditunjukkan Langkah-Demi-Langkah dengan petua atau tips supaya masakan yang dihasilkan lebih sempurna.

Antara masakannya :
Roti canai, Capati, Pretzel, Roti pintal, Apam lemon, Fish & Chips, Blackpepper Steak, Lasagne, Keropok lekor, Apam balik, Pie Tie, Krim paf, Trifle, Marshmallow, Taufu Fa, Biskut berhias, Melting moments, Kuetiau, Mi Kuning, Laksa, Burger, Sosej, Bebola ikan dll.

Sesuai untuk sesiapa saja untuk menambah pengetahuan dalam bidang masakan - satu kemahiran yang tidak sia-sia dan mampu memupuk kemesraan dalam keluarga, insyaAllah. Juga boleh dijadikan sumber pendapatan sampingan jika berminat dalam bisnes kecil-kecilan.

Tuesday, August 10, 2010

Buka Puasa Esok? Kebab ...

1 kg daging, dihiris berkeping
1 labu bawang besar } dimesin halus

2 ulas bawang putih }
¼ cawan minyak masak
1 sudu besar jus limau nipis
1 sudu teh serbuk cili
1 sudu teh jintan putih
1 sudu teh serbuk ketumbar
½ sudu teh serbuk lada hitam

garam secukupnya


Perap semua bahan selama 4 jam. Jika lebih 4 jam, simpan dalam peti sejuk (bekas bertutup atau plastik). Susun pada bekas kebab dan panggang hingga masak. Boleh juga dicucuk pada lidi atau skewer besi dan gril hingga masak. Lidi hendaklah direndam dalam air selama 4 jam untuk mengelak ia hangus cepat. Hidangkan dengan hirisan daun sup, daun bawang, hirisan tomato, timun dan roti pitta. Jangan lupa masukkan sos cili, dadih asli dan mayonis.

Saturday, August 7, 2010

BISKUT MARMAR CARRIES

Inilah antara biskut yang paling popular pada musim lebaran. Nampak seperti rumit membuatnya kerana hiasan celoreng di atasnya. Namun ia tidak sesukar mana sekiranya anda tahu caranya. Biskut ini cantik jika diletakkan di dalam balang kaca. Bila dihias dengan kain renda dan reben, ia boleh dijadikan cenderahati buat tetamu atau rakan-rakan.

Satu perkara yang paling penting harus diambil perhatian. Suhu membakar biskut ini lebih rendah daripada biskut biasa. Hanya gunakan api bahagian bawah sahaja. Jika menggunakan api atas dan bawah, hiasan di atas biskut akan bertukar menjadi keperangan. Ini menyebabkan biskut tidak cantik lagi.
Suhu yang terlalu tinggi juga akan membuat lapisan atasnya mengering dan mengeras terlalu cepat. Inilah sebabnya mengapa ia kadangkala tertanggal dari biskut.

Jangan canai biskut terlalu tebal kerana ia sukar untuk masak sempurna. Bila biskut dimasak terlalu lama, bahagian hiasannya juga akan menjadi keperangan.
Konsistensi atau kepekatan bahan hiasan atau aising hendaklah tidak terlalu cair. Ini mengakibatkan ia meleleh ke sekeliling biskut. Biar ia pekat tetapi tidak terlalu pekat. Anda harus berhati-hati menambah gula aising. Jika terlalu pekat, tambah beberapa titik air panas supaya ia kembali cair.

Aising yang pekat tidak licin dan sukar untuk dicorakkan atasnya.
Sukatan gula aising bergantung pada saiz putih telur itu. Jika membuat dalam kuantiti banyak, gunakan mesin pemutar pada tahan minima. Seandainya menggunakan sebiji putih telur sahaja, memadai memukulnya dengan garfu. Masukkan 1 sudu besar gula aising, pukul sebati. Kemudian baru ditambah dengan 1 sudu besar lagi. Fungsi tepung jagung adalah untuk memutihkannya.

