Monday, March 30, 2009

Blood is Red?

Dalam research untuk novel, saya terdedah dengan pelbagai masalah cinta-rumahtangga yg melibatkan suami-isteri orang.





Anda seorang isteri?
* Apa perasaan anda jika suami anda sanggup mengaku (kepada perempuan lain) bahawa rumahtangga porak-peranda padahal aman sentosa dan bahagia?
* Apa tindakan anda jika membaca sms suami dengan perempuan lain (berbaur keintiman)?
* Apa yang wajar anda buat jika mengetahui suami berbohong berjumpa rakan sedangkan dia keluar dengan perempuan lain?

Anda seorang suami?
* Sanggupkah anda mengaku anda sudah berpisah sedangkan masih tinggal sebumbung?
* Sanggupkah anda mengaku bencikan isteri sedangkan setiap malam tidur sebilik dengannya?
* Sanggupkah anda menceritakan keburukan isteri kepada perempuan lain sedangkan dialah ibu kepada anak-anak anda?

:: Kesimpulannya...rencah terbaik untuk sebuah novel, bukan?
Kepada isteri, bila sudah tahu lelaki itu suami orang, kenapa masih terus melayaninya? Untuk perhatian yang tidak pernah lagi diberikan oleh suami?

Kepada suami, bila sudah tahu perempuan itu isteri orang, kenapa terus 'memburunya' dengan sms dan panggilan telefon? Sekadar 'mencuba' nasib atau sengaja ingin mempermainkan perasaannya?

Untuk keseronokan yang bersifat sementara? Fikir-fikirkanlah...

Nota : Saya terima poligami.

Tuesday, March 24, 2009

Mi Segera

Mungkin ramai sudah tahu bahawa mi segera mengandungi lapisan wax (sejenis lilin) yang akan mengambil masa 4-5 hari sebelum dapat dikeluarkan daripada sistem badan. Cara terbaik untuk mengelak daripada akibat buruk wax terhadap tubuh kita adalah dengan mengubah kaedah memasaknya. Ini juga akan menghalang MSG di dalam serbuk perencah bertukar dari segi struktur molekular menjadi bahan toksik.

Begini cara terbaik:
(1) Rebus mi dalam air mendidih.
(2) Bila mi kembang, sejat atau toskan ke dalam penapis.
(3) Dalam periuk dengan air mendidih yang baru, masukkan mi dan tutup api.
(4) Masukkan pula serbuk perencah, kacau dan sajikan.

*Kaedah ini biasa dilakukan untuk mi jenis 'goreng' atau tanpa kuah. Jika hendak tambah telur dan sayur, masukkan dalam air mendidih baru, sebelum mi.

:: Ramai yang berusia 18-24 tahun mendapat penyakit pancreatitis (bengkak atau jangkitan pada pancreas) kerana terlalu kerap makan mi segera. Elakkan memakan lebih daripada 3 kali seminggu ::

Monday, March 23, 2009

Siapa datang?

Fatin membuka tudung labuhnya sebelum mengangguk. “Yang dimaksudkan dengan makhluk halus itu ialah makhluk yang diciptakan oleh ALLAH SWT tanpa berjisim yang pada kebiasaannya tak dapat dilihat oleh mata atau dirasa dengan tangan. Mereka hidup di alam ghaib.”


Mimi mencapai sebiji karipap, lalu mengunyahnya.


“Makhluk ni ada asal kejadiannya daripada cahaya, iaitu malaikat, yang sentiasa taat kepada perintah ALLAH. Dan ada yang asal kejadiannya daripada api, iaitu terdiri daripada jin, iblis, syaitan dan lain-lain.” Begitu Rin menambah.


Fatin menghirup kopi panas itu dengan penuh khusyuk. “Kau tahu tak, Mimi? Beriman atau percaya tentang adanya makhluk halus dan hal-hal ghaib seperti ni adalah antara ciri-ciri mukmin yang bertaqwa kepada ALLAH SWT.”


Terlopong mulut Mimi mendengarnya. Perlakuan kedua-duanya amat berbeza daripada biasa. Apa yang telah merasuk mereka? Benarkah mereka betul-betul teman serumahnya atau makhluk halus yang menyerupai manusia?


Bukankah makhluk halus boleh memperlihatkan kepada manusia apa-apa yang mereka takuti? Itulah sebabnya maka setiap hantu kelihatan sama – berbaju putih dan berambut panjang kerana demikian imaginasi yang tertanam di dalam minda. Putih adalah kain kafan. Rambut panjang kerana hantu tersebut bangkit dari kubur dan tidak terurus.


