Tuesday, July 28, 2009

Cari Cleaner?

Saya mengambil kesempatan ini untuk memperkenalkan sebuah agensi Perkhidmatan Pencucian iaitu Partime Fitrah Cleaning Services.

Mereka menawarkan perkhidmatan di sekitar Klang, Pelabuhan Klang, Shah Alam, Bukit Tinggi dan Sri Andalas. Untuk maklumat lanjut berkenaan agensi ini dan lain-lain berkaitan harga, sila ke sini.

Thursday, July 23, 2009

Tiga hari di Sabah...

Di Pasar Filipina yg menjadi kemestian bagi setiap pengunjung ke Sabah. Beraneka barangan kraftangan, koleksi kristal, mutiara, permata, kemeja-T, kain tenunan, ukiran kayu dan macam-macam lagi yg tentunya menarik perhatian. Rambang mata berada di sini, sekali datang pasti tak puas.

Di pasar menjual ikan, sotong, udang kering, gamat kering, ikan bilis dan beraneka barangan yg tidak terkata... elok membeli pada hari terakhir di sana, penjual akan bungkuskan dalam kotak dan sedia untuk dibawa, siap dengan pengikatnya. Memang berbaloi membeli kerana murah.

Di atas Jambatan Tamparuli yg terkenal itu. Ia jambatan gantung yg sudah digunakan oleh penduduk tempatan sejak zaman dulu. Pekan Tamparuli kecil dan damai tetapi anjing banyak berkeliaran. Jambatan untuk laluan kenderaan hanya selorong, jadi terpaksa menunggu untuk menyeberang.

Bersama bonda berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu nun di kejauhan. Suasana amat damai dan menakjubkan. Rasa tidak mahu beredar dari situ. Lazimnya, kemuncak gunung akan diselaputi awan tetapi kami bernasib baik dapat melihatnya kira-kira 10 minit sebelum ia tertutup semula.
Di pintu gerbang menghala ke Kundasang Memorial Park. Tentera British dan Australia yg menjadi tawanan askar Jepun dipaksa berjalan kaki dari Sandakan ke sini, meredah hutan belantara dan kesengsaraan. Antara 1,000 orang, hanya 6 berjaya melarikan diri dan menceritakan kisah mereka.

Laluan pertama menuju ke gunung. Masih mendatar dan tak begitu mencabar. Ramai pelancong asing yg menyertai rombongan mendaki. Mereka bermalam di pertengahan jalan sebelum menyambung pendakian ke kemuncak.

Bersama kereta sewa di perhentian menuju ke kaki gunung. Suasana amat nyaman dan enak sekali. Sesekali angin berhembus, dingin. Bunyi unggas hutan dan pokok-pokok bunga liar amat mempesonakan.

Di pasar menjual sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga-bungaan di Kundasang. Memang murah dan segar. Sebelum ke sini, kami singgah di Nabalu membeli nenas yg paling sedap dan manis pernah saya rasa. Dalam perjalanan, ada gerai menjual pelbagai kraftangan masyarakat tempatan.
Di Ladang Teh Sabah yg terletak di Nalapak. Cuaca panas terik, tidak seperti ladang teh di Cameron Highlands. Nalapak tidak jauh dari Ranau dan persekitaran sunyi serta tenteram.

Di pekarangan Universiti Malaysia Sabah, saya terjumpa pokok manggis hutan yg lebat berbuah. Bezanya dengan manggis biasa, manggis ini berkulit merah saga dan isinya nipis.

Masjid terapung di Kota Kinabalu yg tersergam indah. Di kawasan luar bandar, terdapat lebih banyak gereja dan rumah-rumah ibadat masyarakat setempat. Hari ketiga (Isnin) suasana bandar agak sibuk dan sesak juga.

Bersama Combi, teman blogger yg dikenali sejak lebih dua tahun lalu. Gembira saya sekeluarga bertemu dengannya sekeluarga, terasa sungguh mesra. Dia bersama anak-anak menghantar kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Thanks, Combi.

Friday, July 17, 2009

Bertemu Penulis

Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) akan mengadakan Program Jualan Buku Bersama Penulis. Seramai 40 orang penulis telah diberi peluang untuk menyertai program ini, termasuk saya. Jadi, kalian yang ingin bertemu dan beramah mesra dijemput hadir untuk memeriahkan lagi program ini. Saya akan berada di 'gerai' jualan pada hari Sabtu (25 Julai 2009) untuk sesi signing dan memperkenalkan novel terbaru...

