Tuesday, October 27, 2009

Pertabalan DYMM Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan

Sempat merakamkan foto sewaktu hadir ke Majlis Pertabalan DYMM Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-11. Majlis yang gilang-gemilang mengikut Adat Perpatih itu diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Menteri Besar, serta wakil-wakil Sultan atau Pemangku Raja termasuklah dari negara Brunei Darussalam.

Sungguh indah lagi mempesonakan suasana di Balairong Seri, Istana Seri Menanti dalam limpahan cahaya kristal candelier. Dinding sebelah kanan dihiasi lukisan potret Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan yang terdahulu. Dif-dif kehormat, duta dan ramai kerabat DiRaja turut sama menyaksikan upacara bersejarah itu.

Pekarangan Istana Seri Menanti dipenuhi khemah untuk menjamu selera makan tengah hari. Ramai rakyat berhimpun untuk menyaksikan upacara (melalui skrin tv besar). Foto (bawah) Istana yang tersergam indah dengan landskap dihiasi bunga-bungaan pelbagai warna.

Tuesday, October 20, 2009

Dengarkan ...

Untuk makluman kalian, saya sedang memindahkan artikel
wordpress ke dalam blogspot.

Ini adalah kerana saya ingin menutup laman tersebut.
Jadi, sekiranya kalian pernah

membaca artikel-artikel di bawah, harap abaikan, ya?
Bagi kalian yang membacanya kali pertama
dan ingin meninggalkan comments, saya alu-alukan.
Terima kasih.

Entry 11 Oktober 2007

Gembira, terharu dan bersyukur tika melihat Soyuz berlepas ke ISS semalam.
Sesiapa yg pernah membaca novel saya, Impian Terindah,
mungkin akan lebih memahami perasaan saya.


Terbaru :
Tahniah diucapkan kepada Datuk Dr. Sheikh Muszaphar & Dr. Halina kerana bakal mengikat tali pertunangan pada 1 Januari 2010.

Gaya Bahasa

Mungkin saya bukanlah orang paling tepat untuk berbicara tentang novel cinta (ramai lagi di luar sana yg lebih terror dan menonjol) tapi rasanya, bolehlah saya kongsi sedikit pengalaman.

*Gaya Bahasa
Gaya bahasa atau stail adalah ‘kekuatan’ penulis. Setiap penulis mempunyai stail yg berbeza dalam persembahan novel mereka. Jika anda mempunyai stail tersendiri yg hebat, anda dikirakan sebagai seorang penulis yg outstanding. Jadi, bagaimana nak dapatkan stail begitu? Kita masih boleh meniru stail penulis pujaan kita tetapi jangan sampai terikut-ikut dari segi struktur ayat dsbnya.

Cuba dapatkan stail sendiri dengan bereksperimen. Baca sebanyak buku yg mungkin dengan pandangan kritikal terhadap stail penulis tersebut. Buat perbandingan antara buku. Anda akan dapati, anda boleh cipta stail tersendiri merangkumi beberapa aspek dalam buku2 tersebut. Pada mulanya mungkin sukar untuk mengadaptasi tapi lama-kelamaan, anda akan rasa selesa.


*Bahasa indah
Salah satu cara untuk menyuntikkan bahasa indah ke dalam karya adalah dengan membaca banyak buku/novel nukilan beberapa penulis ‘nama besar’ yg terkenal (pada zamannya atau zaman sekarang). Novel klasik mereka harus dijadikan guideline. Shahnon Ahmad, mungkin dengan ‘Ranjau Sepanjang Jalan’, A.Samad Said dengan ‘Salina’ atau Azizi Hj Abdullah dgn ‘Seorang Tua di Kaki Gunung’; sekadar menyebut beberapa nama. Deskripsi latar (langit, laut, gunung dll) atau wajah seseorang (fizikal/emosi) akan memberi keindahan pada karya. Ini mungkin terbit dari hati penulis itu sendiri – cuba fikirkan bila dan di mana fikiran anda terangsang untuk berpuitis.
Adakah bila berada di tepi laut?
Adakah bila mendengar lagu sentimental?
Adakah setelah membaca novel yg menyentuh hati?

