Saturday, January 31, 2009

Pesta Pantun Bestari 2009


RajaMenangis Group melangkah setapak lagi dalam memberi pengikhtirafan berupa cenderahati untuk dua pemenang utama bagi Pesta Pantun Bestari 2009. Matlamat kami adalah untuk menyokong segala bentuk usaha dalam aspek seni demi memartabatkan warisan budaya kita yang unggul. Ia diadakan di kalangan universiti tempatan dan dianjurkan oleh AJK Perkembangan Kesenian dan Kreatif Kolej Kediaman Keempat (Universiti Malaya).

Berikut butir-butir lanjut:

* Tarikh : 6 & 7 Februari 2009
* Tempat : Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya
* Tema : Kegemilangan Pantun Warisan Berabad

Sempena Pesta Pantun itu juga, pihak RajaMenangis akan mengadakan jualan buku-buku secara usahasama dengan sebuah institusi terkenal. Diskaun menarik akan diberikan kepada yang membeli. Jangan ketinggalan bersama-sama memeriahkan acara ini (jualan diadakan pada malam Jumaat, 6 Feb dan sepanjang Sabtu, 7 Feb 2009).



Wednesday, January 28, 2009

Murtabak Lapis

Bahan-bahan:
400 gm daging kisar
3 camb rempah kari
300 g bawang besar, dadu
3 ulas bawang putih + 3 biji bawang merah + 2 cm halia, kisar
3 camb minyak
250 ml air
45 kpg biskut cream crackers
300 ml susu cair + 400 ml santan (1 kelapa)
6 biji cili merah, cincang
6 tangkai daun bawang, cincang
4 biji telur, pukul
4 camb mentega
garam, serbuk lada sulah secukupnya

Cara membuat:
1. Panaskan minyak, tumis bahan kisar dan rempah hingga wangi.
2. Masukkan daging, kacau 3 minit. Tuangkan air, kacau sekali-sekala.
3. Bila kering, masukkan bawang besar, garam dan serbuk lada sulah. Kacau hingga bawang layu kemudian angkat.
4. Alas dasar tin 25 cm dengan foil. Lengser marjerin.
5. Celup beberapa keping biskut dalam campuran susu-santan, susun di dasar tin (9 keping setiap lapisan).
6. Taburkan 1/5 daging, daun sup, cili dan telur. Ulangi hingga 5 lapisan yang sama.
7. Tuangkan baki santan-susu hingga separas biskut. Letak mentega di atasnya.
8. Bakar pada 200 C selama 45 minit atau hingga masak. Biar sejuk sebelum dipotong.

Thursday, January 22, 2009

Galeri Perfileman Malaysia

Pintu masuk ke Galeri Perfileman yang terletak di Jln Pahang Kecil (simpang pertama selepas lampu trafik masuk ke Tasik Titiwangsa). Jalan masuknya kecil, menghala ke banglo2 persendirian dan parking merupakan masalah besar sekiranya ramai yang berkunjung ke sini.

Banyak peralatan kamera dari zaman 50an sehingga kini dipamerkan. Suasana sebenar dunia lakonan dengan pengarah, penolong, juruteknik lampu dll. Sangat bermanfaat bagi sesiapa yang menggemari filem dan cara pembikinannya.

Foto artis-artis yang terkenal dari zaman filem hitam-putih. Baris atas, no:4 dari kiri, Datuk Jins Shamsudin. Filem2 Jefri Zain (ala spy 007) ketika itu sangat diminati ramai. Ramai bintang2 filem lama yang berbakat besar dan ada di antara lakonan mereka yang benar2 menyentuh jiwa. Foto pelakon terkenal beberapa dekad menghiasi dinding. Terdapat juga bahagian di mana dipamerkan piala2 Festival Filem Malaysia.

Foto favourite saya, Balairong Seri tempat Sultan bersemayam. Inilah satu-satunya set menggambarkan keadaan Sultan bila bersemayam di atas petarana baldu kuning bertekad benang emas dan bertatah permata manikam. Ukiran di dinding lambang seni halus pertukangan Melayu.