Setinggi-tinggi penghargaan buat PNM (Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia) kerana menyediakan platform bagi penulis menjual buku hasil penulisan masing-masing di premisnya. Semoga kerjasama erat dan kesempatan begini meninggikan semangat penulis untuk lebih giat berkarya...

Tempat : Ruang Pameran, Aras 1, PNM
Masa : 10 pagi - 5 petang
Tarikh : 25 & 26 Julai 2009 (Sabtu & Ahad)

:: Setiap pembeli buku-buku saya akan mendapat hadiah istimewa (apa ya? surprise!!!), insyaAllah ::

Demo di PWTC

Salam semua...

Sempena dengan International Conference on Biotechnology for the Wellness Industry and Wellness Industry Exhibition 2009 (kali kedua), pihak Chemical Engineering Pilot Plant di Universiti Teknologi Malaysia telah menjemput saya untuk mengadakan Demonstrasi Masakan di Putra World Trade Center (PWTC), Kuala Lumpur.

Saya akan menunjukkan 7 resepi berasaskan produk mereka seperti serbuk tongkat ali, nira, lobak jeruk, tempoyak, minyak kelapa dara, tapai dll. Semua resepi dicipta khusus. Kalian dijemput hadir untuk menyaksikan (dan merasa masakan)...Ada 2 sesi masakan pada hari Ahad, 26 Julai 2009.

Tempat : (1) Bilik Seminar
Masa : 11.30 pagi -12.30 tghri

Tempat : (2) Pentas Utama
Masa : 1.30 - 3 petang

:: Jom datang beramai-ramai. Pameran bertujuan memperkenalkan barangan / produk yang baik untuk kesihatan tubuh badan serta lain-lain yang berkaitan ::

Thursday, July 16, 2009

Demo di Bentong

Coretan sekitar Demo Memasak anjuran Puspanita Daerah Bentong pada sabtu lepas. Nazifa membantu saya mengenakan uniform dan aksi saya menumis bawang untuk menyediakan sos daging Lasagne.






Antara novel-novel saya yang turut dijual di dewan tersebut. Nazratul, anak sulong, membantu mempromosikan karya bondanya. Caayaa, kak long! Ada tokoh jadi usahawan.







Gembira saya berada di Bentong (saya lahir di Ketari) dan peserta begitu bersemangat untuk belajar kedua-dua masakan Barat itu. Di situ juga saya bertemu dengan Kasma, rakan sekolah rendah yang sudah hampir 32 tahun tidak bersua muka... Dalam perjalanan balik, saya singgah di rumah mak ngah dan dijamu kerabu pucuk paku, asam pedas ikan dan daging tumis lada hitam. Hmm, sedap...!!

Wednesday, July 15, 2009

Sedihnya...

KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) - Seorang pelajar yang baru dua minggu memasuki Universiti Teknologi Malaysia (UTM) maut selepas terjatuh dari tingkat empat bangunan setinggi tujuh tingkat di sini awal pagi Isnin.

Kejadian berlaku pada kira-kira pukul 1 pagi semasa Mohd Khalis Zulkifli Rahman, 18, dikatakan memanjat tingkap bilik yang terletak di tingkat empat Blok C, Kolej Kediaman Siswa Jaya Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk masuk ke biliknya yang berkunci dari dalam.

Seorang saksi Mohd Zaki Norhashim, 19, berkata Mohd Khalis masuk ke bilik itu lalu memanjat keluar tingkap dan berpaut pada tiang bangunan untuk masuk ke biliknya melalui tingkap, selepas biliknya terkunci dari dalam. "Belum sempat dia sampai ke tingkap biliknya dia tergelincir dan terjatuh ke atas gelanggang badminton di bawah," katanya.