Jangan give-up kalau tak boleh pada percubaan pertama atau kedua. Menjadi penulis bukanlah mudah, sebenarnya. Sesetengah orang mengambil masa lima bulan untuk menjadi terkenal, sesetengahnya lima tahun; selebihnya mungkin selepas kematian penulis.

Ada penulis berbakat, ada penulis rajin. Penulis berbakat yg malas takkan ke mana2. Penulis rajin akan terus berusaha sehingga berjaya menghasilkan karya yg akan diiktiraf, meraih anugerah dan diingati sepanjang zaman.

Sunday, October 18, 2009

Jemu ~ Part 1

Tentu sekali kita pernah berasa jemu. Sebagai manusia, adalah biasa jadi bosan terhadap rutin yang saban hari sama. Sebagai pekerja, jika tugasan tidak berubah selama 3 atau 4 tahun, jemu juga, bukan? Jadi, bagaimana hendak melepaskan diri dari rantai jemu yang membelenggu diri? Sebelum itu, mari saya tunjukkan kamu beberapa kategori jemu:

*Jemu masak
Kalau tiap2 hari goreng ikan, tumbuk sambal belacan, tumis sayur dan buat sup ayam, pastilah jemu masuk ke dapur satu fenomena buat kaum ibu (& isteri, hihihi). Untuk elakkan, setiap Sabtu/Ahad, buatkan senarai menu untuk seminggu. Dengan cara ini, kamu boleh cuba masakan berbeza untuk setiap hari dalam minggu itu…bila bershopping, simpan bahan (dlm freezer) yg nak digunakan terlebih dulu di bahagian depan, manakala yg lain di belakang, mengikut turutan dlm menu seminggu.

*Jemu makan
Anak2 mungkin jemu sebab ikan masak kicap atau sambal tumis tak berubah rasanya selama bertahun-tahun. Bila dah tau macam mana rasanya, tentulah tak suka dan tiada selera untuk makan. Untuk atasi, tukar jenama kicap/sos cili/sos tomato/sos tiram/cili kisar yg kamu gunakan. Rasa masakan tentu berubah!

*Jemu sajian serupa
Ini mudah saja. Cuba resepi baru tapi jangan ubah semuanya sekaligus. Maksudnya, kalau anak2 kamu suka sambal tumis, biar dulu dalam menu…ubah satu lagi masakan, katakanlah masak kicap ikan jadi masak taucu. Dgn cara ni, sajian baru dapat diperkenalkan secara perlahan-lahan. Ia proses memvariasikan sajian.

*Jemu menulis
Penyakit penulis yg dikenali juga sebagai writer’s block. Tiada satu patah perkataan pun yg terbit dari minda, kamu kecewa, kamu marahkan diri sendiri, kamu mengamuk dan keadaan jadi makin runcing. Apa nak buat, ya?
~ sembahyang & minta petunjuk/ilham
~ capai buku/novel/akhbar & baca (walau tiada kaitan dgn apa yg kamu tulis)
~ tonton tv/vcd filem yg kamu gemari
~ masak makanan yg kamu sukai (terapi minda)
~ berinteraksi dgn kawan2 siber di blog (berhati2 jgn keterlaluan)

Jemu ~ Part 2

Atas dasar menyahut cabaran, saya elaborate sikit tentang topik (yg kalau tak betul cara menanganinya, jadi haru…hihi) iaitu:

*Jemu suami/isteri
Mari kita lihat beberapa kategori jemu antara suami/isteri yg mungkin timbul:

(i) jemu masakan
~ belikan buku2 masakan dan sama2 belek, jangan beli dan suruh isteri masak je. Suami kena tengok juga dan kata, “Yang, cuba masak ikan macam ni…nampak sedap.” Suami sama2lah tolong di dapur supaya semangat isteri naik sikit. Kalau tak tahu langsung kupas bawang, pura-pura la lap meja atau buat air untuk isteri, alangkah bahagianya! Ni bila isteri beli buku, suami marah2 la pulak atau perli kalau dia tak cuba resepi. Come on, man!

