0
INFO: Cuma Dia • Pengarang: Norzailina Nordin • Tebal: 503 halaman • Penerbit: Alaf 21 Sdn Bhd (Alaf 21) • Harga: RM 19.90 senaskhah • Bintang: * * * *
CUMA Dia karya Norzailina Nordin menampilkan kisah anak yang taat diwakili watak Dalila menghadapi rahsia hubungan sulit bapanya, Meor Hassan dengan bekas kekasih pertamanya, Jenny yang terbongkar sehingga melukakan gadis itu kerana terpaksa mengorbankan cinta sucinya demi kasih terhadap bapa.
Novel yang menyorot jalinan cinta tiga pasangan dengan kategori usia berbeza ini, membawa pembaca menyelami emosi remaja yang baru mengenal erti hidup Ikhwan dengan Mimi; cinta alam kerjaya penuh dugaan membabitkan Dalila, Iqbal dan Hilman serta nyalaan semula cinta selepas sekian lama terpisah.

Pengarang seakan sedar keperluan menggunakan latar yang boleh meyakinkan kisah sindiket perdagangan manusia dengan mengambil Tanzania sebagai sebahagian daripada lokasi penceritaan, suatu langkah yang jarang diambil penulis novel cinta dan memberi sedikit kelainan kepada novelnya.


Kehidupan Dalila sebagai peguam muda bermula apabila bertemu Iqbal secara tidak sengaja di pusat beli-belah sehingga menimbulkan bibit cinta antara mereka, tetapi di luar pengetahuan gadis itu, jejaka berkenaan bertugas sebagai penyiasat dan merahsiakan tugas sebenarnya demi keselamatan.


Percintaan indah pasangan itu menemui jalan buntu selepas Iqbal dihantar bertugas ke Afrika untuk mengorek maklumat kegiatan perdagangan manusia, tetapi terpaksa membohongi Dalila dengan memberi alasan penukaran itu untuk urusan projek telekomunikasi baru syarikat.


Pada masa sama, bapa Dalila, Meor Hassan bertemu kekasih pertamanya, Jenny, sehingga menyalakan semula rasa cinta mereka yang terbengkalai selepas berpisah, ditambah pula masing-masing dilanda masalah serta memerlukan teman berbicara.
Penulis menarik perhatian pembaca apabila kisah percintaan Meor dan Jenny mengakibatkan mereka lupa akan tanggungjawab terhadap pasangan masing-masing terutama suami Jenny, Majid yang lumpuh dan memerlukan bantuan orang lain untuk bergerak.
Kebaikan dan keperibadian Suraya akhirnya menjerut hati Jenny sehingga menyebabkan dia berasa bersalah kerana terlalu mengikut kata hati, tetapi dia tidak mampu memadamkan cintanya terhadap Meor apatah lagi selepas Majid meninggal dunia.

Pembaca novel ini juga akan dicuit dengan babak lucu lewat babak adik Iqbal, Ikhwan yang bekerja sambilan di sebuah restoran menyamar sebagai remaja belasan tahun bagi mendekati gadis pujaannya, Mimi yang sering menjamu selera di premis berkenaan.
Boleh baca selanjutnya di sini.
Oleh ~ Nurul Farina Nazlan

Post a Comment