Anda boleh gunakan pewarna merah atau emulco coklat bagi menggantikan pewarna hijau. Corak di atas biskut dengan adunan berwarna dibuat dengan mencelup hujung lidi koktel ke dalamnya. Kemudian bentukkan tiga garisan di atas aising putih. Gariskan secara melintang supaya ia membentuk corak marmar atau marble.
Untuk mendapatkan biskut yang kekuningan, gantikan tepung jagung dengan tepung kastard. Susu tepung akan melemakkan rasa biskut. Gunakan jenis rendah lemak (susu tepung skim) atau susu berlemak (full-cream milk powder). Seperti adunan biskut yang lain, tidak perlu menguli terlalu lama. Kepanasan dari jari akan menyebabkan tekstur adunan berminyak. Seandainya anda membuat banyak, biarkan adunan agak lembik. Sementara anda mencanai dan menerap adunan serta meletakkan hiasan di atasnya, adunan yang dibiarkan tadi akan mengeras dengan sendirinya. Pastikan adunan tersebut diletak di dalam bekas bertutup kemas supaya permukaannya tidak kering. Sentiasalah mencanai adunan di antara dua lapisan plastik yang lebar. Jika adunan yang dicanai melekat pada plastik bila anda mengangkat plastik tersebut, ini bermakna adunan agak lembik. Bila adunan lembik, ia sukar diubah ke atas tin pembakar.

Bentuk yang tidak sekata akan membuat biskut nampak tidak kemas.
Setelah menyusun semuanya di atas tin yang berlengser, barulah mula menghiaskannya dengan bahan aising. Bahan aising yang sudah disediakan juga mesti diletakkan di dalam bekas bertutup. Ini untuk menghalang atasnya ‘berkulit’ dan teksturnya mengeras sedikit. Bila membakar biskut, pastikan ketuhar sudah dipanaskan 15 minit sebelum itu. Jika menggunakan dua rak, tin pembakar pada rak atas hendaklah dekat (bukan sentuh) dinding belakang ketuhar. Manakala tin pada rak bawah hendaklah dekat dengan dinding hadapan (muka) ketuhar. Ini adalah supaya habanya sekata. Seandainya tidak mengikut cara itu, biskut di rak bawah yang paling dekat dengan apinya akan mudah hangus. Keupayaan memahami ‘kerenah’ ketuhar bergantung pada pengalaman anda sendiri menggunakannya. Jadi, acapkali anda perlu mengubahsuai dan tidak mengikut seratus peratus di dalam resipi.

BISKUT MARMAR CARRIES
125 gm mentega
100 gm gula aising
1/2 sudu teh vanila
40 gm susu tepung
250 gm tepung gandum }

80 gm tepung jagung } ayak
½ sudu teh serbuk penaik }

Bahan hiasan
1 biji putih telur
120-140 gm gula aising }diayak (berasingan)
15 gm tepung jagung }
Sedikit pewarna hijau

Cara membuat

1.Pukul mentega, gula aising dan vanila hingga sebati.
2.Masukkan sedikit demi sedikit susu tepung dan bahan ayak.
3.Uli hingga menjadi doh lembut.

4.Canai doh dan terap dengan acuan berbentuk ‘hati’.
5.Sapukan hiasan ke atas biskut. Lorek dengan lidi koktel membentuk garisan.
6.Bakar pada suhu 170 C selama 20-25 minit atau sehingga masak.
7.Untuk hiasan: Pukul putih telur dan gula hingga pekat.
8.Masukkan tepung jagung, kacau sebati.
9.Ambil 1 sudu besar adunan dan campurkan dengan pewarna.

KICAP

Mungkin ada di antara anda teringin buat kicap sendiri? Silakan mencubanya. Resipi ini ada di dalam buku saya yang akan terbit tidak lama lagi, berjudul RAHSIA DAPUR 2.

KICAP
3.6 liter air

220 gm garam
440 gm kacang soya
335 gm tepung serbaguna

Cara membuat
1. Larutkan air dan garam. Letak dalam tempayan dan tutup atasnya dengan jaring halus. Bila hujan, tutup sepenuhnya.
2. Biar tempayan selama 4 minggu di tengah panas terik (tutup atasnya bila malam).
3. Rendam kacang soya selama 4 jam. Rebus hingga empuk.
4. Tuskan dan biar sejuk dalam nyiru buluh. Campurkan dengan tepung.
5. Gaul dan hancurkan kacang bersama tepung hingga menjadi doh. Bentukkan seperti silinder selebar 6 cm.
6. Potong setebal 1 cm dan susun dalam nyiru. Tutup dengan suratkhabar dan dua lapisan tualanipis.
7. Biarkan selama 10 hari hingga kulat memenuhi kepingan kacang soya itu.
8. Letak kepingan soya dalam air garam yang sudah dijemur. Tutup dengan jaring dan biar di panas terik. Tutup sepenuhnya pada waktu malam atau hari hujan.
9. Biar selama 4-5 minggu atau sehingga campuran nampak gelap dan berbau seperti kicap.
10. Tapiskan ke dalam periuk dan jerang atas api perlahan hingga hampir mendidih. Biar 30 minit.
11. Sejukkan dan isi ke dalam botol.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...