(ii) jemu rutin yg sama
~ sesekali bawalah isteri tengok wayang. Ni sesuai la kalau anak2 dah besar (& tak mau ikut – kalau mereka ikut, nak tgk citer kartun/binatang je). Bagi yg anak2 masih kecil, sabarlah kerana masanya akan tiba bila kamu berdua boleh kembali menjadi pakwe & makwe. Hujung minggu pergi berjemaah di masjid yg berbeza. Selalu kuliah Ahad (selepas Subuh) di Masjid Bangsar, minggu depan pergi pula ke Masjid Ampang, minggu berikutnya di Masjid Kepong…boleh sembang dgn suami/isteri tentang masjid2 yg dikunjungi, tiadalah jemu lagi (utk cari topik berbual).

(iii) buat kejutan
~ ni kira macam buat sesuatu yang exciting (untuk hilangkan jemu). Bergantung pada budget. Kalau berduit, belikan hadiah mahal. Isteri boleh tempah meja di restoran ternama, belanja suami makan. Atau tempah bilik di hotel pada hujung minggu. Atau bawa keluarga bercuti. Pasti isteri/suami tak jemu dgn pasangan begini. Sentiasa happening…

(iv) jemu penampilannya
~ belikan baju baru, tak perlu tunggu waktu birthday atau Hari Raya je. Atau perfume baru biar bau dia lain sikit dari biasa. Takkan 10 tahun kahwin asyik berbau minyak wangi sama, kut? Isk, isk, jemunya…

(v) jemu yg-tak-boleh-cerita
~ cuba bawakan watak berbeza, siap dengan pakaian lain drpd yg lain, ubah suara mirip gadis penggoda di jalanan atau perempuan joget, mekap mcm bintang filem (sekadar menyebut beberapa contoh). Pasti tak jemu…hehe.

Maaf kalau ada tersinggung, ini sekadar hiburan semata-mata.

Feminin Okt 2007

Radio24 (2007)


Jumaat lepas saya dijemput ke Radio24 (frekuensi 93.9) oleh Anchorwoman, Nazira Noran. Kami on-air selama kira-kira 30 minit, bercakap tentang Kuih-muih Asli: Adakah ia semakin dilupakan? Ada caller yang bertanyakan tentang pelbagai perkara termasuk meminta saya membuat buku-buku masakan kuih-muih tersebut.

Untuk pengetahuan anda, ia sudah lama terbit dan merangkumi seluruh Semenanjung; iaitu:
1) Variasi Masakan Utara
2) Variasi Masakan Selatan
3) Variasi Masakan Pantai Timur

Bukan saja mengandungi resepi kuih-muih tetapi juga masakan di negeri-negeri tersebut. Jangan lupa beli dan cuba, ok? Harganya cuma RM19.90 sebuah (70 resepi setiap satu lengkap dengan foto).

Buka Puasa ~ 1 Oktober 2007

Last Saturday, 22nd Sept, I was at the Berbuka Puasa function organised by Adam AF2 Fan Club. It was held at The Summit Hotel, USJ.

AFCM had also invited orphans from Rumah Titian Kasih. They performed some songs and a few of them stole our hearts with their funny antics.

Adam was so sporting, and he managed to crack jokes that made everyone laughed. He sang wonderfully and truly entertained the audience (especially his fans) who came from all over Malaysia. Many varieties of food were served and it was a memorable ‘red-n-black’ night.
Adios.

Wednesday, October 14, 2009

Siapa suka makan kangkung?

Pada satu hari seorang anak kecil yang menderita sakit perut telah dibawa ke hospital. Dia mengalami cirit birit selama dua hari. Pelbagai ubat sakit perut sudah diberikan tetapi masih tidak sembuh.

Doktor bertanya, makanan apa yang dimakan oleh anak tersebut selama 2 hari ini. Ibubapa anak itu kebingungan, kerana sejak anaknya cirit birit, dia tak mahu makan, hanya minum susu, tetapi akan muntah semula.