Filem hantu memang menjadi ‘makanan’ Mimi saban minggu. Sebut saja hantu Siam, hantu Korea, hantu orang putih atau hantu Cina. Semua sudah sinonim dengan dirinya. Semua hantu ada ciri-ciri tersendiri.


“Dalam surah al-Baqarah ayat 2 hingga 4, ALLAH SWT berfirman; Al-Quran itu tidak ada keraguan padanya, menjadi petunjuk bagi mereka yang bertakwa, iaitu mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan sembahyang dan menggunakan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka,” kata Rin lagi.


Mereka bertiga terdiam. Yang kedengaran hanya bunyi kulit karipap dikunyah.

“Aku pernah dengar, kalau nak halau makhluk halus kena azan,” sahut Mimi. Selalu juga dia membaca buku-buku agama yang diluluskan untuk jualan di MPH.


“Ada satu cerita, ustaz yang cerita ni... seorang lelaki telah azan 15 kali bila ternampak bayangan yang datang dekat nak cekik dia.” Suara Fatin gementar.


Tiba-tiba suasana bilik menjadi dingin. Tiada pendingin hawa di situ. Hanya kipas berputar perlahan di siling. Kata orang, ada makhluk halus yang hadir. Ketiga-tiga gadis itu langsung tidak mempedulikan kedinginan yang terasa secara tiba-tiba itu.

“Lepas tu?” soal Mimi ingin tahu.

“Bayangan tu tak pergi, malah bertambah galak mengacau...” beritahu Fatin.

“Azan tu tak berkesan, mungkin sebab...”


Thursday, March 19, 2009

Keris - Lambang Melayu Sejagat

Atas keinsafan, kesedaran dan tanggungjawab, dunia persilatan wajib dibela kerana ia melambangkan maruah dan martabat bangsa dan negara. Ia memainkan peranan sebagai penyambung perjuangan amanah budaya nenek moyang agar bangsa terus dihormati. Seni silat adalah bagai tiang seri sebuah rumah Melayu. Ia berdiri penegap payung untuk sebuah balai. Berdiri seorang wira Melayu lengkap berpakaian dan bersenjata, menceritakan asal-usul dan niat. Tangan mengangkat sebelum langkah dibawa untuk menunjuk gerak. Semua bercerita hingga nafas ditudung.

Tidak ramai guru guru silat dapat bertahan, hingga lenyap gerak gerak jurus lama. Namun selagi ungkapan Takkan Melayu Hilang Di Dunia terus bergema, langkah pejuang, gerak penerus dan bunga luahan menyampai rasa hati, perlu terus dipelihara. Niatkan bersilat kerana riadah dan memelihara hak warisan. Dan tidak lengkap seri pakaian di dalam dunia persilatan tanpa dihias dengan budaya perkerisannya.

Menangani keris harus lengkap dengan tata karma dan adat peradapannya. Keris yang asalnya dari perkataan kekeratan "Ke" dan "aris" yang bermakna tenang, lambat atau halus adalah kelompok senjata tikam yang merupakan lambang kekuatan para hulubalang Melayu serta kerajaan-kerajaan purbakala di zaman dahulu. Kini ianya menjadi lambang kebanggaan orang-orang Melayu serta kepulauan sekitarnya. Jika diteliti sejarah purbakala, terdapat unsur-unsur alam semulajadi seperti tanah, batu, pasir, tembaga besi, emas, perak, berlian, batu permata serta batu delima yang menghiasi serta memperkukuhkan bentuk keris.

Artikel penuh di : www.rajamenangis.blogspot.com
Petikan khas drpd laman : www.silat.tv
(dibawah PERGURUAN SENI SILAT SENDENG HAJI HAMID UK)


Marilah kita sama-sama miliki sebilah keris untuk sebuah rumah (satu rumah, satu keris) sebagai tanda adat budaya Melayu dan tanda kenangan turun temurun kita - Rajamenangis


Wednesday, March 18, 2009

Kenangan di Kongres...

Kongres Kebudayaan Melayu II berakhir kelmarin. Ia dirasmikan oleh YB Dato' Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Banyak kenangan yang saya kutip sepanjang dua hari di sana. Pembentang kertas kerja yang terdiri daripada cendekiawan tersohor, sasterawan ternama dan profesor dari pelbagai universiti dan institut mewarnai kongres yang berjaya itu.