:: Memang kunjungan ke sini mengembalikan nostalgia ::

Sunday, January 18, 2009

Colmar Tropicale

Senibina Eropah yg menarik dalam suasana dingin menambahkan lagi keseronokan berada di Colmar Tropicale, Tanah Tinggi. Jika dari Kuala Lumpur, simpangnya di sebelah kiri Lebuhraya Karak (kira-kira 8 minit dari simpang ke Genting Highlands).

Betul-betul seperti bangunan istana - seumpama dalam hikayat cerita-cerita dongeng. Namun, jika menjamu selera di situ, bersedialah untuk "terkejut" dengan harganya...

Japanese Tea Garden yang dipenuhi kolam, bunga-bungaan dan pelbagai pokok eksotik tanah tinggi. Minum teh gaya Jepun sambil menikmati panorama yang mempesonakan.

Rabbit Farm di mana anda boleh bermain-main dengan arnab. Malangnya, ibubapa kurang beri pengawasan pada anak-anak mereka yang 'membuli' arnab-arnab di sini tanpa belas kasihan...!!

Makan pizza & fries yang ternyata memang menyelerakan kerana suasana santai dengan alunan gitar irama life daripada beberapa orang anak muda berbangsa Filipina...

Wednesday, January 14, 2009

Permintaan Blogger

BUBUR NASI

Bahan-bahannya:
140 g beras – direndam 4 jam
1.2 liter air (boleh tambah jika beras belum hancur)
120 g gula pasir
2 helai daun pandan – disimpulkan
250 ml santan* – dari ½ biji kelapa
garam secukupnya

Cara membuatnya:
1. Jerang beras dan air hingga mendidih. Perlahankan api dan biar merenih hingga menjadi bubur, sambil dikacau sekali-sekala.
2. Masukkan gula pasir, daun pandan, santan dan garam.
3. Kacau di atas api perlahan hingga mendidih.
4. Sendukkan ke dalam mangkuk dan hidangkan panas-panas.

*Boleh gantikan santan dengan susu segar dan separuh susu cair; gula pasir dengan separuh gula merah supaya bubur berwarna kecoklatan (tambah gula ikut suka manisnya)

Monday, January 12, 2009

Sekadar Renungan...

Kadangkala kita tak terfikir pun...
1) Dari bujang - kahwin No 1 - no.2 - DLL.
2) Dari pakai moto kap - kancil-wira - Honda - seterusnya..
3) Badminton - Golf -
4) Rumah sewa - rumah murah - rumah teres - banglow...
5) Technician - supervisor - engineer - manager...
6) Tv 14' - 21" - 29" - Home theater...
7) Sg Danga - Tanjung Leman - Langkawi - Haadnyai - Bangkok ..
8) Dalam semua segi kita maukan perubahan ke arah yang lebih baik dan glamour...
9) Memancing kat parit /longkang - sungai - kolam (bayar)- laut dalam (sewa bot mewah)..

TETAPI...

KITA JUGA LUPA...SEMAKIN BANYAK KITA KECAPI KEJAYAAN, SEMAKIN HAMPIRLAH SAAT KEMATIAN KITA....

DITAKUTI SEMAKIN BERJAYA, KITA SEMAKIN LUPA, SEMUA YANG KITA DAPAT ADALAH PEMBERIAN TUHAN..."ON LOAN"...

SETIAP KALI KITA BUAT ACTION PLAN ATAU BUAT REVISION, BERAPA BANYAKKAH KITA MASUKKAN HAL-HAL YANG MEMBAWA KE ARAH "PERSEDIAN UNTUK MATI"

Umpamanya:
1) tak sembahyang - pastikan sembahyang -jadikan amalan....
2) banyak maksiat - kurangkan - hapuskan...
3) Bangi - Madinah - Mekah
4) sedekah RM1.00 - RM10.00 - RM100.00
5) sembahyang di rumah - sembahyang di surau/mesjid. ...
6) 5 jam sehari menonton TV - 3 jam TV & 2 jam majlis ILMU....
7) 3 jam baca suratkabar/majallah/internet - 2 jam majalah/surat khabar/internet & 1 jam membaca AL QURAN/selawat, zikir.
8) Apa-apa aktiviti yang hasilnya adalah untuk AKHIRAT.