Kata ibubapa anak itu, sebelum sakit perut, anak mereka makan kangkung. Doktor segera melakukan x-ray, ternyata dalam usus anak tersebut telah berkembang biak lintah dengan anaknya yang kecil-kecil. Doktor tidak mampu membuat keputusan tentang jenis rawatan yang diperlukan kerana terlalu banyak lintah.

Akhirnya anak kecil malang itu pun meninggal dunia. Setelah dikaji, ternyata lintah itu sebelumnya berada di dalam batang kangkung yang besar. Ia tidak akan mati walau dimasak selama mana pun, apa lagi untuk masakan kangkung yang cepat dan mudah. Lintah hanya akan mati jika dibakar.

Di dalam usus anak tadi, hanya dalam 1 hingga 2 hari lintah itu berkembang biak dengan cepatnya kerana menghisap darah. Jadi, jika hendak memasak kangkung, pastikan batangnya dibelah dua dan dibersihkan betul-betul.

Foto ~ seedsforsale.com

Monday, October 12, 2009

37 tahun dah berlalu ...














(Foto kiri)
. Tahun 2009, saya bersama sepupu paling senior, Junet bin Basri, 62, semasa sambutan Syawal di Kpg.Jawa, Kuantan, Pahang. Junet adalah anak sulong ibu saudara sebelah ayahanda saya. Dalam Bahasa Jawa, ibu saudara disebut 'Wawak' manakala nenek atau datuk dipanggil 'Mbah' (sebutan 'embah')

(Foto kanan). Tahun 1972, ketika itu saya berusia 9 tahun. Semua murid tak kira bangsa memakai pinafor, tidak seperti sekarang, murid Melayu sekolah rendah, berbaju kurung. Hmm, zaman hitam-putih memang penuh nostalgia... jarak masa antara foto kiri & kanan, 37 tahun...

Lasagne

8-10 keping lasagne
50 gm keju Parmesan*, diparut

Bahan Sos Daging
3 camb minyak
1 labu bawang besar, dicincang halus
4 ulas bawang putih, dicincang halus
400 g daging, dikisar
410 g tomato, dikisar
450 ml air
1 kiub stok daging
2 camb tomato puri
1 camt oregano kering
gula, garam, serbuk lada hitam secukupnya

Bahan Sos Putih
60 gm mentega
60 gm tepung gandum
600 ml susu segar/UHT
garam, serbuk lada sulah secukupnya

Cara membuatnya:
1. Panaskan minyak, tumis bawang besar dan bawang putih hingga wangi.
2. Masukkan daging kisar, tomato kisar, air, pati rebusan daging dan puri tomato.
3. Masak atas api sederhana hingga daging empuk dan kuahnya pekat.
4. Bubuh serbuk lada hitam, gula (lebihkan sedikit untuk mengimbangi rasa masam tomato puri) dan garam kemudian angkat.
5. Untuk sos, cairkan mentega. Masukkan tepung dan kacau 1-2 min hingga permukaannya berbuih halus.
6. Tuangkan susu dan kacau lagi atas api perlahan hingga sos pekat.
7. Sebaik-baiknya, kacau dengan 'balloon whisk' supaya sos tidak berketul.
8. Masukkan garam dan serbuk lada sulah kemudian angkat.
9. Ratakan sedikit sos daging, satu lapisan lasagne.
10. Kemudian sos daging, sos putih dan satu lapisan lasagne. Ulang hingga lapisan atas iaitu
sos daging, sos putih dan keju.
11. Bakar pada 190 C selama 40-45 minit atau hingga masak.

Lasagne tak perlu dimasak terlebih dulu, gunakan terus daripada kotak (no need to pre-cook). Penggunaan lasagne juga bergantung kepada saiz mangkuk untuk membakarnya.