:: Saya menitiskan air mata kerana anak perempuan saya, Nazurah telah menceritakan bahawa Khalis beratur di belakangnya ketika hendak mendaftar di UTM pada hari Ahad 28 Jun lalu. Khalis telah memandang ke arah Nazurah (yg memakai baju kurung pink yg berkilat) lalu berkata kepada rakan lelakinya yg berdiri berdekatan (dalam nada mengusik), "Eh, nak mendaftar kena pakai baju berkilat, ya?" ::
~ Al-Fatihah. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Wednesday, July 8, 2009

Demo Memasak

PUSPANITA Daerah Bentong telah menjemput saya untuk mengadakan demonstrasi memasak. Saya akan menyediakan dua jenis masakan iaitu:
(1) Pai Pic
(2) Lasagne

Sesiapa yang berminat (dan tinggal di sekitar Bentong, dipersilakan hadir). Sebelum demo, ada ceramah berkaitan kesihatan. Saya juga akan menjual buku-buku masakan dan novel di situ (dapat diskaun dan tandatangan, insyaAllah). Butir-butir lanjut adalah seperti berikut:

Tempat : Dewan Perbandaran Bentong, Pahang
Hari : Sabtu, 11 Julai 2009
Masa : 11 pagi - 12.30 tghri

(ps : masuk percuma)

Monday, July 6, 2009

Koleksi Perihal Penulis...

Penulis bagus mendefinasikan realiti; yg tidak bagus hanya menerangkannya. Penulis bagus mengubah fakta menjadi benar; yg tidak bagus, seringkali menukar fakta menjadi palsu.

Kehidupan penulis berlegar dalam puisi yg tidak boleh ditulisnya. Yg mengaku sebagai penulis, menulis puisi yg mereka sendiri tidak fahami.

Segala yg pernah tertulis, saya hanya gemari hasil penulisan yg ditulis dengan darah penulisnya sendiri.

Untuk mencintai, perlu menderita. Untuk mengelak derita, jangan bercinta. Tapi seseorang menderita jikalau tidak mencintai. Kesimpulannya, mencintai harus menderita, tidak mencintai juga menderita, menderita tetap menderita. Untuk gembira perlu bercinta. Untuk gembira, harus menderita, tapi penderitaan membuat orang tidak gembira. Jadi, untuk gembira seseorang mesti suka atau sukakan penderitaan atau menderita kerana terlalu banyak kegembiraan.

Kucing adalah haiwan yg bahaya untuk penulis kerana penulis sering memerhati kucing dan ini adalah alasan munasabah untuk tidak terus menulis.

Seseorang penulis adalah separuh bukunya. Separuh lagi adalah pembaca dan dari pembaca, penulis belajar.

Penulis, bila dia juga seorang artis, adalah seseorang yang mengaku apa yg orang lain tidak berani serlahkan.

Ramai orang mendengar suara bila tiada sesiapa di sekeliling mereka. Ada di antara mereka digelar gila, dikurung dan merenung dinding bilik sepanjang hari. Sebahagian lain digelar penulis dan mereka melakukan perkara yg serupa juga.

Bakat sahaja tidak boleh menjadikan anda seorang penulis. Mesti ada seseorang di belakang buku; berpersonaliti, semulajadi dan berkualiti, berikrar untuk meluahkan sesuatu yg wujud, memerhati dan menuliskan, dan tidak sebaliknya.

Bila penulis bercakap tentang kerjanya, dia bercakap dengan sebuah perhubungan cinta.

Sebagaimana yg pernah diperkatakan oleh seorang penulis, “Ada 3 jenis pembohongan: penipuan kecil, penipuan besar dan politik.”

Thursday, July 2, 2009

Pemantap Kek

Apakah bahan di dalam ovalette @ Quick 75 @ Sponge Cake Stabilizer @ pemantap kek / span?

Bahan yang saya selidiki adalah produk Moody International dengan Logo Halal, diperbuat di Malaysia. Ia mengandungi sorbitol, pengemulsi, air, propylene gylcol, garam mineral dan pewarna yang dibenarkan.

Sorbitol -dikenali sebagai glucitol, adalah sugar alcohol yang diperolehi melalui proses mereduksi glukos (menukar dari aldehyde ke hydroxyl). Ia 'gula' tiruan yang selalu digunakan dalam makanan untuk diet dan aiskrim, gula-gula getah, gula-gula pudina dan ubat batuk. Dalam bentuk semulajadi dari buah-buahan berbiji keras (stone fruits) dan beri pokok.

Propylene glycol - kompaun organik yang tidak berapa manis, lutsinar dan pekat bersifat hygroscopic dan 'larut' dengan air, acetone dan kloroform. Ia diproses secara industri dengan kaedah hidrasi propylene oksid.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...