Harmony Clean Flat Responsive WordPress Blog Theme

Kambing Panggang

9:55 AM norzailina 13 Comments Category :

Semenjak kebelakangan ini, jamuan tidak akan lengkap tanpa kambing panggang. Ini benar terutama jika ia melibatkan jamuan berkonsep barbeque. Lazimnya seekor kambing akan dipanggang dan dihiris dagingnya nipis-nipis di hadapan tetamu (konsep buffet). Dengan cara ini, daging kambing lebih menyelerakan. Pelbagai sos juga disediakan dan tetamu boleh membuat pilihan.

Jika hanya untuk jamuan sekeluarga, apa kata anda buat paha kambing panggang? Meskipun sekeping paha bertulang tengah mungkin mencecah RM85-100, berbaloi juga kerana mencukupi untuk 20-25 orang! Itupun jikalau dihidangkan secara Barat bersama kentang putar, sayur-sayuran kukus atau rebus seperti brokoli, lobak merah, kubis, kacang buncis dan lain-lain.

Walaupun kedengaran remeh dan rumit, sekiranya anda faham, amat mudah sekali. Herba Inggeris yang digunakan untuk memerap kambing adalah rosemary dan thyme. Ia akan menimbulkan aroma yang cukup menyelerakan. Herba-herba yang memang wangi dan paling sesuai untuk kambing itu boleh dibeli di pasaraya terkemuka. Jika sukar mendapatkan yang segar, anda boleh gunakan jenis kering di dalam botol. Untuk setiap 1 sudu besar herba segar, gunakan ½ sudu besar herba kering.

Langkah pertama adalah mengelar lemak yang menyalut paha kambing itu. Pastikan tidak sampai menghiris bahagian dagingnya. Kemudian lumur dengan herba yang dicincang, garam dan serbuk lada hitam. Letak di dalam bekas bertutup atau plastik dan ikat kemas. Selepas itu, letak di dalam peti sejuk (rak bawah). Balik-balikkan setiap 2 jam. Sebaik-baiknya perap selama 8-10 jam.

Balut tin pembakar dengan kertas timah (aluminium foil). Kemudian sapu redai dengan sedikit minyak. Letak redai di dalam tin pembakar. Bubuh pula paha kambing di atas redai. Cara ini akan mengelak daripada kambing masak di dalam kepanasan lemaknya sendiri. Lagipun, cecair atau jus yang terbit daripada kambing semasa membakar akan terkumpul di dalam tin pembakar.


Cecair itu penting untuk menyedapkan sosnya. Hanya pastikan ia tidak terlalu hangus sehingga tiada yang tertinggal langsung. Untuk 20 minit pertama, panggang kambing pada suhu 200 C. Kemudian turunkan suhu pada 180 C dan panggang selama 1 jam 20 minit lagi.

Secara amnya, untuk setiap 500 g kambing, anda perlu panggang selama 20 minit. Jadi, kambing yang seberat 2 kg akan mengambil masa (20x4=80 minit). Manakala kambing seberat 3 kg akan memakan masa (20x6=120 minit=2 jam). Namun begitu, yang sukakan daging yang tidak begitu masak (half-done) boleh mengurangkan masa membakar.

Kambing yang diimport memang tidak berbau hamis. Lagipun ia kambing muda dan mudah empuk bila dibakar. Setelah masak, terus bungkus kambing dengan kertas timah dan biar selama 10-15 minit. Ini akan mengekalkan juices atau cecair di dalam kambing. Cecair inilah yang akan melembabkan daging itu dan membuat ia lebih menyelerakan.

Cara memotong ialah dengan mendatar dan nipisnya anggaran 4-5 mm. Pastikan setiap keping sama besar. Buangkan bahagian berlemak kerana ia mengandungi kolesterol. Jika ada kambing yang tidak habis, potong nipis dan jadikan isian di dalam roti, pitta atau capati. Selitkan daun salad, mayonis dan sos cili atau tomato. Jika tidak, anda boleh juga sediakan masakan mudah seperti kambing masak kicap.

Kata orang, kambing boleh mengakibatkan tekanan darah tinggi naik. Anda yang mengidap penyakit darah tinggi sebaik-baiknya tidak makan langsung tetapi ada cara untuk mengelakkannya. Pertama, pastikan daging yang dipilih itu adalah kambing muda. Bau hamisnya juga agak kurang. Kedua, jangan memasak kambing dengan rempah ratus dan santan kerana ini akan menambah kolesterol ke dalam masakan.

Untuk mengurangkan bau hamis, lumur kambing dengan tepung jagung. Biar 30 minit sebelum dibersihkan dan diperap atau dimasak seperti biasa. Jadi, sekarang anda tidak perlu lagi mengunjungi hotel terkemuka untuk menikmati kambing panggang kerana membuatnya di rumah tidak sukar!
Kambing Panggang
2 kg kambing (bahagian kaki)
Garam, serbuk lada hitam secukup rasa
1 sudu besar rosemary cincang
1 sudu besar thyme cincang
1½ sudu besar tepung gandum
450 ml air
1 kiub stok daging
120 ml jus epal/kranberi

Cara membuat
1. Kelar bahagian lemak kambing tetapi jangan sampai ke bahagian dagingnya. Lumur dengan serbuk lada hitam, rosemary dan thyme. Perap selama semalaman di dalam peti sejuk.
2. Letak kambing di atas rak yang diletak di dalam tin pembakar. Panggang pada suhu 200 C selama 20 minit.
3. Turunkan suhu kepada 180 C. Panggang selama 1 jam 20 minit.
4. Keluarkan kambing dari ketuhar, balut dengan foil. Biar 10 minit sebelum dagingnya dihiris nipis.
5. Untuk sos: Buangkan sebahagian lemak dari tin pembakar, tinggalkan 2 camb, letak tin di atas api perlahan. Bubuh tepung dan kacau 1 minit.
6. Tuangkan air, stok dan jus epal, kacau hingga mendidih.
7. Renihkan selama 3 minit kemudian tambah garam dan serbuk lada hitam. Angkat dan tapiskan. Hidangkan dengan hirisan kambing panggang, brokoli celur, tomato dan kentang goreng.

RELATED POSTS

13 comments