Tuesday, January 26, 2010

Karnival Karangkraf 2010

Pada hari sabtu, ahad & isnin ini, saya akan berada di KARNIVAL KARANGKRAF (Lot 2, Jalan Sepana 15/3, Shah Alam) dari jam 11 pagi hingga 4 ptg. Jemput ke booth Alaf 21 untuk membeli novel terbaru & buku-buku masakan.

InsyaAllah, kita boleh bertemu dan beramah mesra di samping mendapatkan tandatangan. Karnival ini semestinya ditunggu2 kerana selain penjualan buku, ada juga booth pelbagai barangan lain serta peraduan menarik ....

Monday, January 25, 2010

Aktiviti Minggu Ini ...

Esok pada jam 11.45 pagi, saya akan ke udara bersama Peneraju Radio 24 (93.9fm), Nazira. Kami akan berbual tentang dunia masakan / penulisan novel serta aktiviti terkini. Saya juga akan berkongsi resipi istimewa dengan para pendengar di samping menjawab soalan yang dikemukakan.

Hari Khamis pula, saya dijemput oleh Cybernetics International College of Technology di Taman Maluri, Kuala Lumpur untuk upacara Perasmian Kitchen Lab di Fakulti Hotel and Catering mereka. Saya juga akan menjadi Juri bagi mengadili masakan yang disediakan oleh penuntut jurusan katering di kolej tersebut. Pengalaman ini semestinya menarik dan saya berharap semoga kehadiran saya di sana (dan berkongsi pengalaman saya dalam bidang masakan) akan memberi manfaat kepada mereka, insyaAllah.

Monday, January 18, 2010

Bertemu Chaq

Hujung minggu lalu saya ke Perlis bertemu mertua dan sanak saudara sebelah Sdr NY. Meski pun kunjungan tidak lama, kemesraan mereka sentiasa tersemat di hati tatkala pulang ke kota semula. Foto di atas, saya bersama datuk Sdr NY, Ismail Hussein yang berusia 99 tahun. Ismail yang saya panggil 'chaq' mempunyai 13 orang cicit. Syukur alhamdulillah, dia masih sihat dan sentiasa bercerita tentang kehidupannya di masa lampau. Suasana kampung sungguh mengujakan dengan kicauan burung di pagi hari, nyanyian riang-riang menyambut senja dan kedinginan yang menyegarkan... (kembali ke kota, dihambat kerja & date-line, begitulah kira-kira....)

Thursday, January 14, 2010

CINTA 365 HARI

Akhirnya, novel terbaru saya dah berada dalam tangan.
Gembira dan syukur usaha kali ini telah menjadi realiti.
Kisah dalam novel ini benar-benar menyentuh hati kerana ia berkisar tentang cinta dua manusia berlainan bangsa dan agama.
Inilah novel saya yang ke 25 dan merupakan tribute kepada keluarga sebelah bonda saya yang berbangsa Cina.
Semoga kalian gembira membacanya dan memperolehi satu keseronokan hakiki, pengertian abadi... sama seperti apa yang saya alami ketika menggarapnya...
Biar apa bangsa sekali pun kita, hakikatnya kita adalah manusia biasa. Darah yang mengalir di dalam tubuh adalah merah. Jangan kerana perselisihan pendapat, kita menjadi musuh di Tanah Melayu ini. Sekiranya terjadi sesuatu pertelingkahan yang melibatkan pertumpahan darah, siapa yang akan rugi? Kita juga, bukan?
Kadangkala ada isu yang dipermainkan oleh tokoh politik dan sebagai rakyat, sentimen kita dibakar. Berserah kepada Allah SWT dan meminta perlindungan-Nya, moga kita sentiasa tenang dan sejahtera, insyaAllah...

Wednesday, January 6, 2010

Stimbot

Sup
2 rangka ayam (buang lemak)
4 liter air
2 tangkai daun bawang
1 kiub stok @ 3 sudu besar stok pekat ayam
Garam, gula, serbuk lada sulah


Tomyam

2 rangka ayam (buang lemak & ketuk)
3 batang serai + 4 cm lengkuas (diketuk)
10-12 tangkai cili padi
4 cm akar daun ketumbar (dihiris)
2 biji tomato (belah 4)
Jus 2-3 biji limau nipis
6 helai daun limau purut
4 liter air
2 sudu besar sos ikan (jika tiada, ganti kicap cair)
Garam, gula secukupnya

Bahan sampingan
250g isi ayam bahagian dada
250g isi ikan
500g udang besar
300g sotong (potong bulat)
200g cendawan tiram
200g cendawan butang
150g bebola ikan
150g bebola sotong
2 keping tauhu (belah 9)
150g kubis Cina
150g lobak merah (dipotong)
200g bihun (direndam)
200g mi kuning

Bahan Pencicah
125 ml sos cili bawang putih
2 sudu besar jus limau nipis

Untuk Sup
Jerang air hingga mendidih, masukkan rangka ayam dan daun bawang. Bila mendidih, perlahankan api dan renihkan selama 1½ hingga 2 jam. Masukkan bahan lain, kacau kemudian tapiskan ke dalam periuk stimbot.