Tetapi apa yang banyak berlaku pada ZAMAN AKHIR ini ialah PERSONAL improvement banyak kepada ke arah KEDUNIAAN SEMATA. Perkara berkaitan AKHIRAT perlahan-lahan di ketepikan... .

Sila klik sini untuk RENUNGAN BERSAMA

Friday, January 9, 2009

Beriani



Selain beriani, ada orang menyebutnya beriyani atau beryani. Walauapapun sebutannya, kita sering membayangkan ia sebagai hidangan nasi yang harum dan berempah. Lazimnya, Nasi Beriani dimasak bersama lauknya sekali. Daging lembu, kambing atau ayam menjadikan hidangan Nasi Beriani lengkap dan tidak memerlukan lauk-pauk yang lain. Namun begitu, ia menjadi lebih sempurna dengan pilihan acar.

Apakah yang membezakan Nasi Beriani dan Nasi Minyak? Nasi Minyak lazimnya berwarna kekuningan. Ia dimasak dengan minyak sapi, minyak, marjerin atau campuran semuanya. Adalah dikatakan bahawa nasi yang dimasak dengan marjerin akan menjadi lebih harum dan kuning. Sedangkan yang dimasak dengan minyak sapi lebih lemak tetapi agak memualkan.

Untuk rasa Nasi Minyak yang asli, gunakan minyak sapi dan minyak. Jadi, bau minyak sapi kurang ketara. Kunyit serbuk memberikan Nasi Minyak warna kuning yang asli berbanding dengan pewarna atau esen. Bahan yang mewangikannya pula adalah daun pandan. Ia berbeza dengan Nasi Beriani yang menggunakan air mawar sebagai pewangi. Air mawar boleh dibeli di dalam botol dan direnjiskan ke atas nasi setelah ia masak.

Nasi Beriani mesti menggunakan rempah beriani. Ia boleh dibeli dalam paket, berbentuk serbuk, di kebanyakan pasaraya. Manakala rempah yang dikisar atau dimesin, berbentuk pes, boleh dibeli dari penjual berbangsa India di pasar basah.

Selain rempah, bahan utama dalam masakan Nasi Beriani adalah beras Basmathi. Beras jenis ini panjang dan tidak meresap banyak air. Jadi, ia lebih berderai dan tidak melekit kecuali jika terlalu banyak air digunakan. Beras Basmathi jenis terbaik, panjang dan paling ‘lembut’ setelah ditanak tentulah yang paling mahal harganya.


:: Sila klik SINI untuk artikel penuh & resepi

Tuesday, January 6, 2009

Manusia Tidak Amanah

Salam semua.

Kali ini saya ingin berkongsi cerita tentang novel Sewangi Kasih-Konflik Terakhir yang boleh kalian pesan melalui emel kepada saya. Bukan kisah novelnya, tetapi perihal penghantaran melalui pos (biasa). Supaya dapat menjual pada harga RM15, saya fikirkan, apa salahnya saya kirim novel menggunakan pos (seperti surat biasa). Andaikata melalui Poslaju atau Kiriman Berdaftar, tentulah lebih mahal daripada RM2 dan terpaksalah pula saya menjual novel tersebut pada harga yang lebih tinggi.

Bagi setiap 100 buah novel yang saya kirimkan, tahukah kalian bahawa 10 buah hilang dalam perjalanan! Pada fikiran saya, tentulah buku-buku tersebut dicuri oleh seseorang. Saya tidak menuduh melulu kepada pihak Pejabat Pos kerana buku-buku itu mungkin telah sampai ke destinasi (pejabat atau kilang atau rumah sewa) tetapi diambil oleh orang lain. Siapa, ya?

Apa yang lebih memeranjatkan, salah seorang blogger memesan 2 buah novel. Saya bungkus elok-elok dengan kertas minyak warna coklat, lekatkan dengan cellotape khas untuk parcel dengan setem RM4. Hendak tahu apa jadi? Blogger itu emel dan kata dia hanya terima sebuah buku! Saya tanya, berapa ringgit setem pada bungkusan itu? Dia kata, setem RM4. Jadi, sahlah memang saya kirimkan 2 novel - kenapa tinggal satu saja? Siapakah yang membuka bungkusan, mengambil satu novel kemudian membungkus kembali dan mengirim pada alamat tersebut. Ataukah orang lain di pejabat blogger yang mencurinya? Siapa nak jawab?