Antara topik kertas kerjanya ialah:
  • Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu
  • Perundangan Malaysia dalam Konteks Kenegaraan
  • Pemerkasaan Kebudayaan Kebangsaan
  • Islam dalam Budaya Melayu
  • Pengantarabangsaan Kebudayaan Melayu

Saya juga berpeluang beramah mesra dengan SN Datuk A.Samad Said, Hj Hamzah Hamdani, Puan Zurinah Hassan, Prof Madya Abu Hassan Abdullah, Hj A.Rahim Abdullah, Sdr Khalid Salleh dan ramai lagi. Kongres itu benar-benar membuka minda dan memahat banyak intipati menarik tentang 'kebudayaan Melayu' yang sedang dilanda arus globalisasi dan gelombang perubahan yang, jikalau tidak ditangani dengan sewajarnya, bakal menggugat kedaulatan bangsa pada masa akan datang.

Saturday, March 14, 2009

Kongres Kebudayaan

Sebagai ahli Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor,
saya telah dijemput menghadiri
Kongres Kebudayaan Melayu II
anjuran PSM dan GAPENA akan diadakan di:

Tarikh: 16 – 17 Mac 2009, Isnin & Selasa
Masa: Isnin 9.00 pagi – 9.00 malam
Selasa 9.00 pagi – 1.30 tengahari
Tempat: Aras 2, Anjung Wisma Sejarah,
230 Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur

Tahukah anda bahawa Kongres Kebudayaan Melayu I telah diadakan pada Disember 1957 iaitu 52 tahun yg lalu? Semenjak itu diadakan seminar dan seumpamanya tetapi resolusi kongres pertama adalah titik permulaan kepada usaha pembentukan Dasar Kebudayaan Nasional.

:: Tentu banyak topik menarik yang akan dibincangkan! Soalan Cepu Mas: Adakah saya ke sana untuk mencari ilham untuk novel saya yang berikutnya? (sambil menyelam minum air...) ::

Thursday, March 12, 2009

Biskut Berhias

Biskut Mentega yang dihias dengan Royal Icing pelbagai warna. Adunan biskut boleh dicampur serbuk koko untuk perisa coklat.

Manakala aising kuning dengan perisa lemon, hijau dengan pudina, biru dengan esen keladi, merah dengan strawberi.

Terpulang pada kreativiti masing-masing atau tema sesuatu majlis seperti ulangtahun, pertunangan, perkahwinan dll.

Resepi Royal Aising :
Pukul (kelajuan minima) 1 biji putih telur dan masukkan sedikit demi sedikit gula aising hingga adunan kental dan tidak mengalir bila disapu ke atas biskut.

Asingkan ke dalam mangkuk kecil dan letak sedikit warna.

Bila warna asas (base atau background) telah kering, picitkan aising hiasan di atasnya atau di sekeliling biskut.

Kepekatan atau consistency aising hiasan adalah lebih kental sedikit daripada aising base dan perlu dimasukkan ke dalam beg aising dengan nozzle atau muncung bentuk bulat.



Monday, March 9, 2009

NAMA SYAITAN dalam SURAH AL-FATIHAH

Semoga boleh dimanfaatkan, Al-Fatihah adalah satu rukun dalam solat, apabila cacat bacaannya maka rosaklah solat.

Oleh itu perbaikilah bacaannya dengan ilmu tajwid. Bukan setakat bacaannya saja rosak malah kita menyebut nama syaitan di dalam solat kita.

Berikut diperturunkan nama syaitan laknat yang wujud didalam Al-Fatihah, sekiranya kita tidak berhati-hati.
1) DU LI LAH (bila dibaca tiada sabdu) sepatutnya DULILLAH

2) HIR ROB (bila dibaca dengan sabdu) sepatutnya HI ROB

3) KIYYAU (bila dibaca dengan sabdu) sepatutnya KI YAU

4) KANNAK (bila dibaca dengan sabdu) sepatutnya KA NAK

5) KANNAS (bila dibaca dengan sabdu) sepatutnya KA NAS

6) IYA (disebut tanpa sabdu) sepatutnya IYYA.
Iya bermaksud 'matahari'. Dalam ayat ke 5, jika salah bacaannya akan bermaksud "kepada mataharilah yang kami sembah dan kepada matahari kami meminta pertolongan"!!!!

7) SIROTHOLLAZI........sehingga habis hendaklah dibaca tanpa henti.

8) AMIN, hendaklah mengaminkan Al-Fatihah dengan betul iaitu AA.... dua harakat, MIN.... 3 harakat, semoga Amin kita bersamaan dengan Amin malaikat, Insya-Allah.

Semoga kita menjadi orang yang sentiasa membaiki bacaannya.