Untuk Tomyam
Jerang air hingga mendidih, masukkan rangka ayam, serai, lengkuas, cili padi, akar ketumbar dan tomato. Bila mendidih, perlahankan api dan renihkan selama 1½ hingga 2 jam. Bubuh semua bahan lain, kacau kemudian tapiskan ke dalam periuk stimbot.

Susun semua bahan sampingan di dalam pinggan. Bila hendak makan, masukkan ke dalam sup atau tomyam dan tutup. Bila masak, bolehlah diangkat dan dimakan dengan pencicah.

Tuesday, January 5, 2010

BUKU MASAKAN BARU!!

KOMPILASI MASAKAN BERKUAH
MASAKAN berkuah memang cukup enak dan menyelerakan. Ia juga merupakan salah satu menu masakan yang menjadi pelengkap hidangan. Ada juga masakan Barat yang begitu digemari ramai dapat disediakan sebagai hidangan istimewa hujung minggu.

Buku kompilasi masakan berkuah ini mengandungi 60 resipi yang telah dipelbagaikan penyajiannya. Ada yang menyajikannya dengan nasi, mi, mihun, kuetiau dan juga pasta. Malah, boleh juga dimakan begitu sahaja tanpa dimasak seperti rojak buah, pecal dan koktel buah-buahan. Ada yang berkuah pedas, masam manis atau kombinasi yang akan menaikkan selera. Ternyata masakan ini boleh dipelbagaikan mengikut selera dan citarasa masing-masing. SELAMAT MENCUBA!

KOMPILASI HIDANGAN VEGETARIAN
MASAKAN vegetarian sinonim dengan hidangan sihat yang segar rasa sayur-sayuran. Sudah tentu hidangan ini menjadi pilihan mereka yang mementingkan gaya hidup sihat. Begitu pun, ada beranggapan hidangan masakan vegetarian ini terhad dan membosankan. Betulkah begitu? Sudah tentu itu adalah anggapan yang kurang tepat.

Kompilasi Masakan Vegetarian membuktikan bahawa pelbagai juadah enak vegetarian dapat dihasilkan asalkan kreatif dan berani mencuba. Himpunan 60 menu di dalam buku ini pasti dapat memberi inspirasi dan dijadikan rujukan kepada mereka yang menggemari masakan vegetarian.

Kepada mereka yang mempunyai alahan apabila memakan daging lembu, ayam atau makanan laut bolehlah mencuba resipi di dalam buku ini yang mempunyai ‘rasa’ sumber protein tersebut. Hidangan vegetarian ‘berperasa’ daging lembu, ayam, itik, ikan, udang, ketam dan sebagainya diolah kreatif menjadi menu yang lazat.

Resipi Istimewa

AISKRIM ROTI

60 gm gula kaster
2 sudu besar air
100 gm serbuk roti gandum tulen
375 ml krim putar
50 gm gula kaster

Cara membuat
1. Jerang gula dan air hingga keperangan.
2. Masukkan serbuk roti, gaul cepat dan ratakan atas tin pembakar yang sudah dilenser majerin.
3. Bila ia sejuk, hancurkan dengan kayu pencanai.
4. Putar krim hingga separuh kental, masukkan gula dan pukul lagi.
5. Satukan serbuk roti dengan krim, kacau dan tuang ke dalam bekas bertutup.
6. Simpan dalam peti pembeku hingga separuh keras.
7. Putar semula hingga halus kemudian simpan semula dalam peti pembeku selama semalaman.

PITA SUMBAT

4 keping roti pita herba
1 sudu besar mentega
8 kepingan ayam sandwic
8 helai daun salad
Sos cili (hidangan)

Bahan sos
50 gm krim keju (jenis spread)
2 sudu besar mayonis
1 sudu besar mentega
2 tangkai daun bawang }
2 ulas bawang merah } dicincang halus
1 biji cili merah }
Garam, serbuk lada hitam secukup rasa

Cara membuat
1. Untuk sos. Pukul krim keju, mayonis dan mentega hingga halus.
2. Masukkan semua bahan lain. Gaul sebati dan ketepikan.
3. Sapu mentega pada roti pita, goreng dalam kuali.
4. Potong 2 kemudian sapukan campuran mayonis.
5. Letak ayam dan daun salad kemudian hidangkan dengan sos cili.