Thursday, October 8, 2009

Jus Detox

Bahan-bahan
120 g pisang

1.25 cm halia berkulit

125 ml air mineral

15 ml jus limau susu (lemon)

250 ml jus epal

Madu, jika suka
(@ gula perang secukup rasa)


Cara membuat

1. Kisar pisang dan halia dengan jus limau susu dan madu atau gula perang.
2. Tuangkan ke dalam bekas, tambah jus epal.

3. Isikan ke dalam gelas berkaki.

4. Hias dan hidangkan.

Foto : detroitfashionpages.com

Jus Segar

Pengambilan jus ini dapat 'mencuci' dan memudahkan perjalanan sistem penghadaman (melawaskan) perut. Selain itu, vitamin yang terkandung di dalam buah-buahan mempunyai khasiat yang banyak seperti lobak merah (untuk mata) dan belimbing (menurunkan tekanan darah tinggi).

Bahan-bahan
250 g lobak merah
300 g buah belimbing
20 ml jus limau susu (lemon)
Gula perang @ madu secukup rasa
Air mineral secukupnya

Cara membuat
1. Potong kecil semua bahan.
2. Letak di dalam pengisar minuman.
3. Tuangkan air secukupnya.
4. Kisar hingga halus dan hidangkan.

Foto : hubpages.com

Monday, October 5, 2009

Kek Marble Susu

Bahan-bahan
250 g mentega
230 g gula halus
2 camca teh ovalette
4 biji telur gred A
270 g tepung gandum*
1 camca teh serbuk penaik*
60 g susu pekat manis
2 camca besar serbuk koko
2 camca besar susu cair
1 camca teh coklat emulco

*Diayak bersama

Pukul mentega, ovalette dan gula hingga kembang. Masukkan telur satu persatu sambil terus memutar hingga gebu.
Masukkan susu pekat dan gaul rata. Bubuh tepung sedikit demi sedikit hingga habis, gaul rata.
Bahagi adunan kepada 2 bahagian yang sama banyak. Satu dibiarkan tanpa warna dan satu bahagian di campur dengan susu cair, serbuk koko dan coklat emulco. Gaul hingga sebati.

Tuang secara berselang seli antara adunan tanpa warna dan adunan coklat dalam acuan berukuran 22 cm yang telah dilengser dengan marjerin dan dasarnya dialas dengan kertas minyak.
Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 190 C selama 30 - 35 minit. Keluarkan dan biar sejuk atas redai.

~ Foto : tiffinbiru.blogspot.com

Lemak Umbut Bercili

Bahan-bahan
1 mangkuk umbut kelapa
3 sudu besar minyak

1 labu bawang besar – hiris

1 batang serai – dititik

3 sudu besar ikan bilis

400 ml santan cair*

200 ml santan pekat*

Garam secukupnya


Bahan kisar

3 ulas bawang merah

2 ulas bawang putih

1 sudu besar pes cili


1. Hiris nipis dan rendam umbut di dalam air supaya tidak menjadi lebam.

2. Panaskan minyak, tumis bahan kisar, bawang besar dan serai hingga wangi.

3. Masukkan ikan bilis, umbut, santan cair dan garam.
4. Kacau sekali-sekala hingga kuahnya mendidih dan umbut empuk.

5. Tambah santan pekat, kacau lagi hingga mendidih barulah diangkat.

* Santan drpd 1 1/2 biji kelapa. Jika agak pekat, boleh tambah air.
~ Foto : www.rtb.gov.bn

Saturday, October 3, 2009

Syawal 2009

Kelaziman Hari Raya Pertama, menziarahi sanak-saudara yang tinggal di Kg.Jawa, Kuantan. Di hadapan rumah Wawak (panggilan untuk ibu saudara) Tijah (di sebelah kanan saya, berbaju biru tua), saya bersama bonda (baju merah), adik dan keluarganya serta anak-anak dan sepupu bergambar kenang-kenangan.

Di hadapan rumah aruah Mbah (panggilan untuk nenek) Watiah, kini telah diubahsuai daripada rumah asal. Mengabadikan kenangan bersama sepupu (Sugiyarti & Sri Hartini) serta suami dan anak masing-masing. Suasana raya lebih meriah bila dapat bertemu setelah sekian lama...yang paling best, dapat menikmati pelbagai juadah tradisional orang2 Jawa seperti lepert, babat, dendeng dll.