Kesimpulannya kini, jika hendak mengirimkan apa-apa melalui pos, gunakan Poslaju atau Registered Post. Harga yang kalian kena bayar perlu dinaikkan untuk menampung kos ini. Memang manusia zaman ini tidak lagi amanah...!!


Saturday, January 3, 2009

020109 MHI

Bersama Abby & Ahmad Fedtri di studio MHI. Santai dan ceria sentiasa.
Untuk resepi ringkas, sila lihat sini.

Friday, January 2, 2009

Bekalan ke Sekolah

Membawa bekalan ke sekolah mengeratkan lagi perhubungan kekeluargaan kerana masakan itu disediakan oleh ibu sendiri. Bukankah air tangan ibu penting dalam mendidik anak-anak yang akan patuh dan membalas kasih sayang yang ditunjukkan?

Biarpun hanya dua keping roti bersapu mentega/majerin dengan taburan gula, jem atau serikaya, ia lambang sebuah kesinambungan antara anak, ibu dan keluarga secara keseluruhan. Tentu sekali bagi ibu-ibu surirumah sepenuh masa, tiada masalah kerana mereka tidak perlu bergegas ke pejabat. Bekalan yang lazimnya dibawa selain sandwich adalah nasi atau mi serta mihun goreng. Dengan campuran udang atau ayam dan sayur lain, ia hidangan yang sempurna. Jika anda menyediakan semua bahan asas terlebih dulu - kisar bawang, potong sayur dll - masa menggoreng tidak sampai 15 minit.

Apa yang paling penting bila menyediakan bekalan anak ke sekolah?
* mudah - tidak rumit untuk dibuat (jimat masa)
* murah - menggunakan bahan asas yang mudah diperolehi (jimat wang)
* seimbang - mengandungi karbohidrat, protin dan zat lainnya

Sumber karbohidrat selain roti putih atau wholemeal (gandum tulen) ialah roti pita, croissant, ban. Sandwich yang biasa selain sardin atau tuna, ialah telur rebus yang dicampur mayonis dan thousand island dressing atau telur scramble. Untuk kelainan, belah 2 roti pita dan sumbatkan dengan isian yang disukai oleh anak-anak. Jangan lupa salad, timun atau tomato untuk zat tambahan.

Jika membuat nugget atau sosej goreng, pastikan ada mafin lobak atau roti dengan keju serta buah (epal, oren, pisang) yang mampu memberi diet seimbang untuk anak anda. Sekiranya anak hanya suka makan telur dan ayam, misalnya, ciptakan kelainan. Contohnya, bila membuat telur dadar, campurkan dengan sedikit parutan kentang atau pasta rebus (karbohidrat memberi tenaga). Selain digoreng, ayam boleh direbus, dikukus atau dibakar. Jangan putus asa memperkenalkan makanan lain dalam jumlah yang sedikit pada mulanya. Ini adalah kerana sesetengah kanak-kanak memang sukar tetapi keadaan ini selalunya berubah bila mereka meningkat dewasa.

Pastikan juga bekas makanan dan minuman menarik supaya anak-anak gembira membawanya ke sekolah. Jika anak suka berkongsi makanan dengan rakan-rakan, apa salahnya memberi dia bekalan yang lebih? Andaikata anak anda memberi bekalannya pada kucing pada waktu rehat, beritahu dia betapa penting makanan tersebut untuk dirinya sendiri. Sikap penyayang baik tetapi harus kena pada tempatnya.

Ajak anak-anak ke dapur untuk membuat brownies, biskut dll yang boleh dibawa sebagai bekalan. Ini akan menyemaikan rasa tanggungjawab di samping dapat memupuk semangat yang baik. Tidak salah memberi duit tetapi haruslah menggalakkan dia menabung dan berjimat cermat. Elakkan dari membeli jajan yang tidak berkhasiat dan mengandungi banyak bahan pengawet serta pewarna tiruan. Ajar anak-anak dengan cara yang berhemah dan lembut supaya mereka tahu bahawa perhatian yang anda tunjukkan adalah demi kasih sayang pada mereka.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...