Sunday, March 8, 2009

LOF DAGING

Bahan-bahan:
500 gm daging kisar
2 camb rempah kari
1 biji telur
60 gm serbuk roti
1 cawan sos piza (dalam botol)
60 gm keju cheddar, diparut
serbuk lada hitam, garam secukupnya

Cara membuatnya:
1. Campurkan semua bahan di dalam mangkuk.
2. Tambah serbuk lada hitam dan sedikit garam.
3. Ratakan separuh di dalam tin lof (11x21 cm).
4. Taburkan keju dan letak baki campuran daging di atasnya.
5. Bakar pada suhu 180 C selama 40 min.
6. Ketepikan cecair yg terbit kemudian biar selama 10 min.
7. Bila sejuk, boleh dipotong untuk dibuat sandwic atau dimakan dengan salad kentang.

:: Memang sedap dibawa berkelah ::

Thursday, March 5, 2009

Plot dan Karektor

Ada banyak perkara yg perlu diperhatikan dalam penulisan novel. Selain tema, kali ini saya huraikan sedikit-sebanyak berkenaan :

PLOT / STRUKTUR

1. Mudah

2. Novel boleh dibaca secara santai tanpa plot yg berbelit-belit atau sukar difahami

3. Kompleks

4. Perjalanan cerita yang rumit tetapi masih boleh diterima asalkan boleh dihayati oleh pembaca

5. Haruslah mempunyai kronologi yang munasabah

6. Jika terlalu kompleks, dari segi komersial tidak berbaloi tetapi tinggi nilainya daripada segi astetika seni sastera

7. Mesti ada kesinambungan cerita

8. Struktur penceritaan tidak semestinya logik (novel sains fiksyen / futuristik) tetapi masih boleh diterima pembaca

9. Cerita tidak boleh melompat dari satu plot ke plot yang lain tanpa ada pertalian di antara plot atau kesudahan yang wajar

KAREKTOR / WATAK

Watak boleh dihuraikan seperti berikut:

1. Sifat zahirnya

1. Bentuk fizikal sama ada ketinggian, bentuk badan, stail/gaya, rambut, cara berjalan, bertutur dsb

2. Kediaman sama ada rumah papan beratap nipah kampung, rumah batu beratap genting di bandar, pangsapuri, apartmen, banglo, rumah semi-D di kota dll

3. Kenderaan sama ada motosikal, kereta, van, lori dsb

4. Pemilihan pakaian, aksesori (terutama perempuan) dll


2. Perwatakan / perangainya

1. Sama ada sombong, berani, kelakar, kedekut, pendiam, pemalu, penakut dll

2. Kegemaran atau kesukaannya seperti membaca, melukis, bersiar-siar dsb

3. Makanan / minuman kesukaan

4. Warna pilihan

5. Tabiat, contohnya bermain-main dengan hujung rambut, menggosok hidung atau menggaru tengkuk dll

6. Aspek lain dari segi suara, cara berpakaian (penampilan fizikal)

7. Perkara yang menjadi kebenciannya

8. Watak yg diketengahkan samasa dianiaya atau berkonflik

9. Nama-nama yang menarik, moden / lama (sesuai cerita) dan ada nilai komersial

Tuesday, March 3, 2009

Jawab TAG

1 - Bila kali pertama menerima WARKAH CINTA ?
Masa umur 19 tahun

2 - Dalam WARKAH CINTA ada lirik lagu atau puisi atau pantun atau syair atau sajak ?
Tiada - hanya kata-kata puitis yg menyentuh jiwa.

3 - Dalam sampul WARKAH CINTA, ada ditabur bedak atau haruman ?
Tiada - siapa yg mampu, ada kertas wangi, beb.

4 - Masih disimpan semua WARKAH CINTA ?
Ada beberapa helai, tak semua.

5 - Ada disertakan gambar ?
Tiada - klise sangatlah.

6 - Masih disimpan WARKAH CINTA itu didalam sampul asalnya ?
Tidak - dah koyak setem buat collection.

7 - Pernah dibaca selepas itu ? atau disimpan buat kenangan dan sebagai harta ?
Simpan buat kenangan (untuk Muzium Cinta ker…?)

8 - Tarikh WARKAH CINTA pertama yang diterima ?
10 November 1982

9 - Adakah sesiapa yang tahu tentang WARKAH CINTA anda ? Umpamanya anak atau saudara ?

Anak, masa mula-mula posmen hantar, emak baca dulu...huhu!

10-Pendapat ANDA. Mana lebih mendebarkan ... antara Surat @ WARKAH CINTA atau emel atau sms ?
Bergantung pada siapa yang menghantarnya, dan betapa taksub anda mencintainya...fuhh!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...