Friday, October 2, 2009

BENGKEL PENULISAN THRILLER DAN AKSI

ALAF 21 akan mengadakan bengkel penulisan yang akan dipimpin oleh dua orang novelis terkenal iaitu Ramlee Awang Mursyid dan Eyman Hykal. Tujuan bengkel ini untuk memberi panduan bagaimana menulis novel berbentuk thriller dan aksi.

Mereka yang berminat jangan lepaskan peluang mengikuti bengkel ini yang akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: Sabtu 10 Oktober 2009

Tempat: Akademi Karangkraf


Alamat: Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd

Lot 2 Jalan Sepana 15/3, Seksyen 15
Shah Alam, Selangor.

Masa: 9.00 pagi – 3.00 petang

Peserta: 27 orang / Yuran: RM35
Sarapan, makan tengah hari dan cenderahati disediakan.

Bayaran hendaklah dibuat kepada Alaf 21 menerusi akaun Maybank 014271416077. Fakskan slip bayaran, butir-butir diri anda serta nama kursus ke 03-55113817 atau e-mel : ke alaf@alaf21.com.my. Sebarang pertanyaan sila hubungi Sa’adiah/Roziana di talian 03-55118820/21.

Thursday, October 1, 2009

Makna "Inna Lillahi Wa Inna Ilahi Raaji'un"

Kita sering menyebutnya bila mendengar tentang kematian atau bila kehilangan sesuatu, mendapat bala atau dalam bahaya. Apakah sebenar maknanya bagi seseorang Muslim? Ertinya, apa yang kita miliki adalah kepunyaan Allah. Allah pemberi segalanya, dan Dia-lah pemilik sebenar.

To Allah we belong and to Him is our return. They are those on who (descend) blessings from Allah and mercy and they are the ones that receive guidance.. (Surah Al-Baqarah: 155)
• And to Allah belongs the inheritance of the heavens and the earth... (Surah Al-Imran: 180).
• The kingdom of the heavens and the earth and everything in them belongs to Allah. He has power over all things. ( Surat al-Ma'ida: 120)
• To Allah belongs the East and the West... (Surah Al-Baqarah: 142)
• Our eyes are filled with tears, our hearts with grief, but we say nothing with our lips except that which pleases Allah... Verily, to Allah we belong, and to Him we return... (Bukhaari)

Kereta, rumah, bisnes, anak, kesihatan, masa adalah milik Allah jua. Malah tubuh dan nyawa kita adalah milik-Nya. Hakikatnya, kita milik Allah. Inilah intipati konsep pengabdian kepada Allah di dalam Islam. Maka Allah akan memberi atau menarik balik kenikmatan kepada sesiapa saja. Malah ada yang sekadar dipinjam kepada manusia buat sementara waktu.

Jadi, bila anak, wang, kehormatan, status, keremajaan dan kesihatan diambil semula oleh Allah, kenapa harus berduka? Usah tangisi. Sebut Alhamdulillah. Manusia lahir tanpa apa-apa dan dia pergi juga tanpa membawa apa-apa. Segala yang kita ada, segala yang kita sukai, adalah anugerah Yang Esa dan Dia sekadar meminjamkannya untuk melihat bagaimana kita menerimanya, menggunakannya dengan rasa kasih kepada Ilahi, bersyukur dan menyembah-Nya.

Percayalah kepada Allah dengan sepenuh hati dan Dia tidak akan mengecewakan kamu kerana Dia Maha Pengasih dan Penyayang. Sebutlah ~ AL-QAYYUM * AL-MAJID * AL-WAHID * AL-WAJID * AL –AHAD * AL-SAMAD * AL-QADIR

Sentiasalah mengingati-Nya ~ SUBHANA'LLAH * ALHAMDULI'LLAH * LA I LAHA ILLA'LLAH * ALLAHU AKBAR * ASTAGHFIRU' LLAH * LA ILAH ILLA'LLAH, MUHAMMADUN RASULU'LLAH * ALLAH UMMA SALLY WASALLEM WABAREK ALA SAYYIDINA MUHAMMAD

KESERONOKAN DI DUNIA HANYA SEMENTARA ...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...