Sumber Foto : butterball.com / icecreamireland.com

Sunday, January 3, 2010

Sekitar majlis di Hotel Royale Chulan...

Singgahsana mempelai dengan juraian manik di sebelah kanan dan kek fondan kelabu dengan bunga merah kecubung. Keharuman bunga rampai semerbak memenuhi dewan yang begitu indah. Bawah (kiri), saya bersama Iza drpd ACP Magazines (kenal waktu dia dengan Berita Publishing). (Kanan) bersama Bill Bora, publicist dan event manager yang amat terkenal.













Bersama Christine & Jamilah (datang dari Singapura) yang pernah sama-sama menyelenggarakan buku masakan saya dengan Marshall Cavendish. Sudah agak lama juga tak bersua mereka...
Mengabadikan kenangan bersama Florence, Zaidah, Christine & puteri Zaidah. Majlis di Hotel Royale Chulan mempertemukan kami semula kerana masing-masing sibuk dengan tugasan seharian...

Perkahwinan Serina-Salahudin

Terima kasih kepada Chef Wan yang telah sudi menjemput saya ke majlis persandingan puteri beliau, Serina dengan Salahudin Ghaffar yang berlangsung di Hotel Royale Chulan.

Bergambar di hadapan pelamin berwarna perak. Ribuan kuntuman bunga-bungaan yang eksotik menghiasi seluruh ballroom itu.
Ramai tetamu di kalangan orang-orang kenamaan, delegasi luar negara, artis dan rakan-rakan chef turut sama memeriahkan majlis bertemakan "Garden Wedding" itu.









Bersama Chef Wan yang kelihatan sungguh gembira melayani tetamu yang hadir. Saya sempat juga bergambar dengan Azwan Ali yang riang & peramah sekali. Antara chef yang hadir ialah Florence Tan, Zaidah, Chef Zam, Chef Liza dan lain-lain lagi.

Friday, January 1, 2010

Kuskus Ayam Panggang

Bahan Ayam
1 ekor ayam kecil
1 sudu teh parsli cincang
1/2 sudu teh serbuk cili
1/2 sudu teh serbuk jintan manis
1 sudu teh jus limau susu
3 sudu besar marjerin
Garam, serbuk lada hitam secukup rasa

Untuk kuskus
120 gm kuskus
150 ml air rebusan ayam
2 sudu besar mentega
¼ cili Benggala kuning - didadu
¼ cili Benggala merah - didadu
Badam panggang, buah zaitun hitam, parsli
Garam secukup rasa

Cara membuat
1. Satukan parsli, serbuk cili, serbuk jintan, jus limau, garam dan serbuk lada hitam.
2. Lumurkan pada ayam dan perap selama 2 jam.
3. Letak ayam di atas tin pembakar beralas foil.
4. Sapukan dengan marjerin. Panggang pada 200 C selama 45 minit atau hingga ayam masak. Semasa memanggang, sudukan cecair yang keluar ke atas ayam semula.
5. Untuk kuskus. Didihkan air rebusan. Tuangkan kuskus dan biar selama 4 minit. Kacau rata.
6. Gaulkan dengan semua bahan lain. Hidangkan dengan ayam panggang.

Nota : Dapatkan kuskus yang boleh disediakan dalam masa 4 minit. Jika tiada, ikut arahan pada paket.
Resipi dari MASAKAN ARAB terbitan Alaf 21.

Puding Kastard Buah

1 cawan tepung kastard
3/4 cawan gula pasir (atau ikut suka manisnya)
3 cawan air

1 1/2 cawan susu cair
1 tin kecil buah campuran (sejatkan)


Cara-cara:

1. Letak buah-buahan campuran ke dalam loyang, ketepikan.
2. Larutkan tepung kastard dengan sedikit air, tapiskan ke dalam periuk. Campurkan kesemua bahan lain.
3. Kacau atas api sederhana perlahan hingga adunan pekat dan berkilat.
4. Angkat dan tuangkan ke atas buah dan biar sejuk sebelum disimpan di dalam peti sejuk.

Petua:
1. Bila membuat puding, pastikan sejuk sebelum diletak dalam peti sejuk. Jika tidak, puding akan berair.
2. Jika tiada tepung kastard, boleh digantikan dengan tepung jagung tetapi puding akan berwarna putih (boleh tambah pewarna, jika suka).
3. Untuk kelainan, alas loyang dengan potongan kek lapis sebelum diletak puding tadi.
4. Boleh gunakan sirap buah sebanyak 1 cawan dan campurkan dengan 2 cawan air biasa.
5. Sebaik-baiknya, gunakan balloon whisk untuk mengacau puding di atas dapur.
6. Loyang hendaklah dibasahkan dulu sebelum menuangkan adunan puding.

Sumber foto:
http://taman-syurga-abadi.blogspot.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...